WASHINGTON: Israel dan Hamas belum mencapai sebarang perjanjian bagi gencatan senjata sementara, menurut Rumah Putih dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada Sabtu malam.
Ini meskipun Washington Post sebelum itu melaporkan bahawa Israel, Amerika Syarikat dan Hamas hampir mencapai perjanjian bagi pembebasan puluhan wanita dan kanak-kanak yang dijadikan tebusan di Gaza sebagai pertukaran bagi gencatan senjata selama lima hari.
Laporan Washington Post itu memetik sumber yang terlibat dengan perjanjian itu.
Pada Sabtu malam, jurucakap Rumah Putih berkata Israel dan Hamas belum mencapai perjanjian bagi gencatan senjata sementara.
Namun tambahnya, Amerika akan terus berusaha untuk menghasilkan perjanjian antara kedua-dua pihak itu.
“Belum ada perjanjian tetapi kami terus bekerja keras untuk mencapai perjanjian itu,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih, Cik Adrienne Watson, dalam satu kenyataan.
Dalam satu sidang media pula, Encik Netanyahu berkata:
“Berhubung tebusan, terdapat banyak khabar angin yang tidak berasas dan banyak laporan yang tidak tepat.
“Saya mahu jelaskan bahawa hingga kini, tiada perjanjian.”
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman al-Thani, berkata pada Ahad bahawa beliau semakin yakin bahawa perjanjian antara Israel dengan Hamas akan dicapai berhubung tebusan yang ditahan.
Tambahnya, cabaran yang masih wujud untuk menghalang perjanjian itu daripada dicapai adalah amat kecil.
“Cabaran yang dihadapi perjanjian ini bersifat praktikal dan logistik,” ujar beliau dalam satu sidang media bersama ketua dasar ehwal luar Kesatuan Eropah (EU), Encik Josep Borrell, di Doha.
Awal dari itu, Washington Post melaporkan bahawa satu perjanjian antara Israel dengan Hamas telah dicapai dengan bantuan Qatar bagi gencatan senjata selama lima hari sebagai pertukaran bagi pembebasan 50 tebusan atau lebih.
Pembebasan tebusan itu boleh bermula seawal beberapa hari akan datang, menurut sumber yang dekat dengan perjanjian enam halaman yang terperinci itu.
Di bawah perjanjian itu, semua pihak akan menghentikan operasi kombat selama sekurang-kurangnya lima hari sementara 50 tebusan atau lebih dibebaskan setiap 24 jam.
Sekitar 240 tebusan telah ditahan Hamas dalam serangan mereka di selatan Israel pada 7 Oktober.
Perkembangan terkini itu timbul sedang Israel bersiap sedia untuk memperluas serangannya terhadap Hamas ke selatan Gaza selepas menundukkan wilayah utara.
Israel juga telah menjadikan Hospital Al Shifa di Bandar Gaza sebagai tumpuan utamanya bagi serangan darat mereka di bahagian utara Gaza.
Sebuah pasukan yang dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang berkunjung ke hospital itu pada Sabtu menyifatkannya sebagai ‘zon kematian’, dengan kesan tembakan dan pengeboman.
WHO berkata mereka sedang melakar rancangan untuk segera memindahkan baki pesakit dan kakitangan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg