JAKARTA: Indonesia bersiap melaksanakan salah satu perubahan pendidikan terbesar dalam tempoh beberapa dekad apabila pemerintah mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan menjadi mata pelajaran wajib di sekolah rendah mulai 2027, bermula Tahun 3.
Langkah itu, menurut pemerhati, menandakan usaha serius pemerintah meningkatkan kecekapan bahasa asing dan mempersiapkan pelajar menghadapi persaingan sejagat.
Namun ketika dasar baru itu disambut baik oleh ramai pendidik, satu lagi pengumuman mencetuskan perdebatan hangat.
Ia berlaku apabila bahasa Portugis turut diperkenalkan sebagai ‘bahasa asing prioriti’ di sekolah Indonesia.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Prabowo Subianto selepas pertemuannya dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, pada 23 Oktober – satu kenyataan yang sehingga kini menimbulkan persoalan besar tentang rasional, keperluan dan implikasinya.
Mengumumkan dasar baru itu, Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah, Encik Abdul Mu’ti, berkata penguasaan bahasa Inggeris adalah keperluan asas bagi Indonesia untuk melahirkan pelajar yang produktif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Mulai 2027, bahasa Inggeris akan diajar sebagai subjek wajib. Keutamaan kami ialah memastikan guru-guru terlatih sepenuhnya untuk mengajar di sekolah rendah,” katanya lapor, Metro TV News.
Dasar itu dimaktub di bawah peraturan 2025 yang menyusun semula sukatan mata pelajaran nasional.
Pemerintah turut merangka program peningkatan kemahiran guru khusus untuk pengajaran bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah.
Menurut Encik Abdul Mu’ti, “Penguasaan bahasa asing, terutama Inggeris, adalah kunci untuk meningkatkan daya saing sejagat generasi muda Indonesia.”
Walaupun wujud kesepakatan tentang keperluan menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib, kebimbangan besar timbul mengenai kemampuan sistem pendidikan menyediakan guru yang mencukupi.
Pengarah Penyelaras Jaringan Pemantau Nasional Pendidikan Indonesia JPPI, Encik Ubaid Matraji, menyuarakan pandangan tegas:
“Kita masih berdepan cabaran besar dalam pendidikan bahasa. Bahasa Inggeris telah diajar begitu lama, tetapi mutunya masih lemah.
“Bahkan ramai pelajar masih bergelut dengan kecelikan dalam bahasa Indonesia sendiri.”
Encik Ubaid menegaskan bahawa pemerintah perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan asas pendidikan terutama kemahiran mengajar guru sebelum memperkenalkan bahasa baru.
Pakar Pendidikan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), Encik Anggi Afriansyah, turut mengingatkan bahawa kejayaan dasar bahasa asing bergantung pada mutu tenaga pengajar.
“Persoalan utamanya: Adakah kita mempunyai guru yang cukup dan mahir? Jika tidak, pembelajaran bahasa asing hanya menjadi formaliti tanpa pemahaman mendalam,” ujar Encik Anggi.
Namun ketika dasar bahasa Inggeris dilihat berasas kukuh, kehadiran bahasa Portugis dalam rancangan reformasi pendidikan menimbulkan perdebatan lebih kontroversial.
Semasa sidang media bersama Presiden Brazil, Encik Lula da Silva, Encik Prabowo mengumumkan bahasa Portugis akan dijadikan ‘bahasa keutamaan’ dalam kurikulum Indonesia, sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan budaya dengan Brazil.
“Sebagai tanda betapa pentingnya Brazil kepada Indonesia, bahasa Portugis akan menjadi salah satu bahasa keutamaan dalam kurikulum pendidikan kita,” kata Encik Prabowo pada 23 Oktober.
Kenyataan itu segera mengundang reaksi bercampur baur daripada ahli Parlimen, pakar pendidikan dan aktivis masyarakat.
Pengerusi Pesururuhjaya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Cik Hetifah Sjaifudian, berkata pemerintah harus berhati-hati dalam menjadikan bahasa Portugis sebagai bahasa prioriti.
“Pemerintah perlu memastikan ada pewajaran strategik yang jelas sama ada diplomatik atau manfaat kepada masa depan pelajar.
“Tanpa asas yang kukuh, dasar ini sukar dipertahankan,” katanya kepada The Jakarta Post.
Lebih kritikal, anggota DPR daripada Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), Encik Bonnie Triyana, secara terang-terangan mempersoalkan keputusan tersebut.
“Keutamaan sepatutnya diberi kepada bahasa Inggeris dan Mandarin, bukan Portugis. Bahasa Portugis bukan bahasa yang meluas digunakan dalam urusan sejagat,” katanya.
Encik Bonnie turut mendakwa kenyataan Encik Prabowo mungkin lebih bersifat “gerak isyarat diplomatik” untuk menyenangkan hati Presiden Brazil.
“Mungkin Presiden hanya ingin menghormati Presiden Lula. Sukar mempercayai dasar sebesar ini diputuskan hanya berdasarkan satu mesyuarat tanpa kajian akademik,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan isu praktikal: “Siapa yang akan mengajar? Dari mana guru datang? Semua ini memerlukan dana tambahan.”
Beberapa pemerhati menyebut bahawa pembelajaran bahasa Portugis mungkin relevan di timur Indonesia, terutama kawasan berhampiran Timor-Leste, negara yang secara rasmi menggunakan bahasa Portugis.
Namun, memperluaskan pengajaran bahasa itu ke seluruh negara bukan tugas mudah.
Usaha memperkenalkan bahasa baharu pada skala nasional dianggarkan boleh mengambil masa lebih sedekad untuk dilaksanakan sepenuhnya.
Melihat keseluruhan keadaan, dasar bahasa Inggeris mempunyai asas kukuh – ia melengkapi keperluan sejagat pelajar Indonesia.
Ia juga selari dengan praktik dunia moden kerana penguasaan Inggeris menjadi faktor penting dalam pekerjaan, akademik dan pergerakan sosial.
Sebaliknya, bahasa Portugis, walaupun mempunyai nilai diplomatik, tidak mempunyai pewajaran besar dalam keperluan pendidikan nasional dan tenaga kerja.
Banyak pihak melihatnya sebagai lebih bersifat simbolik berbanding keperluan sebenar pelajar.
Dalam jangka masa terdekat, dasar bahasa Inggeris wajib dijangka memberi kesan positif jika pemerintah berjaya menyediakan guru yang mencukupi dan latihan yang bermutu.
Hal itu berpotensi mengubah jutaan pelajar Indonesia menjadi lebih bersedia menghadapi cabaran sejagat.
Sebaliknya, cadangan memperkenalkan bahasa Portugis akan terus menimbulkan perdebatan sama ada ia mencerminkan wawasan jangka panjang, strategi antarabangsa, atau sekadar diplomasi sopan ketika menerima kunjungan pemimpin Brazil.
Walau apa pun motifnya, dasar itu pasti menguji kemampuan Kementerian Pendidikan untuk menyeimbangkan dasar realistik dengan aspirasi politik antarabangsa.
Seperti yang diungkapkan Cik Hetifah: “Reformasi pendidikan tidak boleh bersifat reaktif atau simbolik. Ia mesti berpandukan keperluan pelajar dan masa depan negara.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg