KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan komitmen dan jaminan kerajaan dalam kebebasan pertubuhan media di negara ini.
Beliau berkata media diberi kebebasan sepenuhnya dalam laporan asalkan ia tepat dan bertanggungjawab.
"Campur tangan politik? Media mempunyai kebebasan sepenuhnya asalkan laporan itu tepat dan bertanggungjawab.
"Saya beri jaminan berhubung kebebasan akhbar," katanya kepada wartawan semalam (14 September).
Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak termasuk segelintir tokoh wartawan mempertikaikan pelantikan Cik Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan akhbar New Straits Times (NST) yang baru, dengan mendakwa ia dibuat atas campur tangan politik.
Ini selain tuduhan fitnah jenayah terhadap dua wartawan dari The Edge.
Wakil NST juga dilihat menyerahkan dokumen kepada Datuk Ismail Sabri, difahamkan sebagai petisyen daripada bilik berita mereka mengenai perkara itu.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut membangkitkan kebimbangan mengenai laporan berita bahawa NST menggantikan pengarang kumpulan pertubuhan itu berikutan campur tangan sebuah parti politik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg