SAN FRANCISCO: Instagram, yang dimiliki Meta Platform Inc, dapat digunakan kembali oleh kebanyakan pengguna, kata syarikat itu pada Ahad, selepas satu isu teknikal yang mengganggu perkhidmatan kepada ribuan orang telah diselesaikan.
“Awal hari ini, satu isu teknikal menyebabkan sesetengah orang menghadapi masalah untuk memasuki Instagram. Kami menyelesaikan isu itu secepat mungkin untuk semua orang yang terjejas,” kata jurucakap Meta itu kepada Reuters.
Syarikat tersebut tidak mendedahkan bilangan pengguna yang terjejas akibat gangguan itu.
Laman web yang menjejaki gangguan, Downdetector.com, menunjukkan lebih daripada 100,000 kejadian di Amerika Syarikat, 24,000 di Canada dan lebih 56,000 di Britain.
Lebih 180,000 pengguna melaporkan masalah memasuki Instagram pada puncak gangguan itu.
Instagram tidak dapat digunakan sesetengah pengguna pada Ahad dari sekitar 9:45 malam GMT (5.45 pagi waktu Singapura pada Isnin), menurut Downdetector.com.
Bilangan gangguan berkurangan kepada hanya 7,000 laporan sekitar 12:30 pagi GMT.
Downdetector menjejaki gangguan dengan mengumpul laporan status daripada beberapa sumber, termasuk pengguna.- Reuters.