Seekor orang utan di Kalimantan Barat mati selepas mengalami kesukaran bernafas, tidak lama selepas ditemui dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri di sebuah ladang kelapa sawit milik penduduk di Ketapang, antara kawasan di wilayah itu yang paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan dan lahan di Indonesia.

Balai Pemuliharaan Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Barat mengesahkan Sempurna, seekor orang utan Borneo jantan dewasa atau Pongo pygmaeus, mati hanya beberapa jam selepas diselamatkan pada 30 Ogos.

Haiwan itu ditemui di dalam sebuah parit yang kering di sebuah ladang di Dusun Sempurna dalam keadaan sukar bernafas dan tidak mampu berdiri.

Ia diselamatkan oleh pasukan BKSDA bersama kumpulan pemuliharaan Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI).

Pasukan veterinar memberikan bantuan oksigen dan cecair intravena kepada Sempurna di lokasi sebelum membawanya ke pusat pemulihan YIARI untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, keadaannya merosot tidak lama kemudian dan tahap ketepuan oksigennya semakin menurun sehingga tidak dapat dikesan.

Pasukan veterinar kemudian melakukan resusitasi jantung dan paru-paru, tetapi Sempurna tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas dan disahkan mati pada 3.20 petang.

Kematian Sempurna dipercayai menjadi kes pertama yang diketahui membabitkan orang utan yang mati akibat kesan kebakaran hutan yang melanda banyak kawasan di Kalimantan sejak lebih sebulan lalu.

Kalimantan mempunyai kawasan hutan hujan tebal dan tanah gambut yang menjadi habitat semula jadi pelbagai hidupan liar, termasuk spesies terancam. Sebahagian kawasan itu telah dibersihkan dan ditukar menjadi ladang kelapa sawit.

Jurucakap YIARI, Encik Heribertus Suciadi, berkata pasukan veterinar menjalankan bedah siasat pada 1 September bagi menentukan punca kematian Sempurna.

Pemeriksaan mendapati haiwan itu mengalami perubahan patologi pada beberapa organ, khususnya paru-paru, jantung dan buah pinggang.

“Perubahan patologi pada paru-paru disyaki mempunyai kaitan dengan pendedahan kepada asap berdasarkan sejarah klinikal dan hasil pemeriksaan.

“Keadaan itu mungkin telah menjejaskan fungsi paru-paru dan menyebabkan kekurangan oksigen dalam tubuh. Ia juga disyaki menyumbang kepada gangguan fungsi kardiovaskular dan akhirnya menyebabkan kematian Sempurna,” kata Encik Heribertus kepada Berita Harian (BH).

Ketua BKSDA Kalimantan Barat, Cik Murlan Dameria Pane, menyampaikan rasa dukacita atas kematian Sempurna dan kesal haiwan itu tidak dapat diselamatkan.

Beliau bagaimanapun menghargai tindakan penduduk setempat yang melaporkan penemuan orang utan tersebut, terutama apabila haiwan liar ditemui dalam keadaan sakit, cedera atau terjejas akibat kebakaran hutan dan lahan.

Laporan penduduk mengenai Sempurna membolehkan pasukan BKSDA dan YIARI segera dikerahkan untuk menyelamatkan haiwan itu.

BKSDA Kalimantan Barat dan YIARI turut menjalankan satu lagi operasi menyelamat membabitkan seekor orang utan betina dewasa bersama anaknya di Desa Sungai Awan Kiri pada 30 Ogos.

Kedua-duanya kemudian dinamakan Mama Man dan Man.

Encik Heribertus berkata dua orang utan itu telah dikesan sejak pertengahan Jun di sebuah ladang milik penduduk yang bersempadan dengan kawasan hutan.

Sebelum kebakaran dan asap menghampiri habitat semula jadi mereka, kedua-duanya masih mempunyai ruang untuk bergerak dalam kawasan hutan yang masih ada.

Bagaimanapun, apabila api dan asap semakin menghampiri hutan, pasukan penyelamat dikerahkan untuk memindahkan Mama Man, yang dianggarkan berusia sekitar 20 tahun, bersama anak jantannya yang berusia kurang setahun.

Mama Man terpaksa diberikan ubat penenang untuk operasi menyelamat. Pemeriksaan awal mendapati ia tidak mengalami kecederaan fizikal atau kesan terbakar.

Namun, pasukan veterinar mendapati Man mengalami lelehan pada hidung serta kesan cecair kering di sekitarnya, yang disyaki berpunca daripada pendedahan kepada asap kebakaran di kawasan hutan berkenaan.

“Operasi menyelamat ini menunjukkan tekanan yang semakin meningkat terhadap hidupan liar apabila kebakaran hutan dan lahan merebak di seluruh Ketapang.

“Dalam tempoh kurang sebulan, BKSDA Kalimantan Barat dan YIARI telah menyelamatkan sekurang-kurangnya sembilan orang utan yang terancam akibat kebakaran di beberapa kawasan di daerah ini,” kata Encik Heribertus.

Sementara itu, Menteri Kehutanan Indonesia, Encik Raja Juli Antoni, pada 5 September menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sekiranya menemui orang utan atau haiwan liar lain yang perlu dipindahkan akibat kebakaran hutan dan tanah gambut yang sedang berlaku.

Laporan boleh dibuat menerusi pusat panggilan khas yang dihubungkan dengan BKSDA di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat.

Menurut beliau, pasukan BKSDA tempatan bersama pertubuhan pemuliharaan yang paling hampir dengan lokasi akan dikerahkan selepas menerima laporan untuk menyelamatkan haiwan yang terjejas akibat kebakaran dan asap.

Data Kementerian Kehutanan berdasarkan analisis populasi dan daya maju habitat pada 2016 menganggarkan sekitar 57,350 orang utan masih hidup dalam habitat semula jadi seluas 16.01 juta hektar di Pulau Borneo.

Populasi itu tersebar di 42 kelompok di lima wilayah Kalimantan di Indonesia serta Sabah dan Sarawak di Malaysia.

Daripada 42 kelompok populasi tersebut, hanya 18 diramalkan mampu kekal berdaya maju dalam tempoh 100 hingga 500 tahun akan datang.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti