Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Iran berbalas serangan

Ketegangan serantau terus memuncak dengan korban jiwa, kemusnahan semakin meningkat
Jun 14, 2025 | 2:55 PM
Rishon LeZion, IDF, Israel, Iran
Pasukan penyelamat Israel di tapak di mana peluru berpandu balistik Iran melanda bangunan kediaman di Rishon LeZion, dekat Tel Aviv, Israel, pada 14 Jun. Seorang jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF) berkata Iran melancarkan gelombang peluru berpandu balistik ke arah Israel, dan menurut khidmat kecemasan Magen David Adom (MDA), 21 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal. - Foto EPA-EFE

TEL AVIV/DUBAI/WASHINGTON: Iran dan Israel berbalas serangan udara pada awal 14 Jun selepas Israel melancarkan serangan terbesarnya terhadap musuhnya itu dalam usaha menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.

Siren serbuan udara berbunyi sebelum subuh di Tel Aviv dan Baitulmakdis, menyebabkan penduduk bergegas masuk ke tempat perlindungan sedang peluru berpandu Iran bertubi-tubi melintasi langit dan pemintas Israel bangkit untuk memusnahkannya.

Seorang lelaki dan wanita terbunuh di Israel dan puluhan lain cedera akibat peluru berpandu yang melanda berhampiran rumah mereka, kata perkhidmatan ambulans Israel.

Pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi pencarian dalam reruntuhan bangunan apartmen yang musnah di Rishon Lezion, sebuah bandar di luar Tel Aviv.

Menteri Pertahanan Israel berkata pada 14 Jun bahawa kepimpinan Iran telah melepasi garis merah dengan melakukan serangan ke atas orang awam dan akan “menanggung padah yang besar”.

Peluru berpandu yang dilepaskan dari Yaman oleh militia Houthi yang disokong Iran, membunuh lima rakyat Palestin termasuk tiga kanak-kanak di Tebing Barat yang diduduki Israel, menurut Bulan Sabit Merah Palestin.

Beberapa letupan kedengaran di ibu negara Iran, Tehran, lapor agensi berita separuh rasmi, Tasnim.

Agensi berita, Fars, berkata dua peluru melanda Lapangan Terbang Mehrabad di Tehran, dan media Iran berkata kebakaran dilaporkan di sana.

Berhampiran dengan tapak kepimpinan utama Iran, lapangan terbang itu menempatkan pangkalan tentera udara dengan jet pejuang dan pesawat pengangkut.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Iran, Encik Amir Saeid Iravani, berkata seramai 78 orang, termasuk pegawai kanan tentera, telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Iran dan lebih 320 cedera, kebanyakannya orang awam.

Fars berkata Tehran melancarkan serangan udara ketiga pada 14 Jun selepas dua serangan serentak pada malam 13 Jun.

Salah satu serangan itu menyasar Tel Aviv, hab komersial Israel, sebelum subuh, dengan letupan kedengaran sejauh Baitulmakdis, kata saksi.

Serangan tersebut adalah sebagai tindak balas kepada serangan Israel ke atas Iran pada awal 13 Jun terhadap komander, saintis nuklear, sasaran tentera dan tapak nuklear.

Iran menafikan bahawa kegiatan pengayaan uraniumnya adalah sebahagian daripada program senjata rahsia.

Perkhidmatan ambulans Israel berkata 34 orang cedera pada malam 13 Jun di kawasan Tel Aviv, kebanyakannya mengalami kecederaan ringan. Polis kemudian berkata seorang telah meninggal dunia.

Tentera Amerika Syarikat membantu menembak jatuh peluru berpandu Iran menuju ke Israel pada 13 Jun, kata dua pegawai Amerika.

Tentera Israel berkata Iran menembak kurang daripada 100 peluru berpandu pada 13 Jun dan kebanyakannya telah dipintas atau gagal.

Serangan Israel ke atas Iran sepanjang hari dan tindakan balas Iran menimbulkan kebimbangan akan konflik serantau yang lebih luas, walaupun sekutu Iran, Hamas di Gaza dan Hezbollah di Lubnan, telah dihancurkan oleh Israel.

Agensi berita negara Iran, Irna, berkata Tehran melancarkan ratusan peluru berpandu balistik ke Israel selepas Israel meletupkan tapak nuklear bawah tanah Natanz yang besar di Iran dan membunuh komander tentera tertingginya.

Iran berkata program nuklearnya hanya untuk tujuan damai.

Pegawai Israel berkata mungkin sedikit masa diperlukan sebelum menentukan tahap kerosakan di Natanz.

Negara-negara Barat telah lama menuduh Iran menapis uranium di sana ke tahap yang sesuai untuk bom dan bukannya kegunaan awam.

Loji pengayaan perintis atas tanah di Natanz telah musnah, kata ketua pemerhati nuklear PBB, Encik Rafael Grossi, kepada Majlis Keselamatan pada 13 Jun.

Beliau berkata PBB masih mengumpulkan maklumat mengenai serangan Israel ke atas dua kemudahan lain, loji pengayaan bahan api Fordow dan di Isfahan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg