BAITULMAKDIS: Israel pada 8 Januari mengesahkan bahawa ia telah menghalang kemasukan kakitangan perubatan dan kemanusiaan asing ke Gaza bagi organisasi antarabangsa yang diarahkan menghentikan operasi, kecuali jika mereka bersetuju mendaftarkan butiran kakitangan kepada pihak berkuasa Israel serta mematuhi peraturan baru yang ditetapkan.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan badan bantuan antarabangsa mengenai kemungkinan tercetusnya krisis kemanusiaan baru di wilayah Gaza yang sudah musnah akibat peperangan hampir dua tahun.
Menurut dua sumber bantuan yang dipetik Reuters, sebahagian daripada 37 pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa (INGO) yang diarahkan menghentikan operasi kini sedang menimbang sama ada untuk menyerahkan nama kakitangan mereka kepada pihak berkuasa Israel, meskipun bimbang terhadap keselamatan pekerja.
Tiga pertubuhan bantuan mengesahkan bahawa kakitangan asing mereka diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan memasuki Gaza oleh pihak berkuasa Israel. Sebelum ini, kakitangan bantuan asing masih dibenarkan keluar masuk Gaza secara berkala sejak perang bermula.
Kementerian Diaspora Israel, yang menguruskan proses pendaftaran NGO, berkata langkah tersebut bertujuan menghalang penyelewengan bantuan oleh kumpulan bersenjata Palestin.
Namun, NGO antarabangsa mempertikaikan justifikasi itu, dengan menyatakan bahawa Israel tidak mengemukakan bukti kukuh mengenai dakwaan penyelewengan bantuan. Malah, dakwaan tersebut pernah dipertikaikan dalam satu analisis pemerintah Amerika Syarikat.
“Kami telah memberi tempoh 60 hari kepada organisasi ini untuk menamatkan operasi, namun kemasukan kakitangan asing ke Gaza tidak diluluskan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Antara NGO terkemuka yang mengesahkan kakitangan antarabangsa mereka ditolak masuk ke Gaza minggu ini ialah Doktor Tanpa Sempadan (MSF); Doktor Dunia Switzerland dan Majlis Pelarian Denmark.
Penyelaras kecemasan MSF di Gaza, Cik Anna Halford, berkata sekatan tersebut memberi kesan langsung terhadap keupayaan organisasi untuk beroperasi.
“Jika kami tidak mempunyai individu di jawatan penting, seperti penyelaras kecemasan yang mengetuai operasi, maka sama ada kami terpaksa membuat penggantian yang tidak mencukupi, atau akan wujud jurang besar dalam perkhidmatan bantuan,” katanya.
Pemerintah Israel menyatakan bahawa kira-kira 23 organisasi bantuan telah bersetuju dengan peraturan pendaftaran baru, sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan terus disalurkan ke Gaza.
Namun, sebuah badan penyelarasan diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa organisasi yang telah mendaftar hanya mampu memenuhi sebahagian kecil daripada keperluan kemanusiaan sebenar di Gaza, di mana masalah kehilangan tempat tinggal dan kebuluran masih berleluasa.
Beberapa NGO yang diarahkan berhenti beroperasi menyediakan perkhidmatan khusus, termasuk hospital lapangan dan rawatan pemakanan. MSF, misalnya, menyokong enam hospital Kementerian Kesihatan Gaza dan mengendalikan dua hospital lapangan. Sementara itu, NGO Doktor Dunia Switzerland menyediakan saringan kekurangan zat makanan dan sokongan kesihatan mental.
“Tanpa kakitangan pemakanan untuk saringan dan pusat kesihatan primer bagi rawatan serta rujukan pesakit kekurangan zat makanan yang teruk, keseluruhan sistem penjagaan kesihatan akan runtuh,” kata seorang sumber bantuan kepada Reuters.
Cik Samira Al-Ashqar, 40 tahun, yang melarikan diri dari Beit Lahia ke kem Al-Ansar di utara Gaza bersama suami kurang upaya dan sembilan ahli keluarga lain, berkata beliau bergantung sepenuhnya kepada bantuan Oxfam untuk makanan dan sokongan kewangan. “Selepas perang, segalanya hilang. Keadaan menjadi semakin teruk. Jika organisasi ini berhenti, rakyat Gaza akan menghadapi kemusnahan sepenuhnya,” katanya.
Ketua Hospital Al-Shifa di Gaza, Encik Mohamed Abu Selmia, memberi amaran bahawa larangan terhadap organisasi seperti MSF akan menjejaskan ratusan ribu penduduk. “Keputusan pendudukan Israel ini dibuat ketika keadaan kesihatan berada pada tahap paling buruk. Kami berdepan kekurangan ubat sehingga 100 peratus bagi sesetengah rawatan, dan sekitar 55 peratus secara keseluruhan,” katanya.
MSF turut memberi amaran bahawa sekatan tersebut berpotensi menyebabkan organisasi bantuan tidak lagi dapat membayar kakitangan tempatan, sekiranya Israel menyekat pemindahan dana perbankan.
Keadaan ini, menurut badan bantuan, berisiko memburukkan lagi penderitaan dua juta penduduk Gaza yang masih bergelut untuk hidup selepas perang. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg