Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia kaji guna ganja untuk perubatan

May 9, 2025 | 2:27 PM
dadah, indonesia, ganja
Jabatan Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia pada 5 Mac mempamerkan sejumlah besar dadah yang telah dirampas dalam operasi antara Januari dengan Februari 2025. - Foto AFP

JAKARTA: Badan Narkotik Nasional Indonesia (BNN) merancang melaksanakan satu kajian menyeluruh bagi menilai potensi ganja dalam bidang perubatan.

Kajian itu bakal dijalankan melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan dan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), menggunakan kemudahan Makmal Forensik BNN yang dikenali sebagai antara paling moden dan lengkap di Asia Tenggara.

Ketua BNN, Jeneral Marthinus Hukom, dalam satu sesi persidangan bersama ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), menegaskan, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti secara saintifik dan menyeluruh terhadap cadangan pelonggaran penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

“Kami menyedari perbahasan awam yang semakin hangat mengenai isu ini, namun keputusan harus bersandarkan kepada bukti dan penyelidikan, bukan sekadar tekanan sosial atau politik,” ujarnya seperti yang dilaporkan agensi berita, Antara.

Jeneral Marthinus turut menjelaskan sekiranya kajian itu membuktikan ganja mempunyai manfaat terapeutik, ia bukan bermakna ganja akan diluluskan penggunaannya secara umum.

“Kesahan penggunaannya akan kekal terhad dan terkawal, sekiranya terbukti bermanfaat. Ini bukan lesen terbuka untuk penyalahgunaan,” katanya.

Pandangan itu dibuat susulan kritikan Ahli Parlimen daripada Parti Demokrat, Encik Hinca Pandjaitan, yang menyifatkan pemerintah terlalu lambat dalam memberi tindak balas terhadap keperluan rakyat.

Beliau menyatakan ramai ibu bapa pesakit palsi serebrum telah memfailkan petisyen ke Mahkamah Perlembagaan bagi membolehkan penggunaan ganja perubatan.

Namun menurutnya prosesnya terlalu lambat sehingga ada anak yang meninggal dunia tanpa sempat mendapat akses kepada rawatan alternatif.

Pada 2022, Mahkamah Perlembagaan menolak petisyen tiga ibu kepada anak yang menghidap penyakit di akhir hayat yang memerlukan ganja sebagai rawatan.

Keputusan mahkamah menyatakan bahawa tiada data saintifik mencukupi dalam negara untuk menyokong petisyen tersebut.

Namun, mahkamah turut menggesa pemerintah supaya segera memulakan kajian saintifik berskala kebangsaan untuk menilai kemungkinan penggunaannya dalam konteks perubatan.

Mengikut Undang-Undang Narkotik 2009, ganja tergolong dalam kategori narkotik Golongan I, bersama heroin, kokain dan syabu.

Bahan-bahan itu diharamkan sepenuhnya untuk sebarang bentuk penggunaan, termasuk rawatan kesihatan, kecuali untuk penyelidikan yang mendapat kelulusan khas.

Pada 2024, Mahkamah turut menolak petisyen daripada Cik Pipit Sri Hartanti, dan suaminya, Encik Supardji, yang memohon agar ganja dibenarkan bagi rawatan palsi serebrum anak mereka.

Mereka menyertakan data dan saranan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mencadangkan agar ganja dikeluarkan daripada Senarai IV Konvensyen Tunggal 1961 mengenai Dadah Narkotik.

Namun mahkamah menolak dengan alasan pemerintah Indonesia tidak sehaluan dengan saranan WHO kerana menilai risiko penyalahgunaan ganja lebih besar daripada manfaatnya.

Desakan daripada masyarakat awam, termasuk kumpulan perubatan dan hak asasi manusia, semakin meningkat.

Mantan Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin, pernah menyuarakan pandangan agar Majlis Ulama Indonesia (MUI) menilai semula fatwa yang mengharamkan ganja, sekiranya ia digunakan dengan tujuan rawatan yang sah.

Beberapa kajian antarabangsa, walaupun terhad, menunjukkan potensi ganja dalam mengurangkan kesakitan kronik, menangani kekejangan otot dan mengurangkan kejang dalam kalangan pesakit palsi serebrum.

Namun setakat ini, penyelidikan dalam negara dalam bidang itu masih belum mencukupi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg