KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara pada Sabtu (21 Ogos). Ini sekali gus menandakan penguasaan semula partinya dalam kerajaan pusat, tiga tahun setelah kehilangan kuasa buat kali pertama sejak kemerdekaan negara itu. Beliau juga merupakan perdana menteri ketiga sejak pilihan raya 2018 yang bersejarah, apabila gabungan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno tidak dipililh sebagai kerajaan buat kali pertama dalam tempoh 61 tahun.
Namun, ketidakpastian politik yang berpanjangan setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) awal tahun lalu akhirnya menyebabkan Umno kembali memegang jawatan Perdana Menteri. Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah bagi jawatan Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada 2.30 petang pada Sabtu. Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu berlaku lima hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan kehilangan majoriti parlimen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg