Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia perkukuh pertahanan udara, tandatangan kontrak beli 48 jet pejuang KAAN dari Turkey

Jul 30, 2025 | 3:33 PM
Indonesia dan Turkey menandatangani perjanjian pembelian 48 buah jet pejuang generasi kelima KAAN dari Turkey tersebut pada 26 Julai 2025 di Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) di Istanbul.
Indonesia dan Turkey menandatangani perjanjian pembelian 48 buah jet pejuang generasi kelima KAAN dari Turkey tersebut pada 26 Julai 2025 di Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) di Istanbul. - Foto Instagram  Sjafrie Sjamsoeedin

JAKARTA: Indonesia secara rasmi telah menandatangani kontrak pembelian 48 buah jet pejuang generasi kelima KAAN dari Turkey, menjadikan negara ini pelanggan antarabangsa pertama bagi pesawat tempur baharu yang sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Perjanjian ini diumumkan oleh Kementerian Pertahanan Indonesia pada Selasa sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh Jakarta untuk memodenkan angkatan tenteranya yang semakin usang.

Kontrak itu ditandatangani pada 26 Julai lalu di Istanbul, bersempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF). Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (Bersara) Sjafrie Sjamsoeddin, menyaksikan majlis pemeteraian tersebut.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Encik Frega Wenas Inkriwang berkata: “Kontrak ini memperkukuh komitmen bersama antara Indonesia dan Turkey dalam membangunkan teknologi pertahanan serta memperluas kapasiti industri pertahanan dalam negara.”

Presiden Turkey Encik Recep Tayyip Erdogan turut mengesahkan kerjasama itu dalam satu kenyataan di platform media sosial X. “Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani bersama negara sahabat dan saudara kami, Indonesia, sebanyak 48 pesawat tempur KAAN akan dihasilkan di Turkey dan dieksport ke Indonesia,” katanya.

Encik Erdogan menambah bahawa kemampuan industri Indonesia juga akan dilibatkan dalam program tersebut, walaupun butiran lanjut mengenai pemindahan teknologi masih belum diumumkan.

Pesawat KAAN yang sebelum ini dikenali sebagai TF-X direka sebagai jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima dengan ciri-ciri halimunan (stealth), radar AESA, kebolehan supercruise -  keupayaan sesebuah pesawat pejuang untuk terbang pada kelajuan supersonik dan sistem rangkaian taktikal canggih.

Ujian penerbangan pertama telah dijalankan pada Februari 2024, dan penghantaran pertama kepada Indonesia dijangka bermula pada 2028. Produksi besar-besaran pesawat ini hanya dijangka bermula sekitar tahun 2028.

Versi awal KAAN akan menggunakan enjin General Electric F110, enjin yang sama digunakan dalam jet F-16, sebelum beralih kepada enjin buatan tempatan menjelang awal 2030-an.

Selain pesawat KAAN, Indonesia juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan limbungan kapal TAIS dari Turkey untuk pembelian dua buah frigat kelas Milgem Istif. Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Sjafrie menerusi media sosial pada 28 Julai. Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan belum memberikan butiran lanjut mengenai nilai atau jadual penghantaran kapal tersebut.

Kontrak dengan Turkey ini melengkapkan pendekatan pelbagai sumber Jakarta dalam memperkukuh kekuatan tenteranya. Pada 2022, Indonesia telah menempah 42 buah jet Rafale buatan Perancis bernilai AS$8.1 bilion ($10.42 bilion. Selain itu, negara ini sedang mempertimbangkan untuk membeli jet J-10 dari China dan meneruskan rundingan bagi mendapatkan jet F-15EX dari Amerika Syarikat.

Indonesia turut menjadi rakan kongsi junior dalam projek pembangunan jet pejuang KF-21 Boramae bersama Korea Selatan, namun telah menerima kritikan kerana kelewatan bayaran. Daripada jumlah yang dipersetujui sebanyak AS$1.16 bilion, Indonesia setakat ini hanya membayar AS$437 juta. Perkara ini menyebabkan Agensi Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan (DAPA) memperlahankan proses pemindahan teknologi.

Projek KAAN mencerminkan perubahan ketara dalam pendekatan pertahanan Turkey, daripada bergantung kepada pembekal luar kepada menjadi negara pengeksport sistem persenjataan. Turkey sejak dua dekad lalu melabur besar dalam industri pertahanan domestik termasuk dron, kenderaan berperisai dan kapal perang dan kini melangkah ke pembangunan pesawat pejuang berteknologi tinggi.

Menurut pemerhati industri, perjanjian antara Indonesia dan Turkey bukan sahaja melibatkan urus niaga komersial, tetapi juga kerjasama strategik dalam jangka panjang. “Ini bukan hanya tentang membeli pesawat, tetapi membina keupayaan bersama. Indonesia melihat Turkey sebagai rakan teknologi pertahanan yang setara dan fleksibel,” kata seorang penganalisis ketenteraan tempatan.

Dengan pelbagai perjanjian pertahanan merentasi benua dari Perancis, Korea Selatan, China hingga Turki Indonesia kini sedang merangka strategi pertahanan udara yang kompleks dan berlapis. Pendekatan ini menandakan peralihan dasar pertahanan Indonesia ke arah ketahanan teknologi dan keupayaan tempur serantau.

“Kita tidak hanya mahu beli, kita mahu membangunkan bersama,” tegas Encik Sjafrie, merujuk kepada sasaran jangka panjang Indonesia untuk membina industri pertahanannya sendiri. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg