Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Perancis dibebas bersyarat selepas 18 tahun menanti hukuman mati di Indonesia

Jul 16, 2025 | 3:04 PM
Serge Atlaoui sentiasa menafikan bahawa dirinya seorang pengedar dadah, sebaliknya berkata beliau hanya memasang mesin di sebuah kilang yang disangkanya kilang akrilik.
Serge Atlaoui sentiasa menafikan bahawa dirinya seorang pengedar dadah, sebaliknya berkata beliau hanya memasang mesin di sebuah kilang yang disangkanya kilang akrilik. - Foto AFP

PARIS: Seorang warga Perancis yang pernah menghabiskan hampir dua dekad di penjara hukuman mati di Indonesia atas kesalahan berkaitan dadah, telah dibenarkan keluar penjara secara bersyarat, menurut kenyataan pihak pendakwa raya pada 15 Julai.

Serge Atlaoui, 61 tahun, seorang tukang kimpal dari Metz, telah dipindahkan kembali ke Perancis pada Februari lalu selepas menjalani hukuman mati di Indonesia sejak tahun 2007.

Bapa kepada empat orang anak itu kini dipenjarakan di kawasan berhampiran Paris, dan mahkamah Perancis telah menyesuaikan hukumannya kepada penjara selama 30 tahun.
Pendakwa raya di Meaux dalam satu kenyataan berkata, Atlaoui telah diluluskan untuk pembebasan bersyarat bermula 18 Julai, namun tertakluk kepada beberapa syarat pemantauan selepas pembebasan.

“Ia adalah perjuangan yang sangat panjang, dan tidak pernah terlintas untuk saya berputus asa. Hari ini adalah detik yang sangat bermakna untuk saya, dan akan menjadi detik besar buat beliau sebaik sahaja dibebaskan,” kata peguamnya, Encik Richard Sedillot kepada AFP.

Atlaoui telah ditahan pada tahun 2005 di sebuah kilang di pinggir Jakarta, di mana pihak berkuasa menemui puluhan kilogram dadah dan menuduh beliau sebagai seorang “ahli kimia” yang terlibat dalam pengeluaran dadah.

Namun, beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa dirinya seorang pengedar dadah, sebaliknya mendakwa hanya memasang mesin di sebuah kilang yang disangkanya menghasilkan akrilik.

Pada awalnya, beliau dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, namun Mahkamah Agung Indonesia kemudian menukar hukuman itu kepada hukuman mati selepas rayuan.
Atlaoui dijadualkan untuk dihukum mati bersama lapan individu lain pada tahun 2015, namun pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan selepas pemerintah Perancis mendesak dan pihak berkuasa Indonesia membenarkan rayuan lanjut dikemukakan.

Indonesia dikenali dengan undang-undang dadahnya yang antara paling ketat di dunia. Baru-baru ini, beberapa tahanan berprofil tinggi telah dibebaskan, termasuk seorang ibu warga Filipina yang dijatuhi hukuman mati, serta lima anggota terakhir kumpulan “Bali Nine” yang terlibat dalam sindiket dadah. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg