Menjelang persembahannya di Singapura dan Malaysia bulan Ogos, penyanyi kelahiran Lubnan yang membesar di Sweden dan terkenal dengan lagu hit Insha Allah, Maher Zain, kini terpalit dalam satu tuntutan undang-undang oleh penganjur muzik dari Indonesia terhadap label muziknya yang berpangkalan di United Kingdom.
Syarikat Awakening Music yang berpangkalan di London dan pakar dalam menguruskan artis Islamik, sedang berdepan saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat oleh Digital Network Aesthetics (DNA), penganjur dari Indonesia yang mendakwa telah bekerjasama dengan label tersebut selama 14 tahun untuk mempromosikan Maher di Indonesia.
Saman ini difailkan selepas Maher tampil membuat persembahan di Jakarta pada 28 Jun dalam satu pameran produk syariah dan halal – satu kejutan kepada pihak DNA, yang mendakwa telah berusaha berkali-kali menghubungi Maher dan pengurusannya untuk mencari penyelesaian terhadap dua persembahan yang gagal pada tahun 2023 dan 2024.
Sebagai respons, Awakening Music dalam kenyataan bertarikh 2 Julai menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak di Indonesia yang mempunyai kuasa untuk mewakili Maher atau mana-mana artis mereka. “Kami perlu tegaskan bahawa sehingga kini, tiada individu atau entiti di Indonesia — termasuk DNA — mempunyai kuasa untuk bertindak bagi pihak Awakening Music atau artis-artisnya, baik di Indonesia mahupun di rantau Asia Tenggara secara amnya,” menurut kenyataan yang dimuat naik ke akaun Instagram rasmi mereka.
Label itu juga menambah bahawa sebarang tempahan atau komunikasi berkaitan artis mereka hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi korporat mereka, dan mana-mana pihak lain yang cuba mempromosikan artis mereka tanpa kebenaran adalah melakukan tindakan yang tidak sah.
Ketua Pegawai Eksekutif DNA, Rina Novianto, berkata kerjasama antara kedua-dua pihak sebelum ini jelas terbukti melalui pelbagai produksi melibatkan artis di bawah label tersebut, termasuk Maher Zain. “Semua orang di Indonesia selama ini tahu siapa yang perlu dihubungi jika melibatkan acara Maher Zain atau artis lain di bawah label itu,” kata Rina kepada Berita Harian.
Perselisihan bermula apabila pengurusan Maher membatalkan secara tiba-tiba persembahannya dalam sambutan ulang tahun ke-100 Nahdlatul Ulama, organisasi Islam terbesar Indonesia, di Sidoarjo, Jawa Timur pada 7 Februari 2023. Pembatalan itu dikatakan berpunca daripada masalah kesihatan penyanyi tersebut.
Namun, pihak penganjur mendakwa tiada sebarang bukti bergambar atau video diberikan oleh pihak label untuk mengesahkan keadaan kesihatan Maher. Malah, keesokan harinya Maher dilihat sihat menerusi akaun media sosialnya, menyeru sokongan untuk mangsa gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda Turkey pada 6 Februari.
Bagi menebus pembatalan tersebut dan “memulihkan reputasi”, DNA kemudian menempah semula Maher untuk persembahan lain pada Ogos 2024, namun ia juga gagal dilaksanakan. DNA menyalahkan penganjur dan pelabur acara yang disifatkan sebagai “amat tidak profesional”. Sejak itu, usaha untuk berkomunikasi dengan pihak label UK tidak membuahkan hasil.
Menurut Rina, Awakening Music telah memboikot DNA dan tidak membalas puluhan mesej yang dihantar, walaupun beliau telah memohon maaf secara terbuka bagi sebarang kemungkinan salah faham demi mendapatkan pertemuan dengan wakil label tersebut.
“Sungguh mengecewakan dan menyedihkan bagi DNA apabila Awakening membawa Maher ke Indonesia untuk konsert bulan lalu tanpa sebarang makluman, komunikasi, atau surat penamatan rasmi berkaitan kerjasama mereka,” katanya.
“DNA amat kesal kerana sebuah label yang mendakwa mendukung nilai-nilai Islam gagal mencerminkan prinsip etika dalam tindakannya. Namun, kami kekal komited untuk menjunjung kredibiliti industri hiburan Islam yang bermaruah dan profesional,” tambah Rina dalam kenyataan.
Lagu-lagu Maher yang berunsur kerohanian Islam sering menjadi pilihan semasa sambutan Ramadan dan Aidilfitri. Menurut Awakening Music, Maher pernah diiktiraf oleh akhbar The New York Times pada tahun 2017 sebagai “bintang pop Islamik paling terkenal”.
Beliau telah menerbitkan tiga album bersama label tersebut, termasuk album sulungnya Thank You Allah yang diterbitkan pada 2009 dan mendapat pengiktirafan platinum daripada Warner Music Malaysia dan Sony Music Indonesia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg