JAKARTA: Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Islam terbesar di Indonesia, menyeru pemerintah supaya terus mempertahankan keperluan pensijilan halal untuk barangan import meskipun menerima kritikan daripada Amerika Syarikat.
Pengerusi NU, Yahya Cholil Staquf, menegaskan bahawa negara berkewajipan melindungi penduduk majoriti Muslim daripada penggunaan produk makanan dan barangan pengguna yang tidak mematuhi piawaian halal.
“Amerika Syarikat boleh menyuarakan kebimbangan mereka, tetapi kita mempunyai hak kedaulatan untuk melaksanakan dasar yang melindungi rakyat,” katanya dalam sidang media di Jakarta pada 22 April.
Menurut Encik Yahya, pensijilan halal bukan sahaja sah dari segi perundangan, malah menjadi keperluan dalam negara yang sebahagian besarnya terdiri daripada umat Islam. “Adalah wajar untuk masyarakat menuntut penguatkuasaan peraturan halal, dan pemerintah perlu bertindak atas aspirasi ini,” tambah beliau.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon kepada laporan terbaru Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) yang menyenaraikan pensijilan halal Indonesia sebagai halangan teknikal terhadap perdagangan luar, khususnya eksport dari Amerika, lapor Jakarta Globe.
USTR menganggap peraturan wajib halal Indonesia sebagai “halangan teknikal kepada perdagangan”, memandangkan ia menambah kos pematuhan dan proses akreditasi yang kompleks untuk pengeksport luar.
Namun, Encik Yahya menolak kritikan tersebut dan menyifatkannya sebagai berpaksikan kepentingan perdagangan semata-mata, tanpa memahami nilai agama yang mendasari dasar halal negara.
“Mereka bebas menjual produk mereka di sini selagi mematuhi peraturan kami. Produk tanpa label halal masih boleh dijual, tetapi tidak boleh dipasarkan sebagai produk halal. Semudah itu,” katanya lagi.
Menurut USTR, Indonesia kini mewajibkan pensijilan halal untuk pelbagai jenis barangan termasuk makanan, minuman, farmaseutikal, kosmetik, peranti perubatan, produk biologi dan kejuruteraan genetik, barangan pengguna serta bahan kimia.
Peraturan tersebut berdasarkan Undang-Undang No. 33 Tahun 2014 mengenai Jaminan Produk Halal, yang menetapkan semua proses perniagaan termasuk pengeluaran, penyimpanan, pembungkusan, pengedaran dan pemasaran harus mematuhi standard halal.
Laporan USTR juga menegur Indonesia kerana menggubal banyak peraturan pelaksanaan tanpa memberitahu Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan terlebih dahulu, sebagaimana yang digariskan dalam Perjanjian WTO mengenai halangan teknikal kepada perdagangan.
USTR turut mempersoalkan dekri daripada Kementerian Agama yang memperluas kategori produk yang memerlukan pensijilan halal serta peraturan tambahan yang dikeluarkan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), termasuk syarat pelaporan yang rumit dan nisbah ketat antara skop produk dan jumlah juruaudit.
Encik Yahya menegaskan bahawa peraturan halal bukan semata-mata soal teknikal, tetapi menyentuh perkara prinsip bagi masyarakat Islam Indonesia.
“Jika negara lain boleh menghormati nilai dan undang-undang mereka, maka kita juga berhak menegakkan peraturan yang mencerminkan nilai agama kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg