Masjid di Yogyakarta sedia 3,800 juadah iftar percuma setiap hari

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid di Yogyakarta sedia 3,800 juadah iftar percuma setiap hari

Mar 9, 2026 | 5:30 AM

Masjid di Yogyakarta sedia 3,800 juadah iftar percuma setiap hari

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jemaah mendengar tazkirah sebelum waktu berbuka selepas menerima hidangan iftar percuma di Masjid Jogokariyan di Yogyakarta, Indonesia, pada 28 Februari 2026. Masjid tersebut menyediakan kira-kira 3,800 hidangan berbuka percuma setiap hari sepanjang Ramadan, satu tradisi yang bermula sejak masjid itu ditubuhkan pada 1966.
Jemaah mendengar tazkirah sebelum waktu berbuka selepas menerima hidangan iftar percuma di Masjid Jogokariyan di Yogyakarta, Indonesia, pada 28 Februari 2026. Masjid tersebut menyediakan kira-kira 3,800 hidangan berbuka percuma setiap hari sepanjang Ramadan, satu tradisi yang bermula sejak masjid itu ditubuhkan pada 1966. - Foto MASJID JOGOKARIYAN

Sebuah masjid bagi masyarakat di Yogyakarta kini menjadi sebutan ramai kerana kemampuannya menyediakan hidangan berbuka puasa percuma setiap hari untuk ribuan umat Islam yang berpuasa.

Jumlahnya berkali ganda berbanding kapasiti tempat duduk masjid tersebut.

Bermula dengan hidangan untuk kurang daripada 100 orang selepas masjid itu ditubuhkan pada 1966, kini Masjid Jogokariyan yang mempunyai kapasiti kira-kira 1,200 anggota jemaah menyediakan sekurang-kurangnya 3,800 hidangan iftar percuma setiap hari sepanjang Ramadan.

Pada awalnya, hanya hidangan berbuka puasa percuma diagihkan di masjid kepada jemaah yang hadir.

Namun sejak 2005, masyarakat setempat memperkenalkan program Kampung Ramadan, yang menghimpunkan pelbagai gerai makanan serta kegiatan kemasyarakat, di samping meneruskan tradisi agihan iftar percuma di masjid – yang telah berlangsung sejak 1966.  

Hidangan tersebut diagihkan kepada pengunjung oleh puluhan sukarelawan apabila waktu berbuka puasa semakin hampir.

Anggota pasukan pengurusan masjid, Encik Syubban Rizali ‘Rizal’ Noor, berkata 3,800 merupakan jumlah minimum hidangan yang disediakan setiap hari.

Hidangan itu dimasak oleh 28 kumpulan wanita tempatan yang setiap satunya terdiri daripada 20 hingga 30 orang di dapur sekitar masjid di Kampung Jogokariyan di selatan Yogyakarta, Indonesia.

Jumlah tersebut juga meningkat berbanding 3,500 hidangan pada 2025.

Secara keseluruhan, kira-kira 560 wanita di kampung tersebut terlibat sepanjang Ramadan.

“Kami selalunya mencapai antara 4,000 dengan 4,200 hidangan kerana kami perlu menyediakan lebihan untuk mengambil kira kemungkinan kerosakan semasa proses memasak dan menghidang.

“Perkara paling penting adalah jumlahnya tidak boleh kurang daripada 3,800, dan syukur biasanya lebih daripada itu,” kata Encik Rizal kepada Berita Harian (BH) pada 1 Mac ketika lawatan ke salah sebuah dapur berhampiran masjid.

Hidangan penuh disajikan di atas pinggan dengan sudu logam, sesuatu yang agak jarang pada masa kini apabila makanan lazimnya dihidangkan dalam bekas kertas atau stirofoam dengan sudu plastik.

Menurut Encik Rizal, setiap pinggan sekurang-kurangnya mengandungi nasi, sayur, satu lauk dan keropok, walaupun kadangkala terdapat dua lauk seperti ayam dan bergedel.

Menu pada hari tersebut ialah sup bunga waru laut Indonesia.

Menu berubah setiap hari sepanjang Ramadan kerana setiap kumpulan akan menentukan sendiri hidangan yang dimasak oleh ahli kumpulan masing-masing.

Setiap kumpulan turut memasak secara bergilir sepanjang Ramadan.

“Pada awalnya mereka ditugaskan memasak lebih daripada 2,000 hidangan.

“Dua tahun lalu (2024) jumlahnya meningkat kepada 3,000 tetapi ia terlalu banyak untuk mereka.

“Jadi selepas menetapkan sasaran 3,500 hidangan setiap hari tahun lalu (2025), kami membahagikan 2,000 hidangan untuk disediakan oleh kumpulan wanita, manakala dapur ini membantu menyediakan baki hidangan,” kata Encik Rizal.

Setiap kumpulan akan memulakan persiapan sehari sebelum giliran mereka memasak dengan membeli bahan untuk menu hari tersebut.

Sebaik sahaja bahan dihantar, proses memasak akan bermula seawal 7 pagi dengan sasaran siap pada 2 petang.

Kemudian, hidangan akan dihantar dan disusun di masjid.

Semua tugas dalam program hidangan berbuka percuma itu dilakukan sepenuhnya oleh sukarelawan yang terdiri daripada penduduk tempatan kampung tersebut.

Mereka dibahagikan kepada pelbagai peranan termasuk memasak, menyediakan bahan, menghidang makanan, mengagihkan hidangan, membersihkan kawasan serta satu kumpulan khas yang ditugaskan memasak kira-kira 270 kilogram nasi setiap hari di masjid.

Hidangan berbuka percuma itu merupakan sebahagian daripada acara tahunan Kampung Ramadan Jogokariyan yang diperkenalkan pada 2005.

Menurut Encik Rizal, program yang berlangsung sepanjang bulan itu melibatkan seluruh anggota masyarakat kampung, bukan hanya pasukan pengurusan masjid.

Penduduk turut terlibat sebagai sukarelawan dalam pelbagai kegiatan Ramadan termasuk bazar petang dengan kira-kira 415 peniaga, pengurusan tempat letak kenderaan pengunjung, solat tarawih, qiamullail serta pasar sahur.

Ketua Jawatankuasa Penganjur Kampung Ramadan 2026, Encik Muhammad Falah Akbar, berkata idea asal program tersebut adalah untuk menghidupkan semangat Ramadan di seluruh kawasan kejiranan.

“Daripada hanya melibatkan pengurusan masjid dan menumpukan kegiatan di dalam masjid sahaja, program ini mengajak penduduk tempatan memainkan peranan aktif supaya seluruh masyarakat dapat rasai suasana Ramadan,” katanya.

Dalam dunia yang dipacu media sosial hari, suasana meriah Kampung Ramadan yang kini dianjurkan buat kali ke-22 cepat menjadi tular sebagai tempat popular untuk berbuka puasa.

Menurut Encik Rizal, rekod pada 2022 menunjukkan lebih 15,000 orang hadir setiap petang.

Cik Luviana Putri dari Palembang, Sumatera Selatan, yang merupakan pelajar di sebuah universiti Muhammadiyah di bandar Magelang berhampiran, datang bersama rakannya, Cik Rima Septianingsih, kerana ingin rasai sendiri pengalaman berbuka di masjid tersebut selepas melihatnya di TikTok.

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya tiba sekitar 5.30 petang dan sudah sangat ramai orang, tetapi saya masih sempat beratur dan mendapatkan satu pinggan hidangan berbuka,” katanya kepada BH ketika berbuka puasa pada 28 Februari.

Berbeza dengan Cik Luviana dan Cik Rima, Cik Emma dan Cik Ani yang menaiki kereta api komuter selama kira-kira sejam dari Kabupaten (Daerah) Karanganyar di Jawa Tengah mendapati hidangan berbuka percuma sudah habis ketika mereka tiba tidak lama sebelum waktu berbuka.

Namun, mereka tetap bersama untuk menunaikan solat tarawih.

“Di tempat lain mungkin konsep hidangan berbuka percuma diberikan hanya kepada mereka yang memerlukan. Tetapi bagi kami, ia adalah cara menghormati mereka yang berpuasa.

“Sesiapa sahaja boleh mengambil hidangan itu dan sesiapa juga boleh menyumbang, walaupun hanya untuk menaja satu hidangan yang bernilai 15,000 rupiah ($1.10),” kata Encik Falah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg