Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Inflasi dijangka berpanjangan di M'sia

Jun 24, 2022 | 05:30 AM



PERKEMBANGAN ekonomi domestik dan luar negara semasa ini menyukarkan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa inflasi Malaysia disasarkan antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus bagi tahun ini.



Keputusan kerajaan Malaysia menghentikan subsidi bahan makanan seperti ayam dan telur dan minyak masak sawit berbotol dua, tiga dan lima kilogram mulai 30 Jun di jangka menyebabkan kenaikan harga barangan tersebut hingga menjejaskan pengguna, terutama golongan B40 dan M40.



(Golongan B40 merangkumi isi rumah berpendapatan di bawah RM4,850 ($1,530) sebulan. Golongan M40 ialah kumpulan pertengahan yang menikmati gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 hingga RM10,970 sebulan bagi 2022.)



Begitu juga ketidaktentuan ekonomi global sedang negara maju bergelut dengan kenaikan inflasi yang tinggi dengan cara menaikkan kadar faedah bank mereka, seperti yang dilakukan Federal Reserve (Rizab Persekutuan) Amerika Syarikat.



Ini ditambah pula dengan isu-isu yang menjejaskan rantaian bekalan dunia kesan daripada pandemik Covid-19 yang berlanjutan, selain perang Russia-Ukraine, yang memburukkan keadaan ekonomi global.



Seorang pakar ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kerajaan Malaysia perlu lebih agresif sekiranya ia mahu mengawal kadar inflasi yang diunjurkan itu kerana berdasarkan statistik terbaru Jabatan Perangkaan Negara Malaysia (DOSM), kadar inflasi bahan makanan telah meningkat kepada 4.1 peratus



"Kita harus maklum bahawa kerajaan telah berbelanja besar untuk mengawal harga barangan melalui pembayaran subsidi bagi tujuan menstabilkan harga barang dan mengelakkan kenaikan harga yang mendadak.



"Subsidi berjumlah RM30 bilion melalui belanjawan negara 2022 turut merangkumi bahan api dan barangan keperluan makanan asas.



"Namun, kenaikan harga minyak mentah dunia telah menyebabkan sebahagian besar daripada belanjawan yang diperuntukan telah digunakan untuk subsidi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).



"Maka pihak kerajaan terpaksa mengkaji dan menyelaraskan semula baki belanjawan yang tinggal sementara menunggu Belanjawan baru tahun 2023," katanya kepada Berita Harian.



Berikutan itu, tambah Dr Aimi Zulhazmi, penyelarasan yang dibuat oleh kerajaan itu pasti memberi kesan kenaikan kepada kadar inflasi tersebut.



"Penarikan subsidi daging ayam dan telur mulai 1 Julai ini, di mana tiada lagi kawalan harga siling, penarikan subsidi minyak masak sawit, dan selain daripada itu kadar elektrik oleh TNB (Tenaga Nasional Bhd), mungkin terpaksa juga dinaikkan berikutan kenaikan harga arang batu dan kenaikan matawang AS.



"Begitu juga kajian sedang dijalankan mengenai penarikan subsidi petrol dan disel. Harga bahan api merangkumi 21 peratus daripada 'basket of goods' (sekumpulan barangan) yang diukur oleh BNM dalam pengiraan Indek Harga Pengguna atau Inflasi. Begitu juga dengan barangan makanan yang mencakupi," ujar beliau.



Menurut MIDF Research, yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, langkah kerajaan menghentikan subsidi ayam, telur dan minyak masak sawit botol dijangka menyebabkan inflasi makanan meningkat lebih tinggi, terutama semasa harga komoditi sedang memuncak di peringkat global.



Firma penyelidik itu berkata dalam satu nota penyelidikan bahawa dalam tempoh empat bulan tahun ini, harga makanan meningkat sebanyak 3.9 peratus dari tahun ke tahun. Malah, ia meramalkan tekanan inflasi keseluruhan mungkin melebihi 3 peratus tahun ke tahun sekiranya harga makanan meningkat lebih tinggi daripada paras semasa.



"Sekiranya isu bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin mencecah puncak baru 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak sebanyak 7 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023," ujar MIDF Research.



TA Securities pula berpandangan kadar inflasi atau kenaikan harga barangan di Malaysia dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berikutan beberapa faktor pendorong kenaikan kos.



Dalam dalam nota penyelidikannya, ia menjangka faktor itu termasuk aliran meningkat berterusan dalam kos input serta gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan. Selain itu, ia turut diburukkan oleh ketegangan geopolitik yang berlaku di peringkat global serta langkah berpanjangan China menutup pintu sempadannya.



"Faktor-faktor ini boleh mendorong kos lebih tinggi kepada pengguna, terutama jika perniagaan mengharapkannya menjadi lebih kekal pada masa hadapan. Yang pasti, harga makanan yang melambung tinggi dan kos pengangkutan yang mahal akan terus mendominasi inflasi Malaysia dalam beberapa bulan akan datang," tambahnya.



TA Securities masih mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada 2.8 peratus untuk tahun ini, seiring dengan unjuran BNM antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.



Seorang penganalisis isu semasa, Encik Noor Mohamad Shakil Ha-meed, berpandangan berdasarkan data serta perkembangan ekonomi semasa baik di peringkat global mahupun domestik, kadar inflasi di Malaysia dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berikutan beberapa faktor pendorong kenaikan kos.



Menurutnya, antara faktor penyumbang utama kepada keadaan ini ialah trend semasa menunjukkan berlakunya aliran meningkat yang berterusan dalam kos input serta gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan, selain ditambah pula oleh faktor ketegangan geopolitik yang berlaku di peringkat global terutamanya kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.



"Akhirnya faktor-faktor ini mendorong kenaikan kos yang berpanjangan dan lebih tinggi kepada pengguna. Bagaimanapun, kadar kenaikan inflasi itu dijangka dapat dikawal dengan langkah penetapan dasar monetari yang lebih berkesan oleh BNM dengan pantas bagi mengurangkan risiko peningkatan inflasi.



"Ini dipacu pula oleh perkembangan positif dari segi permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. Tambahan pula kita menjangka penawaran barangan bagi memenuhi permintaan pasaran akan terus meningkat dalam masa terdekat ini terutamanya setelah harga diapungkan, sekali gus boleh mengawal kadar inflasi," katanya semasa ditanya Berita Harian.



Di sebalik kenaikan harga barangan makanan mulai 1 Julai, bagi Dr Aimi Zulhazmi mungkin secara jangka panjang ia adalah strategi yang baik kerana harga ayam dan telur dapat distabilkan selepas kejutan kenaikan permulaan.



Menurutnya, sudah pasti reaksi spontan pasaran akan berlaku kenaikan harga dalam waktu terdekat, kerana penternak tidak lagi dibayar subsidi oleh pemerintah maka kos yang sedia ada akan dipindahkan kepada pengguna serta merta.



"Ini sudah dijangka, kecuali penternak mempunyai margin yang tinggi dan mampu menyerap kos pengeluaran atau operasi mereka sendiri.



"Namun begitu, pengusaha ayam dan telur sememangnya terdedah kepada risiko kenaikan harga makanan ayam, di mana 60 peratus adalah dibuat daripada bijirin jagung yg diimpot kesemuanya.



"Selagi makanan ayam masih lagi diperbuat daripada bahan yang diimport, harga ayam dan telur tidak dapat dikawal sepenuhnya kerana ia bergantung pada faktor luaran.



"Selain daripada itu tiada lagi makanan ayam yang dikeluarkan di Malaysia, misalnya bahan daripada kelapa sawit yang boleh diproses menjadi makanan.



"Walaupun ujian, penyelidikan dan pembangunan telah dilakukan, usaha pengkomersialan masih belum berjaya," tambahnya.



Encik Noor Mohamad pula berpandangan kerajaan Malaysia dijangka mengambil beberapa langkah agresif bagi membantu menangani dan mengawal kenaikan harga barangan, sekali gus mengurangkan beban bagi pengguna.



"Walaupun akan berlaku kenaikan harga melebihi harga kawalan semasa ini apabila diapungkan, kerajaan dijangka memastikan ia ditetapkan pada harga munasabah, termasuk kemungkinan boleh menggunakan Akta Anti Pencatutan.



"Dalam hal ini pemantauan lebih berkesan oleh pihak berkuasa sangat diperlukan agar pihak peniaga tidak menjadikan ia sebagai pesta harga sehingga membebankan rakyat," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >