BATAM: Pihak berkuasa Indonesia melancarkan siasatan terhadap kes pengimportan haram sisa elektronik dari Amerika Syarikat, susulan ketibaan 19 kontena yang didakwa mengandungi bahan berbahaya di Pelabuhan Batu Ampar di Batam.
Ketua Pejabat Kastam Batam, Encik Zaky Firmansyah, berkata pihaknya bersama Lembaga Kemajuan Batam (BP Batam) dan Kementerian Alam Sekitar, akan memeriksa penghantaran sisa tersebut lewat minggu ini.
“Kementerian Alam Sekitar akan menilai sama ada kandungan kontena memenuhi kriteria untuk bahan berbahaya dan toksik,” kata Encik Zaky pada 29 September.
Kes itu timbul selepas Rangkaian Tindakan Basel (BAN), badan pemerhati alam sekitar global yang berpangkalan di Amerika, memaklumkan misi tetap Indonesia kepada organisasi antarabangsa di Geneva tentang penghantaran e-sisa yang berpotensi menyalahi undang-undang negara itu.
BAN terkenal kerana mengesan dan mendedahkan aliran sisa berbahaya, terutamanya e-sisa, dari negara maju ke negara membangun.
Salah satu syarikat yang didakwa terlibat mengimport e-sisa itu ialah PT Esun International Utama Indonesia, sebuah syarikat eksport-import dan kitar semula yang baru-baru ini menghantar enam kontena e-sisa dari Amerika ke Batam, menurut Kementerian Alam Sekitar.
Pemeriksaan awal mendapati kontena itu dipenuhi dengan pelbagai bahagian komputer yang rosak, termasuk pengecas komputer riba, cakera keras, papan litar bercetak (PCB) dan monitor.
Peraturan Indonesia mengklasifikasikan peralatan itu sebagai bahan berbahaya dan toksik (B3), yang memerlukan pengendalian dan pelupusan khas untuk mengelakkan kemudaratan jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
Menteri Alam Sekitar, Encik Hanif Faisol Nurofiq, berkata e-sisa itu didakwa diimport tanpa pemberitahuan terlebih dahulu antara negara pengeksport dengan pengimport.
“Indonesia komited sepenuhnya untuk menegakkan Konvensyen Basel. Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan amalan haram yang membahayakan orang ramai,” kata Encik Hanif, merujuk kepada perjanjian antarabangsa yang mengawal selia pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya dan pelupusannya.
Indonesia mengesahkan konvensyen itu pada 1993.
Encik Hanif juga berkata import e-sisa itu melanggar artikel 69 dan 106 Undang-undang Alam Sekitar 2009, yang membawa hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda antara 3 bilion rupiah ($232,083) dengan 10 bilion rupiah.
Kementerian itu pada asalnya menjadualkan penutupan Esun International pada 22 September, tetapi rancangan itu dibatalkan secara tiba-tiba selepas ratusan pekerja syarikat itu didakwa mengancam untuk menghalang langkah itu dengan mengadakan bantahan.
Walaupun meratifikasi Konvensyen Basel beberapa dekad lalu, Indonesia terus bergelut dengan pengimportan sisa toksik yang berleluasa.
Awal September lalu, pemerintah Indonesia mengumumkan rancangan mengeksport semula 14 kontena besi buruk yang diimport dari Filipina selepas didapati tercemar dengan cesium-137 (Cs-137), hasil sampingan radioaktif pemecahan nuklear.
Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Zulkifli Hasan, berkata insiden itu menekankan keperluan mendesak untuk mengukuhkan pengawasan dan kawalan ke atas sisa import bagi mengelakkan risiko serupa pada masa depan.
“Pasukan petugas khas telah dibentuk untuk mengendalikan kes ini. Kami juga sedang mengkaji dan mengukuhkan peraturan, terutamanya untuk bahan buangan,” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg