Topik diikuti
Pergi ke BHkuChatHPT Muhammadiyah: Sumber baharu panduan agama Islam
Namun, jawapan yang diberi tidak boleh dianggap fatwa rasmi
ChatHPT Muhammadiyah: Sumber baharu panduan agama Islam
Umat Islam yang mempunyai pelbagai persoalan mengenai agama tetapi keberatan mendapatkan nasihat daripada ulama kini boleh menggunakan ChatHPT, wadah berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang baru dilancarkan Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia.
HPT ialah singkatan bagi Himpunan Putusan Tarjih, iaitu himpunan keputusan hukum agama Muhammadiyah yang dirumus melalui penelitian ilmiah dan ijtihad secara bersama berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
Wadah itu dibangunkan bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat mengenai keputusan tarjih, fatwa serta soal jawab berkaitan agama.
Ia dilancarkan pada 5 November sempena persidangan tarjih nasional Muhammadiyah di Universiti Muhammadiyah Surabaya, selepas menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan sejak Ogos.
Sepanjang tempoh percubaan itu, ChatHPT menerima kira-kira 13,000 pertanyaan, sebelum jumlahnya melonjak kepada 50,756 hanya sehari selepas pelancaran rasminya.
“Kami tidak menjangkakan sambutan terhadap wadah ini begitu menggalakkan,” kata Ketua Penerbitan dan Kerjasama Majlis Tarjih dan Tajdid Muhammadiyah, Encik Niki Alma Febriana Fauzi, kepada Berita Harian.
Menurut beliau, idea awal pembangunan ChatHPT datang daripada Timbalan Ketua Bahagian Perpustakaan dan Maklumat Muhammadiyah, Encik Ismail Fahmi, yang juga pengasas syarikat analisis media sosial, Drone Emprit.
Encik Ismail mencadangkan pembangunan chatbot itu kepada Majlis Tarjih dan Tajdid Muhammadiyah.
Kedua-dua pihak kemudian bersetuju membahagikan tugas, dengan majlis tersebut menyediakan keputusan tarjih sebagai bahan rujukan, manakala bahagian yang diterajui Encik Ismail bertanggungjawab membangunkan wadah berkenaan.
Proses pembangunan dipercepatkan selepas tarikh persidangan tarjih nasional pada November diumumkan kerana kedua-dua pihak melihat acara itu sebagai masa paling sesuai untuk melancarkan ChatHPT.
“Sepanjang tempoh percubaan tiga bulan itu, kami menguji ketepatan jawapannya dan memperkukuh perlindungan keselamatan siber,” kata Encik Niki.
Selama ini, keputusan tarjih, himpunan fatwa dan soal jawab agama boleh didapati dalam bentuk buku serta dokumen digital.
Bagaimanapun, usaha mencari penjelasan tertentu daripada ribuan halaman dokumen sering mengambil masa yang lama dan memerlukan pengguna memahami bahan rujukan berkenaan.
Melalui ChatHPT, pengguna hanya perlu mengemukakan soalan menggunakan bahasa harian.
Sistem itu kemudian mencari dokumen berkaitan, menyediakan jawapan dan menyertakan rujukan kepada teks asal.
Pengguna juga boleh menyemak sumber yang dirujuk bagi memahami asas setiap jawapan yang diberikan.
Apabila ditanya mengenai fungsi dan cara ia beroperasi, ChatHPT menjelaskan bahawa ia bertindak sebagai “pembantu penyelidikan” yang direka untuk mencari maklumat dalam arkib HPT dan fatwa yang dikeluarkan Majlis Tarjih dan Tajdid Muhammadiyah.
“Saya tidak menghasilkan jawapan berdasarkan pengetahuan umum mengenai Islam atau mazhab fiqah lain.
“Sebaliknya, saya menggunakan maklumat secara khusus daripada sebuah pangkalan pengetahuan yang disediakan,” demikian penjelasan ChatHPT.
Pangkalan maklumat itu mengandungi 928 halaman keputusan tarjih dan fatwa, 1,222 halaman mengenai konsep usul fiqah atau prinsip perundangan Islam, serta 2,302 halaman maklumat berkaitan individu, institusi dan istilah.
“Oleh itu, apabila ditanya mengenai hukum Islam, saya merujuk secara langsung kepada tafsiran dan pendekatan Muhammadiyah berdasarkan sumber asalnya, bukan pandangan mazhab Syafii, Hanafi atau mazhab fiqah lain, kecuali pandangan tersebut disebut secara khusus dalam fatwa tarjih,” jelas ChatHPT.
Menurut Encik Ismail, lima topik paling kerap dibincangkan dalam ChatHPT semuanya berkaitan dengan amalan ibadah dan urusan kehidupan seharian.
Pertanyaan mengenai solat dan amalan agama mencatat jumlah tertinggi, termasuk cara menunaikan ibadah dengan betul, bilangan rakaat serta perkara berkaitan sujud.
Topik itu merangkumi kira-kira 16.2 peratus daripada keseluruhan pertanyaan, iaitu tiga kali ganda jumlah pertanyaan bagi topik kedua paling popular.
Antara persoalan lain yang kerap dikemukakan termasuk urus niaga digital dan isu hukum Islam berkaitan AI, perkahwinan, perceraian dan rujuk, serta urusan jual beli, riba dan etika perniagaan.
Isu merokok dan penggunaan tembakau turut menjadi antara topik paling banyak dibincangkan dalam ChatHPT.
Indonesia merupakan antara negara yang mempunyai kadar merokok tertinggi di dunia, khususnya dalam kalangan lelaki dewasa.
Menurut data Tinjauan Kesihatan Indonesia 2023 oleh Kementerian Kesihatan, negara itu mempunyai kira-kira 70 juta perokok, dengan 7.4 peratus daripadanya berusia antara 10 dengan 18 tahun.
Muhammadiyah mengeluarkan fatwa pada Mac 2010 yang mengharamkan perbuatan merokok.
Fatwa itu turut menetapkan bahawa perokok wajib berusaha sedaya upaya menghentikan tabiat tersebut, dan bukannya sekadar dianggap berdosa tanpa diberi peluang berhenti.
ChatHPT juga menyediakan perbincangan terperinci mengenai kalendar Hijrah sejagat tunggal yang diperkenalkan Muhammadiyah pada Jun 2025.
Kalendar itu menetapkan lebih awal tarikh permulaan setiap bulan dalam tahun Hijrah, termasuk Ramadan, tanpa memerlukan pengesahan melalui cerapan anak bulan.
Pendekatan tersebut turut membolehkan tarikh sambutan perayaan Islam ditentukan lebih awal.
Menurut Encik Ismail, dapatan itu menunjukkan masyarakat bukan sahaja mencari panduan mengenai ibadah, malah mahu memahami bagaimana prinsip Islam boleh diterapkan dalam kehidupan harian yang semakin bergantung pada teknologi digital.
Beliau berkata pengguna ChatHPT juga tidak terhad kepada anggota berdaftar Muhammadiyah, berdasarkan jumlah akaun yang didaftarkan dan pengguna yang memasuki sistem tersebut.
Bagi ramai pengguna, perkhidmatan itu menjadi saluran pertama untuk mengenali pendekatan Muhammadiyah dalam mentafsir ajaran Islam dan menangani persoalan agama.
Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk menggalakkan mereka menyertai Muhammadiyah sebagai anggota rasmi.
Pengguna boleh mengakses perkhidmatan itu melalui laman web hpt.muhammadiyah.or.id atau aplikasi sehenti MASA menggunakan akaun Muhammadiyah ID.
Encik Ismail berkata cabaran utama ChatHPT adalah untuk memastikan mutu jawapannya terus terpelihara dan sistemnya kekal berdaya tahan apabila jumlah pengguna semakin meningkat, di samping memperluas koleksi dokumen rujukan.
Sementara itu, Pengerusi Muhammadiyah, Encik Haedar Nashir, berkata anggota pimpinan pusat pertubuhan tersebut menyambut baik pembangunan ChatHPT sebagai satu bentuk tajdid atau pembaharuan agama secara amali.
Menurut beliau, penggunaan teknologi itu dapat memperluas akses masyarakat kepada maklumat dan bahan rujukan Islam.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa jawapan yang dihasilkan ChatHPT tidak boleh dianggap sebagai fatwa rasmi.
“Kuasa membuat keputusan dan mengeluarkan fatwa tetap terletak pada majlis dan persidangan nasional,” kata Encik Haedar.
“
“Kuasa membuat keputusan dan mengeluarkan fatwa tetap terletak pada majlis dan persidangan nasional.”