Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir kilat, angin kencang jejas cuti hujung tahun di Kalimantan

Banjir turut jejas ribuan penduduk di Kalimantan Selatan
Dec 29, 2025 | 10:37 AM
Pasukan penyelamat memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir pada 27 Disember di Tebing Tinggi, Balangan, Kalimantan Selatan.
Pasukan penyelamat memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir pada 27 Disember di Tebing Tinggi, Balangan, Kalimantan Selatan. - Foto Agensi Pengurusan Bencana Nasional 

Banjir akibat hujan lebat berterusan terus mencemari suasana cuti hujung tahun di Indonesia, dengan Kalimantan Selatan menjadi antara wilayah terbaru terjejas. Di Daerah Balangan sahaja, hampir 11,000 penduduk terkesan apabila banjir kilat setinggi satu meter melanda beberapa kawasan sejak hujung minggu lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) memaklumkan sekurang-kurangnya tiga daerah dan sebuah bandar di Kalimantan Selatan dilanda banjir sepanjang minggu hingga 28 Disember. Keadaan paling teruk dilaporkan di Balangan, apabila hujan lebat bermula pada malam 26 Disember menyebabkan sungai melimpah dan menenggelamkan penempatan penduduk.

Banjir kilat itu melanda tiga kecamatan (wilayah) utama iaitu Tebing Tinggi, Awayan dan Halong. Menurut pihak berkuasa tempatan, air naik dengan pantas sehingga menyukarkan penduduk menyelamatkan harta benda.

Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Balangan melaporkan seramai 10,949 penduduk terjejas, manakala 3,511 rumah dinaiki air melibatkan 27 kampung di tujuh mukim. Insiden itu disifatkan sebagai antara kejadian banjir terburuk di Balangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Situasi tersebut berlaku hanya beberapa minggu selepas kerajaan wilayah Kalimantan Selatan mengisytiharkan status waspada banjir, tanah runtuh dan puting beliung di Balangan, berkuat kuasa dari 12 November lalu hingga 31 Januari 2026, berikutan kemasukan fasa puncak musim hujan.

Ketua Daerah Balangan, Encik Abdul Hadi, berkata pemerintah tempatan telah mengisytiharkan status tindak balas kecemasan banjir sehingga 3 Januari 2026 bagi membolehkan usaha bantuan dan pemulihan dipercepatkan.

“Saya amat bimbang dengan skala bencana yang menimpa penduduk, khususnya di Tebing Tinggi dan Halong, di mana paras air meningkat dengan sangat cepat selepas hujan lebat,” katanya ketika meninjau kawasan terjejas pada 28 Disember.

Beliau menyeru penduduk supaya kekal tabah dan bersabar ketika pihak berkuasa berusaha memulihkan keadaan. “Kami akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan kehidupan masyarakat dapat kembali seperti sediakala secepat mungkin,” katanya.

Menurut Encik Abdul Hadi, usaha pasca-banjir dijalankan secara bersepadu melibatkan pentadbiran daerah, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia, komuniti setempat serta sukarelawan.
Keutamaan ketika ini, katanya, adalah membersihkan lapisan tebal lumpur dan sisa banjir yang menutupi rumah, jalan raya serta kemudahan awam agar kawasan terjejas dapat digunakan semula. “Tanpa pembersihan segera, risiko kesihatan dan kerosakan jangka panjang akan meningkat,” katanya.

Ketua Polis Balangan, Pesuruhjaya Polis Tambahan Kanan Yulianor Abdi, turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan banjir yang bermula awal pagi 28 Disember itu. “Bagi mempercepatkan pemulihan, saya telah mengarahkan anggota polis untuk turun padang membantu membersihkan lumpur dan sisa banjir di kawasan perumahan,” katanya, sambil menambah bahawa operasi dilakukan bersama penduduk setempat.

Selain kerja pembersihan, pihak berkuasa daerah bersama Forum Koordinasi Pimpinan Daerah turut mengadakan dialog dengan mangsa banjir serta mengagihkan bantuan kecemasan termasuk bekalan makanan, lampin bayi, sabun dan lilin.

Di luar Balangan, hujan berintensiti tinggi yang berpanjangan turut mencetuskan banjir di beberapa daerah lain di Kalimantan Selatan, menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan lebih besar sekiranya cuaca buruk berterusan.

BNPB turut melaporkan beberapa wilayah lain di Indonesia mengalami bencana hidrometeorologi dalam tempoh yang sama. Di Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, hampir 400 keluarga terjejas akibat banjir pada 27 Disember lalu. Di Jawa Tengah pula, banjir melanda Semarang dan Grobogan pada Jumaat, menjejaskan lebih 2,600 penduduk.

Angin kencang disertai hujan lebat turut merosakkan puluhan rumah di Pati dan mengorbankan seorang penduduk di Probolinggo. Di Jawa Barat, beberapa kawasan di Cirebon dan Subang turut dinaiki air pada Hari Krismas.

Rangkaian bencana ini menyusul tragedi banjir dan tanah runtuh maut yang melanda tiga wilayah di utara dan barat Sumatera pada 25 November lalu, yang telah meragut 1,140 nyawa setakat 28 Disember.
Walaupun usaha pemulihan masih berjalan, beberapa daerah di Aceh kembali dilanda banjir. Di Pidie Jaya, hujan lebat menyebabkan hampir semua lapan mukim terjejas minggu lalu.

“Hampir keseluruhan wilayah Pidie Jaya terkesan,” kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana daerah itu, Encik Muhammad Nur, seperti dipetik media tempatan.

Di Bener Meriah, antara daerah di Aceh paling teruk terjejas dalam bencana November lalu, puluhan rumah di Kampung Lampahan Induk dan Lampahan Timur kembali dinaiki air. “Banyak barang di rumah kami rosak, dan sehingga kini kami masih belum dapat berpindah masuk semula sejak banjir sebulan lalu,” kata seorang penduduk, Cik Nur Ainun, menggambarkan penderitaan berpanjangan mangsa bencana. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg