Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel ketatkan cengkaman terhadap Rafah, bencana kemanusiaan besar menanti

May 12, 2024 | 1:16 PM
Khemah Rafah di selatan Jaluran Gaza menjadi tempat berlindung penduduk Palestin selepas serangan Israel.
Khemah Rafah di selatan Jaluran Gaza menjadi tempat berlindung penduduk Palestin selepas serangan Israel. - Foto AFP

RAFAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Gaza bakal berdepan bencana kemanusiaan terbesar susulan Israel memperketatkan cengkaman terhadap Rafah.

Amaran itu dikeluarkan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, ketika Israel meningkatkan operasi ketenteraan di sekitar selatan Rafah, sekali gus melumpuhkan kerja agensi bantuan.

Awal minggu ini, tentera darat Israel merampas kawasan timur bandar itu, termasuk bahagian Palestin di sempadan Rafah yang merangkumi lintasan antara Mesir dengan Gaza, tetapi mereka masih belum memasuki kawasan utama.

Tentera Israel berkata operasi kini diteruskan di timur bandar itu, bermakna keseluruhan Rafah kini sudah diserang Israel, baik melalui serangan udara atau operasi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di darat.

Setakat ini, belum ada tanda serangan besar-besaran yang diugut Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mengancam untuk menghentikan beberapa penghantaran senjata jika serangan diteruskan.

Namun, Encik Netanyahu masih tidak berganjak daripada pendirian asal untuk memusnahkan kumpulan Hamas dan jika perlu, sedia berdiri sendiri meneruskan serangan tanpa bantuan sesiapa.

“Kami bertekad dan bersatu untuk mengalahkan musuh serta mereka yang ingin menghancurkan kami,” katanya.

Encik Netanyahu berulang kali berkata bahawa Israel tidak boleh mengalahkan Hamas tanpa menghantar tentera darat ke Rafah untuk mencari saki-baki pejuang yang masih tinggal.

Namun, Washington memberi amaran mengenai kerosakan reputasi yang akan dialami Israel di mata masyarakat antarabangsa jika ia menyerbu bandar di mana kira-kira 1.4 juta orang awam Palestin kini berlindung.

Operasi ketenteraan Israel di sekitar Rafah memberi kesan teruk kepada orang awam di Gaza, kata agensi PBB.

Lintasan Rafah, yang ditutup oleh tentera Israel pada 7 Mei, adalah satu-satunya laluan yang digunakan untuk penghantaran bahan api.

PBB berkata kehabisan stok bahan api di Gaza menyebabkan operasi agensi bantuan terhenti sama sekali.

Badan Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin (Cogat) menyatakan ia menghantar 200,000 liter bahan api ke Gaza menggunakan lintasan berbeza pada 11 Mei.

PBB berkata kuantiti itu diperlukan setiap hari untuk memastikan trak bantuan bergerak dan penjana kuasa di hospital berfungsi.

“Lebih 100,000 orang yang berpindah dari kawasan lain di Gaza, melarikan diri dari Rafah minggu ini.

“Ramai kembali ke bandar Khan Younis, di mana pertempuran sengit berlaku awal tahun ini, atau bersesak-sesak di tempat perlindungan sepanjang pesisir pantai Deir al-Balah.”

Salah seorang pelarian, Encik Malek al-Zaza, berkata tiada makanan dan air di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

“Tiada siapa yang bertanya mengenai kami, tiada siapa yang mencari kami... Kami hanya ada Tuhan yang menjaga kami,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg