MALANG (Indonesia): Enam orang menghadapi tuduhan jenayah atas kejadian yang mengakibatkan kematian 131 orang di stadium bola sepak di sini minggu lalu, menurut Ketua Polis Indonesia.

"Berdasarkan siasatan dan bukti-bukti yang cukup, kami telah menetapkan enam suspek," kata ketua polis, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, dalam satu sidang akhbar.

Enam orang suspek itu termasuk tiga pegawai polis dan tiga yang bertanggungjawab menganjurkan pertandingan serta keselamatan - termasuk ketua jawatankuasa penganjur kelab bola sepak Arema FC dan salah seorang pegawai keselamatan kelab tersebut, ujarnya.

Pengumuman itu dibuat sedang kemarahan orang ramai memuncak gara-gara kelengahan polis bertindak apabila para penonton pertandingan merusuh dengan memasuki padang.

Polis bertindak dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penonton yang penuh sesak apabila penyokong kelab Arema FC cuba mendekati para pemain setelah pasukan itu dikalahkan oleh saingan ketatnya, Persebaya Surabaya, dalam pertandingan pada Sabtu lalu itu.

Setelah gas pemedih mata dilepaskan, ratusan penonton berasak-asak cuba keluar melalui pintu kecil, mengakibatkan ramai yang cedera dihinjak atau mati akibat sesak nafas.

Polis menyifatkan kejadian penonton turun ke padang permainan itu sebagai satu rusuhan dan mengatakan dua anggota polis terbunuh, tetapi mereka yang terselamat mendakwa polis bertindak secara keterlaluan.

Polis bertindak ganas, menendang dan memukul penonton menggunakan baton, menurut beberapa saksi dan rakaman video, mendorong penonton supaya kembali ke tempat duduk. Ramai ramai yang mati setelah tembakan gas pemedih mata dilepaskan.

Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, mengarahkan siasatan dilakukan selepas tragedi itu dan meminta supaya dikaji semula aturan keselamatan di semua stadium. - AFP.