Masyarakat Melayu/Islam dari 18 negara yang berkumpul di Jakarta bersetuju untuk menggiatkan kerjasama dalam Dunia Melayu bagi mengukuhkan ekonomi, memajukan industri halal dan memelihara budaya Melayu yang terbuka serta bertoleransi.
Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) merangkap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam, berkata dalam ucapan penutup pada 25 Oktober bahawa kerjasama lebih erat dalam industri halal akan membawa manfaat ekonomi kepada negara-negara Melayu.
Ia akan turut mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat Muslim, sekali gus meningkatkan pengeluaran barangan halal dan meluaskan lagi pasaran sejagat.
Peralihan digital yang pesat juga penting bagi memajukan ekonomi halal kerana ia menjadi pemangkin kebangkitan ekonomi negara Melayu dan Islam.
Forum DMDI boleh menjadi wadah untuk menjalin kerjasama lebih membina dalam memperkukuhkan rantaian bekalan produk halal sejagat, kata pula Menteri Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Indonesia, Encik Maman Abdurrahman, yang merupakan salah seorang penceramah dalam konvensyen selama empat hari itu.
“Dengan pembangunan ekonomi halal dan percepatan pendigitalan, kita dapat memperluaskan eksport produk halal sambil mengukuhkan kemerdekaan ekonomi ummah,” kata Encik Maman.
Pembangunan ekonomi di rantau Melayu juga berkait rapat dengan peranan pekerja migran Indonesia yang mengisi kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor pekerjaan buruh di beberapa negara serantau serta memainkan peranan penting dalam menyokong operasi perniagaan di negara tersebut.
Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Encik Mukhtarudin, berkata beliau berharap latar budaya yang dikongsi bersama dapat mengeratkan kerjasama dalam perlindungan pekerja migran Indonesia, yang ramai ditempatkan di negara-negara anggota DMDI yang menghadiri konvensyen itu.
Encik Mukhtarudin, yang menggunakan satu nama dan dipercayai satu-satunya menteri dalam Kabinet Presiden Prabowo Subianto yang mempunyai warisan Melayu, berkata pemerintah akan menggunakan pendekatan diplomatik dan budaya bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat untuk pekerja migran Indonesia di rantau ini.
“Kami akan menggunakan semua saluran yang ada, baik budaya mahupun diplomatik, bukan sahaja untuk memastikan perlindungan, bahkan juga mengoptimumkan penempatan di negara-negara destinasi, khususnya negara-negara serumpun Melayu dan Asia,” katanya kepada Berita Harian (BH) di luar sesi pembukaan pada 24 Oktober.
Malaysia merupakan negara penempatan ketiga tertinggi bagi pekerja migran Indonesia dengan kira-kira 42,441 pekerja dihantar ke negara itu, sementara ramai lagi bekerja di negara seperti Singapura, Maldives, Sri Lanka, Australia, Brunei dan China.
Beliau turut menyebut sekitar 160,000 pekerja migran Indonesia telah ditempatkan di Singapura menurut pelbagai sumber.
Encik Mukhtarudin menyeru peserta konvensyen memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem migrasi yang selamat untuk pekerja, dan agar DMDI bertindak sebagai fasilitator, pendesak serta pengiring kepada pekerja migran Indonesia serta menangani isu buruh di negara penempatan.
“Saya percaya bahawa hubungan ekonomi dan budaya yang telah kita bina, serta perlindungan pekerja migran, menjadi tonggak penting bagi pembangunan sosial dan ekonomi rantau ini,” katanya.
Wakil masyarakat Melayu, termasuk Pengerusi DMDI Singapura yang juga Presiden Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, bersama pengerusi-pengerusi DMDI dari negara Asean serta negara lain yang mempunyai komuniti Melayu, diseru supaya terus memelihara kepelbagaian dan toleransi beragama di rantau ini.
Seruan tersebut ditekankan sebagai asas penting untuk mengekalkan keharmonian masyarakat serumpun.
Rantau Melayu telah lama menjadi persinggahan pedagang dan pelbagai bangsa dari seluruh dunia kerana kedudukannya yang strategik di laluan dagang antarabangsa.
Justeru, keterbukaan dan penerimaan terhadap kepelbagaian budaya perlu terus dipertahankan sebagai identiti utama masyarakat Melayu.
Pengerusi Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia, Encik Ahmad Muzani, dalam ucaptama pada 24 Oktober berkata rantau Melayu sejak sekian lama menjadi kawasan penting dalam perkembangan perdagangan sejagat.
Selama ratusan tahun, jelasnya, rantau ini turut menjadi pusat yang menjanjikan kemakmuran apabila pedagang dari seluruh dunia singgah dan disambut mesra oleh masyarakat Melayu yang “terkenal dengan sikap keterbukaan dan keramahan mereka”.
Beliau mengakui masyarakat Melayu sangat rapat dengan Islam, dengan kira-kira 300 juta Muslim berada di rantau Melayu.
“Itu adalah jumlah yang sangat besar dan mempunyai pengaruh besar. Rantau ini tidak boleh jatuh ke tangan pengganasan dan radikalisme,” kata Encik Ahmad.
“Marilah kita kekalkan rantau Melayu sebagai tanah harapan untuk masa depan dunia, sebuah wilayah yang terus aman, harmoni dan bertoleransi,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg