TEHERAN: Pegawai kanan Arab Saudi, Turkey, dan Pakistan mengadakan rundingan dengan pemimpin Iran di Teheran pada 26 Oktober dalam usaha mengelak peperangan di Timur Tengah daripada meletus semula.

Langkah itu diambil ketika ketegangan ketenteraan membabitkan Iran, Amerika Syarikat, dan Israel dilapor semakin meningkat.

Pertemuan bersejarah itu merupakan lawatan bersama pertama wakil tiga negara anggota Pakatan Makkah ke Teheran sejak mereka membentuk pakatan pertahanan di Makkah, Arab Saudi, pada Ogos lalu.

Menurut Kementerian Luar Arab Saudi, lawatan tersebut bertujuan meredakan ketegangan antara pihak yang terbabit dalam konflik serantau yang berlarutan sejak lapan bulan lalu.

Delegasi berkenaan diketuai Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman; Ketua Tentera Pakistan, Marsyal Asim Munir; dan Ketua Perisikan Turkey, Encik Ibrahim Kalin.

Mereka mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Encik Massoud Pezeshkian; Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi; serta Ketua Keselamatan Iran, Encik Mohsen Rezaei.

Meskipun tiada pengumuman dan sebarang persetujuan konkrit dicapai, perbincangan tersebut berakhir dengan komitmen padu semua pihak untuk terus merintis jalan damai ke arah penyelesaian diplomatik.

Encik Rezaei, yang mengetuai Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, menyifatkan pertemuan tersebut sebagai sangat baik dan mencerminkan perubahan positif dalam hubungan antara negara serantau.

“Saya berasakan suasana baharu sedang muncul di rantau ini. Saya dapat rasakan suasana yang sangat positif dalam perbincangan antara semua pihak,” katanya kepada televisyen pemerintah Iran.

Menurut beliau, negara yang menghadiri rundingan itu bersetuju bahawa keselamatan Timur Tengah perlu ditentukan oleh negara serantau sendiri tanpa campur tangan kuasa asing.

Beliau berkata perbincangan turut memberikan perhatian kepada pendudukan Israel di selatan Lebanon; selatan Syria; Gaza dan Tebing Barat.

Rundingan tersebut berlangsung ketika Amerika, Iran dan Israel saling memberi amaran mengenai kemungkinan permusuhan tercetus semula.

Ketegangan semakin meningkat menjelang pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober dan pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November.

Dalam pilihan raya Amerika itu, Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump berusaha mengekalkan penguasaan di kedua-dua dewan Kongres.

Pada 23 Oktober, Encik Trump membayangkan kemungkinan Amerika melancarkan satu lagi operasi ketenteraan terhadap Iran.

Beliau merujuk kepada ‘Operasi Epic Fury’, iaitu kempen serangan Amerika dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula memberi amaran pada 25 Oktober bahawa Iran dan kumpulan sekutunya mungkin melancarkan serangan bagi mengganggu pilihan raya Israel.

“Kami mempunyai maklumat risikan bahawa musuh kami, Iran dan sekutunya, mungkin mencabar kami dengan serangan untuk mengganggu pilihan raya,” katanya dalam satu rakaman video.

Ketika rundingan di Teheran berlangsung, Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa semua pihak mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan peperangan lebih besar.

Bercakap dalam sidang media di Kahirah, beliau memberi amaran bahawa serangan besar-besaran terhadap Iran boleh mengundang tindak balas Teheran terhadap negara Teluk.

“Risiko berlakunya serangan ketenteraan besar-besaran terhadap Iran, disusuli serangan besar-besaran Iran terhadap negara Teluk, mesti dielakkan walau apa pun keadaannya,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu kota Arab Saudi, Riyadh, sekali lagi digegarkan letupan selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran mendakwa melancarkan serangan terhadap lapangan terbang antarabangsa bandar itu pada 25 Oktober.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi di Yaman kemudian melaporkan berjaya memintas tiga dron Houthi di selatan Arab Saudi dan kawasan Riyadh.

Serangan berterusan itu mendorong Parlimen Mesir meluluskan permintaan Presiden Abdel Fattah el-Sisi, untuk menyediakan bantuan ketenteraan bersifat pertahanan kepada Arab Saudi sekiranya diminta.

Bagaimanapun, bentuk bantuan yang bakal diberikan masih belum diperincikan.

Sementara itu, Qatar dan Pakistan terus memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Amerika dengan Iran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, mengesahkan bahawa delegasi Qatar turut mengunjungi Teheran pada 25 Oktober bagi meneruskan usaha diplomatik.

Penganalisis keselamatan Arab Saudi, Encik Hesham Alghannam, menyifatkan rundingan di Teheran sebagai peluang penting untuk mengelakkan konflik daripada menjadi tidak terkawal.

“Pertemuan bersejarah di Teheran ini mungkin peluang terakhir sebelum ketegangan meningkat di luar kawalan,” katanya menerusi wadah X.

Pakar keselamatan Timur Tengah di firma perunding MENA Analytica yang berpangkalan di London, Encik Andreas Krieg, pula berkata kehadiran Putera Khalid menunjukkan kesungguhan Arab Saudi mencari penyelesaian diplomatik.

Menurut beliau, Putera Khalid, yang merupakan adik kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman, memainkan peranan penting dalam menentukan strategi keselamatan dan hubungan luar Arab Saudi.

Penganalisis Arab Saudi, Encik Ali Shihabi, turut berpandangan bahawa Riyadh sedang memberikan komitmen politik yang besar bagi mengelakkan peperangan baharu dengan Iran.

“Riyadh memberikan komitmen politik yang serius kepada dialog dengan Iran, dengan matlamat membendung ketegangan dan mewujudkan laluan diplomatik yang boleh dipercayai bagi keluar daripada krisis,” katanya.

Walaupun rundingan itu belum menghasilkan persetujuan rasmi, pertemuan tersebut membuka ruang kepada usaha diplomatik lebih lanjut ketika Timur Tengah berdepan ancaman peperangan yang lebih luas. – Agensi berita.