Topik diikuti
Pergi ke BHkuInstagram perkenal cara kenal pasti akaun tulen
Instagram perkenal cara kenal pasti akaun tulen
Instagram perkenal cara kenal pasti akaun tulen
SAN FRANCISCO: Instagram berusaha membendung kepalsuan dengan pilihan mengesahkan ketulenan akaun berprofil tinggi pada imej dan perkongsian video di media sosial dimiliki Facebook itu.
Butang biru dilampirkan pada akaun Instagram akan menunjukkan pemegang sudah menjalani proses pengesahan yang termasuk memberikan gambar dokumentasi identiti, menurut pegawai teknologi, Mike Krieger.
"Menjauhkan mereka yang mempunyai niat buruk daripada wadah ini amat penting kepada saya.
"Ia bermakna cuba memastikan sesiapa yang anda ikuti dan akaun yang berinteraksi dengan anda, adalah tulen dan menghalang golongan berniat tidak baik sebelum mereka boleh mendatangkan kerosakan," katanya dalam kenyataan atas talian.
Ia dibuat selepas Facebook bergelut menghalang rangkaian sosial itu atau wadah mesejnya daripada diambil kesempatan oleh golongan tertentu yang mahu menyebarkan fakta salah.
Butang pengesahan bertujuan membolehkan pengguna Instagram mengetahui apabila kenyataan sebenarnya datang daripada akaun selebriti, tokoh terkenal, jenama hebat atau pertubuhan ternama.
"Kami akan menilai permintaan pengesahan untuk mengesahkan ketulenan, keunikan, kesempurnaan dan kepentingan setiap akaun," kata Krieger.
Dalam beberapa minggu lagi, profil akaun dengan kadar pengikut ramai akan mula menunjukkan lebih banyak maklumat, seperti bila ia dibuat, lokasi dan iklan yang dimainkan, menurut Instagram. - AFP
