Lama sebelum Presiden kedua Indonesia, Suharto, memperkenalkan program perancang keluarga pada akhir 1960-an untuk mengawal pertumbuhan penduduk, sebuah kampung purba di Jawa Barat, wilayah paling padat di Indonesia telah lama mengamalkan cara hidup tradisional untuk mengawal jumlah penduduk.
Ini dilakukan dengan mengehadkan bilangan rumah di kampung dan mengekalkan kelestarian hutan sekitarnya.
Kampung Pulo di daerah Garut, kira-kira 45 kilometer dari Bandung, ibu kota wilayah tersebut, hanya mengekalkan tujuh bangunan sejak ia diasaskan pada abad ke-17.
Ia terdiri daripada enam rumah kayu untuk enam keluarga yang disusun dalam dua baris saling berhadapan, serta sebuah surau kecil di hujung barisan.
Penduduk kampung itu merupakan keturunan Arief Muhammad, juga dikenali dengan gelaran kehormat Embah Dalem Arief Muhammad, yang menyebarkan Islam di kawasan tersebut pada abad ke-17.
“Saya tinggal di sini bersama suami dan ibu saya.
“Dahulu kami tinggal di luar kampung dan berpindah ke sini untuk tinggal bersama ibu selepas ayah meninggal dunia kerana kami perlu mengambil alih rumah tangga,” kata Cik Dede Rohati kepada Berita Harian semasa lawatan ke kampung itu pada 29 Julai.
Mengikut tradisi, apabila keluarga semakin membesar dan anak-anak berkahwin, mereka perlu berpindah keluar dari kampung kerana penduduk dilarang membina rumah tambahan.
Hanya seorang anak perempuan sahaja yang dibenarkan mewarisi rumah keluarga di Kampung Pulo, selaras dengan sistem warisan matrilineal, iaitu nasab ibu – sistem kekeluargaan yang menurunkan hak milik dan keturunan melalui garis sebelah ibu.
Anak perempuan yang terpilih akan mengambil alih tanggungjawab rumah tangga apabila ibu atau bapa (dalam kes ini, Cik Dede atau suaminya) meninggal dunia.
Amalan itu telah diwarisi sejak turun-temurun.
Selain mengehadkan bilangan rumah, satu lagi larangan yang mesti dipatuhi oleh penduduk ialah tidak dibenarkan bertani atau menternak haiwan berkaki empat.
Untuk memelihara air bawah tanah, penduduk turut dilarang menebang pokok di hutan sekeliling kampung.
Kampung itu terletak di atas pulau seluas 16.5 hektar di tengah Situ Cangkuang (Tasik Cangkuang), dan hanya boleh diakses menggunakan rakit buluh.
Ia terletak bersebelahan dua tapak suci: Candi Cangkuang, satu-satunya kuil Hindu yang pernah ditemui di Jawa Barat dan bertarikh abad kelapan, serta makam Embah Dalem Arief Muhammad yang berada di atas bukit kecil berhampiran.
Candi Cangkuang menempatkan arca dewa Hindu Shiva yang menunggang lembu Nandi, yang dalam ajaran Hindu dianggap sebagai penjaga pintu Shiva.
“Inilah kemungkinan sebab penduduk dilarang memelihara lembu, selain untuk memastikan kawasan kampung, candi, makam dan hutan kekal bersih daripada najis haiwan,” kata Encik Zaki Munawar, penjaga tapak Cangkuang, kepada Berita Harian.
“Ini membuktikan bahawa toleransi beragama telah lama diamalkan di kampung ini.
“Malah penduduk kampung yang beragama Islam juga tidak akan menyembelih lembu sebagai tanda menghormati nilai tradisi Hindu yang dilambangkan oleh kehadiran patung Nandi di candi,” tambahnya.
Penduduk kampung juga masih mengekalkan amalan ritual tradisional seperti membuat persembahan semasa musim menuai sebagai sebahagian daripada warisan budaya turun-temurun.
Walaupun mereka beragama Islam, mereka melihat amalan itu lebih sebagai penghormatan kepada alam dan adat nenek moyang, bukan sebagai bentuk penyembahan.
Kehidupan mereka yang berpaksikan keharmonian dengan alam membuahkan hasil tuaian yang mencukupi.
Nasi menjadi makanan ruji harian, hasil dari sawah yang mereka usahakan secara lestari sepanjang generasi.
Untuk sumber protein, mereka bergantung pada ikan dari tasik yang mereka ternak sendiri melalui ritual tahunan penaburan benih ikan.
“Inilah antara cara kami mengekalkan kehidupan yang lestari dengan bergantung pada alam semula jadi.
“Jika saya tabur benih ikan hari ini, mungkin saya bukan orang yang akan menangkapnya, tapi ia akan ada untuk orang lain atau generasi seterusnya, seperti yang dilakukan oleh nenek moyang kami.
“Kami tak menternaknya untuk dijual, tetapi sebagai sumber makanan sendiri,” ujar Encik Zaki.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg