Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran ikrar balas serangan jika diserang Amerika

Jan 11, 2026 | 5:24 PM
protest, iran
Penunjuk perasaan berkumpul ketika kenderaan dibakar, di tengah-tengah pergolakan antipemerintah yang semakin meruncing di Teheran, Iran. - Foto REUTERS

DUBAI: Teheran mengancam akan membalas serangan terhadap Israel dan pangkalan tentera Amerika Syarikat sekiranya Washington melancarkan serangan ke atas Iran.

Amaran itu dikeluarkan sedang sumber Israel melaporkan bahawa Israel kini berada dalam keadaan waspada tinggi untuk menghadapi kemungkinan campur tangan Amerika.

Ini sedang Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berulang kali mengancam untuk campur tangan, menerbitkan kenyataan di media sosial pada 10 Januari: “Iran sedang mengintai KEBEBASAN, mungkin seperti yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Amerika sedia untuk membantu!!!”

Bercakap di Parlimen pada 11 Januari, Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, menggesa agar semua pihak tidak membuat salah perhitungan.

“Biar kami jelaskan, jika berlaku serangan ke atas Iran, (Israel) serta semua pangkalan dan kapal Amerika akan menjadi sasaran sah kami,” kata Encik Qalibaf.

Dalam satu wawancara dengan The Economist yang diterbitkan pada 9 Januari, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Iran akan berdepan dengan padah yang buruk sekiranya ia melancarkan serangan ke atas Israel.

Pihak berkuasa Iran sebelum ini memberi isyarat mungkin memperhebat tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan antipemerintah terbesar dalam tempoh beberapa tahun di negara itu, dengan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyalahkan pengganas bagi pergolakan tersebut dan berikrar mempertahan sistem pemerintahan sedia ada.

Terdapat laporan mengenai keganasan di seluruh Iran.

Namun, gangguan Internet menyukarkan untuk menilai sepenuhnya tahap pergolakan tersebut.

Anak lelaki mantan shah terakhir Iran yang hidup dalam buangan, Encik Reza Pahlavi, yang muncul sebagai suara utama dalam pembangkang yang berpecah belah, mengeluarkan seruan paling tegas setakat ini agar tunjuk perasaan itu diperluas menjadi pemberontakan untuk menjatuhkan pemerintah ulama.

Media pemerintah melaporkan sebuah bangunan perbandaran telah dibakar di Karaj, barat Teheran, dan menyalahkan “perusuh”.

Rakaman video yang diterbitkan di media sosial pada 9 Januari menunjukkan orang ramai berkumpul di Teheran dan api dinyalakan di jalanan.

Tunjuk perasaan telah merebak di seluruh Iran sejak 28 Disember, bermula sebagai respons kepada inflasi yang melambung tinggi, dan dengan cepat bertukar menjadi isu politik dengan penunjuk perasaan menuntut pemerintahan ulama ditamatkan.

Pihak berkuasa Iran menuduh Amerika dan Israel mencetuskan pergolakan tersebut.

Seorang pegawai kanan perisikan Amerika menyifatkan situasi itu sebagai usaha pihak pembangkang cuba mengekalkan tekanan sehingga tokoh penting pemerintah melarikan diri atau berpaling tadah.

Pihak berkuasa tempatan pula cuba menyemai rasa takut untuk mengosongkan jalanan tanpa memberi sebab kepada Amerika untuk campur tangan, kata pegawai itu.

Kumpulan hak asasi Iran HRANA menyatakan sekurang-kurangnya 50 penunjuk perasaan dan 15 anggota keselamatan telah terbunuh, dan kira-kira 2,300 orang ditangkap.

Dalam satu kenyataan, IRGC – sebuah pasukan elit yang telah menindas pergolakan sebelum ini – menuduh “pengganas” menyasarkan pangkalan tentera dan penguatkuasaan undang-undang.

Tentera pula menyatakan ia akan “melindungi dan menjaga kepentingan negara, infrastruktur strategik negara, dan harta awam”.

Dalam video yang disiarkan di X, Encik Pahlavi, 65 tahun, yang berpangkalan di Amerika, berkata Iran akan ditundukkan.

Beliau menyeru orang ramai supaya merampas pusat bandar mereka dan beliau bersedia kembali ke Iran tidak lama lagi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg