Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia susun semula dana program makanan percuma ikut keputusan mahkamah
Pemerintah Indonesia akan mematuhi keputusan Mahkamah Perlembagaan yang mengarahkan pembiayaan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG), iaitu program makanan percuma untuk pelajar yang menjadi inisiatif utama Presiden Prabowo Subianto, dikeluarkan daripada peruntukan belanjawan pendidikan negara selewat-lewatnya dalam Belanjawan Negara 2028.
Mahkamah Perlembagaan pada 30 Julai memutuskan bahawa pembiayaan program MBG bukan sebahagian daripada komponen teras penyediaan pendidikan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Indonesia.
Sehubungan itu, dana bagi program berkenaan tidak lagi akan dikira sebagai sebahagian daripada peruntukan pendidikan yang diwajibkan Perlembagaan, iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan belanjawan negara.
Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pemerintah akan mematuhi keputusan mahkamah dan menyusun semula struktur perbelanjaan apabila penyediaan Belanjawan Negara 2028 dimulakan.
Beliau menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang Belanjawan 2027 kini berada pada peringkat akhir penyediaan, sekali gus menyukarkan sebarang perubahan besar dilakukan ketika ini.
“Saya percaya Mahkamah Perlembagaan juga mengambil kira bahawa proses penyediaan belanjawan telah selesai dan kini berada pada peringkat akhir.
“Jika semuanya diubah sekarang, kami tidak akan dapat menyiapkannya mengikut jadual,” katanya.
Presiden Prabowo dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan 2027 di Parlimen pada 16 Ogos, selaras dengan tradisi tahunan apabila Presiden menyampaikan ucapan kenegaraan dan pembentangan belanjawan sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos.
Parlimen dijangka meluluskan rang undang-undang itu menjadi undang-undang menjelang penghujung tahun.
Walaupun menyambut baik keputusan Mahkamah Perlembagaan, beberapa pertubuhan masyarakat sivil berharap pemerintah dapat mempertimbangkan pelaksanaan keputusan itu lebih awal memandangkan masih terdapat ruang untuk membuat pindaan sebelum Belanjawan 2027 diluluskan.
Rangkaian Pemantauan Pendidikan Indonesia (JPPI) berpandangan pelaksanaan yang lebih awal akan lebih selaras dengan semangat keputusan mahkamah, manakala gabungan masyarakat sivil MBG Watch menerusi kumpulan advokasi kesihatan Lapor Sihat turut menggalakkan pemerintah mempercepatkan pelaksanaan itu tanpa perlu menunggu sehingga 2028.
“Masih ada ruang untuk menyemak semula Rang Undang-Undang Belanjawan 2027 dan mengasingkan dana MBG daripada bajet pendidikan. Dengan sokongan serta komitmen ahli Parlimen, langkah itu boleh dipertimbangkan sebelum rang undang-undang berkenaan diluluskan,” kata Penyelaras Nasional JPPI, Encik Ubaid Matraji, kepada Berita Harian.
Hakim Mahkamah Perlembagaan, Cik Enny Nurbaningsih, berkata mahkamah mengakui Belanjawan 2027 telah disediakan sejak awal 2026, namun pelaksanaan keputusan itu lebih awal adalah lebih baik sekiranya pemerintah mampu melakukannya.
“Bagi mempercepatkan pematuhan kepada Perkara 31 Perlembagaan 1945, jika pemerintah dapat menyelaraskan struktur Belanjawan Negara 2027 dengan keputusan ini, adalah lebih baik pembiayaan MBG dikeluarkan daripada bajet operasi pendidikan bermula pada 2027,” tambahnya.
Daripada keseluruhan peruntukan pendidikan berjumlah 769.1 trilion rupiah ($17.6 bilion) dalam Belanjawan 2026, kira-kira 223.6 trilion rupiah diperuntuk bagi membiayai program MBG.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Kewangan, Encik Deni Surjantoro, berkata pemerintah akan membuat pelarasan secara terancang ketika penyediaan Belanjawan 2028 bagi memastikan proses pengurusan fiskal dan penyediaan belanjawan negara berjalan lancar.
Menurutnya, pendekatan itu juga bertujuan memastikan pembiayaan program keutamaan pemerintah terus mampan di samping memenuhi keperluan Perlembagaan berkaitan peruntukan wajib bagi sektor pendidikan.
“Kementerian Kewangan akan terus memantau proses pelarasan belanjawan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa supaya keputusan mahkamah dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan bertanggungjawab, selain mengekalkan kredibiliti pengurusan kewangan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Lapor Sihat berharap pengasingan dana MBG daripada belanjawan pendidikan dapat dilaksanakan dengan memastikan peruntukannya tidak dipindahkan kepada sektor kesihatan.
Menurut gabungan itu, sebanyak 24.7 trilion rupiah telah diklasifikasikan di bawah sektor kesihatan bagi membiayai program MBG dalam Belanjawan 2026.
Mereka berpandangan program MBG wajar mempunyai peruntukan kewangan khusus supaya pembiayaannya dapat diurus secara lebih mampan tanpa menjejas peruntukan bagi sektor pendidikan mahupun kesihatan.
