JAKARTA: Badan perundangan Parlimen Indonesia mengesahkan bahawa rang undang-undang (RUU) pengampunan cukai dimasukkan sebagai salah satu keutamaan tahun 2025 ini, dalam usaha meningkatkan pendapatan negara daripada aset yang belum diisytiharkan.
Anggota Parlimen Encik Martin Manurung berkata kepada Reuters pada 19 September bahawa langkah ini bukan keputusan tergesa-gesa, sebaliknya sudah berada dalam senarai keutamaan sejak awal. “Ini bukan sesuatu yang tiba-tiba, memang sudah termasuk dalam program legislasi nasional. Namun, ia tetap memerlukan persetujuan lebih luas dalam pengundian Parlimen nanti,” katanya.
Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, sebelum ini telah melaksanakan dua program pengampunan cukai pada 2016 dan 2022. Kedua-dua program itu berjaya mendedahkan lebih daripada AS$340 bilion (S$436 billion) aset yang tidak dilaporkan.
Melalui skim berkenaan, pembayar cukai ditawarkan kadar cukai lebih rendah sekiranya mereka tampil mengisytiharkan aset tersembunyi, manakala pihak berkuasa memberi amaran akan mengenakan penalti kepada mereka yang gagal berbuat demikian.
Namun, pemerintah pada waktu itu menegaskan bahawa tiada lagi program pengampunan cukai baharu akan diperkenalkan selepas 2022, sebaliknya akan menumpukan kepada usaha memperbaiki kepatuhan cukai. Justeru, cadangan baharu ini dijangka mencetuskan perdebatan hangat mengenai konsistensi dasar fiskal negara.
Setakat ini, butiran lengkap mengenai RUU berkenaan masih belum didedahkan. Encik Manurung merujuk pihak media kepada Suruhanjaya XI Parlimen yang menangani urusan kewangan untuk maklumat lanjut.
Kementerian Kewangan Indonesia juga belum memberikan sebarang respons terhadap permintaan komen mengenai cadangan undang-undang ini.
Penganalisis menjangka, jika dilaksanakan, program pengampunan cukai kali ini bakal menimbulkan dilema politik dan ekonomi. Di satu pihak, ia boleh meningkatkan hasil negara dalam tempoh singkat, terutama ketika pemerintah memerlukan dana tambahan bagi menampung pembangunan infrastruktur dan program sosial.
Namun di pihak lain, ia boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan kerana dilihat tidak konsisten dengan janji terdahulu. “Jika program ini terus dilaksanakan, pemerintah perlu menjelaskan secara telus mengapa ia diperlukan dan bagaimana ia berbeza daripada pengampunan sebelumnya. Tanpa itu, keyakinan rakyat terhadap dasar fiskal boleh terjejas,” kata seorang penganalisis kewangan tempatan.
Dengan perbahasan Parlimen yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat, masa depan RUU pengampunan cukai ini akan menentukan sama ada Indonesia sanggup berkompromi dengan janji lama, atau memilih jalan pragmatik demi meningkatkan hasil negara. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg