JAKARTA: Indonesia kini meletakkan harapannya pada beberapa projek mega bateri kenderaan elektrik (EV) – termasuk Dragon, Titan dan Omega.
Ia sebagai batu loncatan membangkitkan semula sektor perindustrian, mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api, serta menempatkan dirinya secara strategik dalam rantaian bekalan sejagat EV.
Di tengah-tengah usaha nasional itu ialah Projek Dragon bernilai AS$5.9 bilion ($7.6 bilion) yang telah dirasmikan oleh Presiden Prabowo Subianto, menandakan satu bab penting dalam transformasi industri tenaga negara.
Tidak seperti pendekatan biasa yang memberi tumpuan kepada bahagian tertentu rantaian pengeluaran, Indonesia memilih strategi menyeluruh yang mencakupi keseluruhan rantaian nilai, daripada perlombongan nikel hingga penghasilan bateri siap guna dan kitar semula.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, menjelaskan bahawa “Presiden telah mengarahkan agar pemilikan syarikat Indonesia dalam projek ini melebihi 40 peratus dan kini kita telah mencapai 51 peratus dalam operasi huluan (awal)”.
Model pemilikan seperti itu mencerminkan bentuk nasionalisme sumber yang lebih canggih, apabila syarikat milik negara mengekalkan kawalan terhadap sumber strategik, manakala syarikat asing menyumbang dari aspek teknologi dan pelaburan.
Strategi itu berakar daripada pengalaman masa lalu yang menyaksikan Indonesia mengeksport bahan mentah tanpa pulangan nilai tambah yang setimpal.
Projek Dragon, hasil kerjasama antara syarikat milik negara Indonesia – Aneka Tambang (Antam) dan Indonesia Battery Corporation (IBC) serta konsortium dari China, Ningbo Contemporary Brunp Lygend (CBL), bertujuan membina ekosistem bateri berasaskan nikel yang lengkap.
Ketua Pegawai Eksekutif, agensi pelaburan milik pemerintah Indonesia, Danantara, Encik Rosan P. Roeslani, berkata:
“Danantara tampil sebagai pelabur bagi menangani cabaran pembiayaan projek ini kerana kami melihat potensi pulangan besar, termasuk penciptaan pekerjaan.”
Nilai ekonomi yang dijangka dijana daripada Dragon mencecah AS$48 bilion iaitu lapan kali ganda daripada pelaburan awal dengan 8,000 pekerjaan langsung dan 35,000 pekerjaan tidak langsung bakal diwujudkan.
Di peringkat huluan, Antam dan CBL telah memulakan operasi perlombongan nikel pada 2023, dan dua kemudahan pemprosesan dirancang siap pada 2027 dan 2028.
Di peringkat hiliran pula, IBC dan CBL sedang membina kemudahan pengeluaran komponen bateri seperti katod, anod dan prekursor, yang selama ini merupakan kekosongan besar dalam ekosistem dalam negara.
“Dengan penghasilan komponen bateri di dalam negara, kita boleh kurangkan kos input dan bergantung pada eksport bahan bernilai tinggi, bukan lagi bijih mentah,” jelas Encik Rosan.
Selain Dragon, Indonesia turut menggerakkan Projek Titan dan Omega.
Titan, yang pada asalnya diketuai oleh LG Energy Solution (LGES) dari Korea Selatan, kini diterajui oleh Huayou Cobalt dari China selepas LGES menarik diri akibat ketidaktentuan pasaran sejagat.
Konsortium Titan kini melibatkan Antam, IBC, PT Pertamina, dan PT PLN dengan pelaburan AS$9.8 bilion, dan majlis pecah tanah dijadualkan sebelum Ogos 2025.
Projek Omega pula merupakan kerjasama bernilai AS$1.1 bilion antara LGES dengan Hyundai Indonesia, beroperasi di bawah HLI Green Power.
Loji itu, yang memulakan operasi pada 2024, disasarkan bagi mencapai kapasiti 30 gigawatt setiap jam (GWh) setahun, cukup untuk membekalkan bateri kepada 500,000 EV setiap tahun.
Kemasukan pelabur China seperti Huayou dan CATL memperkukuh dua strategi sejajar – Dragon dan Titan – yang menjadi tunjang utama penyepaduan rantaian bekalan bateri negara.
Kedua-duanya termasuk ciri-ciri kitar semula dan penyimpanan tenaga boleh diperbaharui, solar, sejajar dengan Pelan Perniagaan Perolehan Elektrik (RUPTL) 2025–2034 yang menyasarkan 17.1 gigawatt (GW) kapasiti solar fotovoltan.
Kelebihan syarikat China dalam teknologi bateri khususnya dalam penghasilan bateri litium ferum fosfat (LFP) yang lebih murah menjadikan mereka rakan strategik yang sukar ditandingi.
“Kami tidak hanya mengejar pelaburan, tetapi juga pemindahan teknologi,” tegas Encik Bahlil.
Kemudahan CBL di Halmahera Timur dan Zon Industri Kalimantan Utara akan merangkumi penghasilan nikel sulfat, prekursor, katod serta kemudahan kitar semula.
Langkah itu bukan sahaja memperkukuh nilai tambah tempatan, malah menyokong pelan peralihan tenaga rendah karbon.
Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) menjelaskan bahawa sebahagian pengeluaran bateri itu akan disalurkan pada sistem penyimpanan tenaga solar – menjadikan bateri EV sebagai asas kepada ekonomi hijau yang lebih luas.
Walaupun prospek pelaburan kelihatan memberangsangkan, para penganalisis memberi amaran bahawa kejayaan jangka panjang bergantung kepada struktur kerjasama yang adil serta pemindahan teknologi sebenar.
Kajian oleh Institut Kajian Strategik dan Pembangunan (ISDP) menunjukkan bahawa model pertumbuhan berasaskan sumber boleh menjurus kepada “perangkap nilai rendah” jika nilai tambah tidak dijana dalam negara.
Dr Rika Purnamasari daripada Universiti Indonesia berkata:
“Pelaburan ini mesti disertakan dengan pembangunan modal insan dan pemindahan pengetahuan agar Indonesia tidak sekadar menjadi tukang gali, tetapi benar-benar menjadi kuasa industri bateri dunia.”
Pemerhatian ini diperkuatkan oleh matlamat pemerintah mengawal sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan dalam sektor huluan, menunjukkan kesungguhan memelihara kepentingan nasional dalam kerjasama antarabangsa.
Strategi menyeluruh Indonesia – dari “lombong ke bateri” – adalah contoh terkini nasionalisme sumber yang pragmatik, dengan sasaran menjadikan negara itu bukan sekadar pengeksport bijih nikel, bahkan kuasa besar dalam industri bateri di peringkat sejagat.
Pelaburan oleh syarikat seperti CATL, Huayou, dan Hyundai menggariskan potensi besar Indonesia dalam era peralihan tenaga dunia.
Dalam dunia yang kian bergantung pada tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti bersih, keberhasilan strategi itu boleh meletakkan Indonesia di barisan hadapan peralihan industri hijau serantau dan sejagat.
“Apa yang penting bukan hanya jumlah pelaburan, malah bagaimana kita mengurusnya agar rakyat Indonesia benar-benar menikmati hasilnya,” tegas Encik Rosan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg