KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, untuk membubarkan Dewan Rakyat ketika majlis menghadap di Istana Negara.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook lewat malam kelmarin, memaklumkan Seri Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Malaysia itu untuk mesyuarat pra-Kabinet petang kelmarin.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Agong untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri Malaysia itu berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Perkembangan terbaharu itu, meredakan seketika desas desus dan spekulasi kononnya Dewan Rakyat akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023 semalam.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kepemimpinan Umno yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih mahu mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat selepas Bajet 2023 dibentang atau diluluskan kelak.

Terdahulu Datuk Ismail Sabri diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira sejam.

Ketika meninggalkan Istana Negara, Datuk Ismail Sabri hanya melambai tangan kepada hampir 100 pengamal media yang berkampung di hadapan pintu utama.

Sejurus meninggalkan Istana Negara, Datuk Ismail Sabri menghadiri pertemuan dengan 'Top 5' kepemimpinan Umno di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, namun sehingga semalam, tidak diketahui hasil pertemuan yang berlangsung.

Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong itu menarik perhatian ramai berikutan spekulasi beliau akan memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRU15.

Sebelum ini, khabar angin Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.

Berdasarkan keputusan itu, banyak pihak berpandangan Parlimen perlu dibubar awal atau pertengahan bulan ini kerana PRU-15. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti