Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran, Oman capai persetujuan laluan baharu kapal di Selat Hormuz
Teheran pertegas pembukaan semula laluan bergantung pada tindakan Amerika hentikan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran
TEHERAN/MUSCAT: Iran dan Oman hampir memuktamadkan perjanjian bagi menguruskan laluan perkapalan di Selat Hormuz secara bersama, sekali gus membuka peluang kepada pembukaan semula salah satu laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia selepas berbulan-bulan dilanda ketegangan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata kedua-dua negara telah mencapai persetujuan mengenai koordinat laluan kapal yang akan digunakan, manakala kenyataan bersama yang menggariskan syarat dan prinsip perjanjian kini berada di peringkat akhir penyediaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembukaan semula laluan itu masih bergantung kepada tindakan Amerika Syarikat menghentikan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
“Koordinat geografi bagi laluan yang dipersetujui kedua-dua pihak sudah dimuktamadkan.
“Jika tiada campur tangan pihak ketiga, kenyataan bersama yang mengandungi perkara utama dan persetujuan antara kedua-dua negara kini berada pada peringkat akhir semakan dan penyediaan,” katanya seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.
Menurut Encik Baqaei, walaupun perjanjian berjaya dimeterai, ia tidak bermakna Selat Hormuz akan kembali selamat sepenuhnya untuk semua kapal.
Beliau mendakwa faktor yang menyebabkan laluan itu tidak selamat masih berpunca daripada tindakan Amerika, termasuk sekatan laut terhadap Iran serta kehadiran aset ketenteraan yang disifatkannya sebagai ancaman.
“Faktor yang menjadikan Selat Hormuz tidak selamat masih wujud akibat tindakan Amerika, khususnya sekatan laut serta tindakan ketenteraan yang mengancam Iran dan kepentingannya,” katanya.
Rundingan antara Teheran dan Muscat berlangsung ketika keadaan keselamatan di Selat Hormuz masih tidak menentu.
Agensi Keselamatan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan sebuah kapal tangki minyak yang melalui selat itu mendengar dua letupan ketika berada kira-kira 17 kilometer di tenggara Kumzar, Oman.
Bagaimanapun, anak kapal dan kapal tersebut dilaporkan selamat.
Dalam perkembangan berasingan, kumpulan Houthi di Yaman mendakwa telah menyerang dua lagi kapal tangki minyak Arab Saudi.
Jurucakap tenteranya, Encik Yahya Saree, berkata peluru berpandu mereka mengenai kapal tangki Wafa berhampiran Yanbu di utara Laut Merah serta kapal Daisy di Teluk Aden.
Pihak berkuasa Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu.
Sebelum tercetusnya perang antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel pada Februari lalu, Selat Hormuz mengendalikan hampir satu perlima daripada eksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Bagaimanapun, selepas konflik bermula, Iran mengambil langkah mengawal secara de facto laluan itu dan mengarahkan kapal menggunakan laluan yang hampir dengan pantai Iran.
Langkah tersebut menyebabkan banyak kapal dagang memilih laluan lebih selatan berhampiran perairan Oman, namun beberapa daripadanya turut dilaporkan menjadi sasaran serangan.
Selat Hormuz menjadi laluan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab, menjadikannya antara laluan paling penting bagi perdagangan tenaga dunia.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini berulang kali mendakwa Iran berminat mencapai persetujuan dengan Washington bagi membuka semula Selat Hormuz.
Namun, Iran menafikan dakwaan itu dan menegaskan sebarang penyelesaian akan dicapai menerusi rundingan dengan Oman, bukannya Amerika Syarikat.
Menurut beberapa pegawai Iran, perjanjian dengan Oman dijangka menetapkan kapal yang memasuki Teluk Parsi menggunakan laluan berhampiran pantai Iran, manakala kapal yang keluar akan melalui laluan berhampiran Oman.
Iran sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk memainkan peranan lebih besar dalam pengurusan selat itu selepas perang, berbeza dengan keadaan sebelum konflik apabila laluan tersebut dianggap sebagai perairan antarabangsa terbuka.
Laporan media Iran turut menyebut bahawa perjanjian itu tidak melibatkan bayaran tol kepada kapal yang melalui Selat Hormuz.
Sebaliknya, satu “yuran perkhidmatan” dicadangkan bagi menampung kos keselamatan kapal, perlindungan alam sekitar dan operasi pengurusan laluan.
Menurut pegawai Iran, hasil kutipan yuran tersebut akan dikongsi sama rata antara Iran dan Oman.
Bagaimanapun, seorang pegawai Amerika yang mengikuti rundingan itu telah menolak dakwaan berkenaan.
Menurutnya, sebarang laluan sementara yang diwujudkan tidak memerlukan kelulusan Iran dan tidak melibatkan bayaran tol atau yuran kepada Teheran.
Setakat ini, Oman belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan rundingan tersebut.
Dalam pada itu, Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, mengakui rundingan dengan Iran dijangka mengambil masa kerana struktur kepimpinan negara itu yang rumit.
“Proses ini akan menjadi sukar dan mengambil masa. Iran merupakan pihak yang sangat sukar untuk dirunding dan mereka mempunyai sistem kepimpinan yang berpecah,” katanya dalam wawancara bersama Fox News.
Walaupun Encik Trump sebelum ini beberapa kali mengugut untuk melancarkan serangan lebih besar terhadap Iran, termasuk menyasarkan infrastruktur awam, beliau kemudian memberi bayangan bahawa persetujuan hampir dicapai.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Iran menafikan dakwaan bahawa rundingan secara langsung sedang berlangsung dengan Washington.
Penganalisis melihat rundingan Iran dan Oman sebagai perkembangan penting yang berpotensi mengurangkan ketegangan di Selat Hormuz.
Namun, mereka berpendapat sebarang pembukaan semula laluan itu hanya mampu memberi kesan menyeluruh jika isu keselamatan antara Iran dan Amerika Syarikat turut diselesaikan, memandangkan kehadiran aset tentera kedua-dua pihak masih menjadi faktor utama yang menjejaskan kebebasan pelayaran di kawasan strategik tersebut. - Agensi berita
