PEKANBARU: Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Encik Budi Gunawan, telah menggariskan enam langkah utama bagi menangani kebakaran hutan dan tanah di wilayah Riau, yang semakin membimbangkan rakyat dan negara jiran.
“Pertama sekali, kita perlu memastikan kebakaran hutan dan tanah dapat dipadamkan dengan segera bagi mengelakkan asap tebal merebak luas, terutamanya ke negara-negara jiran,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Kawalan Kebakaran Hutan dan Tanah di Riau pada 23 Julai.
Beliau turut mengarahkan Pasukan Petugas Kebakaran Hutan dan Tanah agar segera mengerah anggota dan peralatan ke kawasan panas bagi mengawal api.
Langkah kedua, Kementerian Kehutanan diarah menghantar pasukan teknikal bagi memulihkan tanah yang telah terbakar.
Seterusnya, semua konsesi tanah di 21 daerah dan bandar yang terjejas akan diaudit.
“Keempat, kita akan melaksanakan moratorium sementara terhadap kelulusan baru di kawasan tanah gambut sekurang-kurangnya sehingga situasi darurat ini berakhir,” ujarnya.
Beliau turut menekankan keperluan pelaksanaan undang-undang secara tegas dan tekal oleh pihak Polis Negara (Polri) dan Pejabat Pendakwa Raya.
Akhir sekali, beliau menggesa agar tindakan pentadbiran dikenakan ke atas mana-mana pihak yang terbukti menyebabkan kebakaran.
Menteri Kehutanan turut diarah membatalkan lesen konsesi pihak yang terlibat.
“Saya sangat yakin bahawa dengan komitmen dan sinergi kita, kita mampu menangani situasi darurat ini secara menyeluruh,” tegas Encik Budi.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Encik Hanif Faisol Nurofiq, menyatakan bahawa usaha memadamkan kebakaran di Daerah Rokan Hilir sedang dijalankan secara pantas dan menyeluruh.
“Usaha memadam kebakaran mesti dipertingkatkan agar api dapat dipadamkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Jakarta.
Pemerhatian udara mendapati kebakaran berlaku di tanah gambut yang sangat kering dan sukar diakses, termasuk di kawasan Bangko Pusako, Kubu, Simpang Kanan dan Pasir Limau Kapas.
Kementerian Alam Sekitar kini bekerjasama rapat dengan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB); Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI); Polri dan pemerintah tempatan bagi mempercepat tindak balas.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, kawasan kebakaran di Riau kini mencecah hampir 1,000 hektar dengan 790 titik panas dikesan.
“Taburan titik panas yang padat menunjukkan corak pembakaran yang disengajakan dan terancang,” kata Encik Hanif, menegaskan keperluan penguatkuasaan dan pencegahan berterusan.
Sehingga 20 Julai, terdapat 354 titik panas dan sembilan lokasi kebakaran aktif di Rokan Hilir, menjadikan daerah itu kawasan dengan kejadian kebakaran tertinggi di Riau.
Lima helikopter pengeboman air dikerahkan dan 594 pusingan pelepasan air dilakukan, dengan jumlah keseluruhan 2.37 juta liter air disalurkan.
Operasi pembenihan awan turut dimulakan semula pada 21 Julai dengan satu tan garam (NaCl) digunakan bagi merangsang hujan.
Dalam pada itu, Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Suharyanto, mengesahkan bahawa 44 individu telah disiasat sebagai suspek kerana sengaja membakar tanah dari Januari hingga Julai 2025.
“Setakat ini, 35 kes kebakaran telah diproses secara sah. Ini adalah langkah konkrit bagi mencegah orang ramai daripada membuka tanah dengan cara membakar,” jelas Encik Suharyanto.
Menurutnya, kebakaran itu bukan berpunca daripada fenomena semula jadi, tetapi tindakan manusia yang sengaja membakar bagi tujuan pertanian.
“Kita sudah hadapi perkara ini bertahun-tahun. Coraknya tetap sama sengaja dibakar. Ini mesti dihentikan,” katanya tegas.
Beliau turut menggesa orang awam agar melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa tempatan.
“Segera lapor kepada TNI, Polri atau pegawai kampung jika melihat sesiapa sedang membakar.
“Jangan biarkan ia berlaku kerana kesannya boleh merebak dan membahayakan semua.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg