Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Israel gesa Majlis Keselamatan PBB tekan Hamas bebaskan tebusan

Jangan ‘uji’ kami di bulan Ramadan: Menteri Israel
Mar 12, 2024 | 01:32 PM



NEW YORK: Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “memberi sebanyak mungkin tekanan” ke atas Hamas supaya membebaskan tebusan yang ditawan dalam serangan di selatan Israel pada 7 Oktober.


Encik Katz berucap kepada majlis 15 anggota pada 11 Mac, yang bermesyuarat untuk membincangkan laporan PBB yang mendapati terdapat “alasan munasabah untuk mempercayai” keganasan seksual, termasuk rogol dan rogol berkumpulan, berlaku di beberapa lokasi semasa serangan 7 Oktober oleh Hamas.

“Kami meminta anda untuk mengutuk jenayah keganasan seksual yang mereka lakukan,” kata beliau sambil menggesa badan dunia itu “memberi tekanan sebanyak mungkin kepada organisasi Hamas untuk melepaskan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang ditawannya”.

Encik Katz turut menggesa agar sekatan dikenakan ke atas Hamas, menuduh kumpulan jenayah itu “lebih teruk daripada tindakan keganasan yang dilakukan oleh Al-Qaeda, ISIS dan organisasi pengganas lain” yang telah menjadi sasaran Majlis Keselamatan.

Majlis Keselamatan telah menggesa pembebasan segera, tanpa syarat semua tebusan dalam resolusi yang diterima pakai pada November dan Disember.

Ia kini sedang mempertimbangkan resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat yang merangkumi kecaman terhadap serangan 7 Oktober oleh Hamas serta “tindakannya menahan dan membunuh tebusan, pembunuhan orang awam dan keganasan seksual termasuk rogol”.

Duta Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, menggesa anggota majlis supaya mengutuk Hamas.

“Tidak ada keraguan tentang apa yang berlaku pada 7 Oktober. Bukti yang ada di hadapan kita adalah buruk dan dahsyat.

“Sekarang, satu-satunya persoalan ialah: Bagaimana kita akan bertindak balas? Adakah majlis ini akhirnya mengutuk keganasan seksual Hamas? Atau akan kita terus berdiam diri?” tanya beliau.

Hamas membunuh lebih 1,400 orang dan menahan 240 yang lain sebagai tebusan dalam serangan mengejut di selatan Israel pada 7 Oktober.


Israel telah bertindak balas dengan melancarkan serangan udara dan darat ke atas Hamas di Jaluran Gaza yang sehingga kini telah membunuh lebih 31,000 rakyat Palestin, kata pihak berkuasa kesihatan di Gaza.


Di Majlis Keselamatan juga, duta Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, pula menuduh Israel terlibat dalam “pemindahan paksa rakyat kita dengan menjadikan Gaza tidak dapat didiami”.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, mendakwa pihak berkuasa akan menghormati kebebasan beribadat sepanjang Ramadan dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menguji mereka dengan melakukan keganasan.

Tegas beliau, Israel akan menghormati kebebasan beribadat di Masjid Al-Aqsa dan semua tempat suci umat Islam.

“Ramadan mungkin bulan jihad dan kami memberi amaran kepada semua orang supaya jangan cuba menguji kami. Kami bersedia untuk apa saja dan jangan melakukan kesilapan,” katanya dalam klip video di Telegram.

Kenyataan terbabit dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketegangan sewaktu Ramadan di pekarangan Masjid Al-Aqsa, iaitu lokasi utama keganasan meningkat setiap tahun ketika bulan puasa bagi umat Islam.

Kawasan berkenaan juga adalah tapak paling suci penganut Yahudi, yang mengenalinya sebagai ‘Temple Mount’ atau Gunung Kuil.


Setiap Ramadan, ratusan ribu umat Islam akan berdoa di pekarangan Masjid Al-Aqsa.


Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, berkata sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap akses jemaah Islam ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis ketika Ramadan adalah perbuatan berpotensi mencetuskan ‘ledakan keganasan’.


Safadi dalam satu kenyataan berkata Jordan menolak langkah yang diumumkan Israel untuk mengehadkan akses ke Masjid Al-Aqsa pada Ramadan dan keperluan keselamatan terhadap perang yang sedang berlaku di Gaza.


Dalam pada itu, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, yang telah menyokong Israel semasa perang lima bulan dengan Hamas, melahirkan kekecewaannya yang semakin ketara terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam temu bual dengan MSNBC pada 9 Mac.


Kegagalan Encik Netanyahu untuk membawa pulang tebusan yang masih ditahan Hamas sejak serangan 7 Oktober ke atas Israel mencetuskan perang, telah membawa kepada bantahan yang kerap di Israel dan gesaan untuk pilihan raya awal, termasuk di Tel Aviv. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >