BANDAR GAZA: Israel berkata ia telah menguasai kawasan sekitar bekas ibu pejabat Hamas di Bandar Gaza dan tenteranya terlibat dalam pertempuran sengit di tiga kawasan yang menjadi kubu kuat kumpulan itu termasuk di selatan, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin memburuk situasi kemanusiaannya.
Tentera Israel kini mengawal Bandar Gaza termasuk Dataran Palestin, yang menempatkan pejabat perbandaran dan ibu pejabat pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, kata Laksamana Muda Daniel Hagari dalam sidang akhbar pada 10 Disember.
Menurutnya, serangan Israel kini ditumpukan kepada pertempuran di tiga kawasan Gaza – Jabaliya dan Shajaiye; dua kawasan kejiranan di utara Gaza; dan Khan Younis, bandar terbesar di selatan Gaza.
Namun Israel masih belum menemui Encik Sinwar, yang mereka percaya bersembunyi di selatan Gaza, dan Laksamana Hagari berkata pihaknya bertekad menangkap atau membunuhnya.
Israel telah melakukan serangan balas - udara dan darat - ke atas Gaza sejak 7 Oktober, selepas Hamas membunuh sekurang-kurangnya 1,200 orang dalam serangan ke atas selatan Israel.
Sejauh ini lebih 18,000 rakyat Palestin telah terkorban.
Beratus-ratus ribu penduduk dilaporkan telah melarikan diri ke bahagian selatan Gaza yang yang dikatakan tentera Israel sebagai zon selamat. Namun mereka terpaksa mencari perlindungan dan keselamatan di kawasan lain kerana Israel telah meluaskan peperangan.
Daripada Khan Younis, atas arahan Israel, mereka berpindah pula ke Rafah di sempadan Mesir, yang kini sangat sesak dengan pelarian dan diburukkkan lagi oleh masalah kekurangan makanan dan rawatan perubatan.
Keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan kemungkinan pemindahan besar-besaran ke Mesir, kata pegawai PBB.
Laksamana Hagari berkata tentera Israel telah menangkap “berpuluh-puluh pengganas” dan sebahagian lagi telah dibebaskan. Hamas menafikan dakwaan Israel itu sambil menyatakan pihaknya telah memusnahkan 180 kenderaan tentera Israel semasa pertempuran, tanpa mengemukakan bukti.
Memandangkan pengeboman dan bedilan kereta-kereta kebal Israel yang diperhebat itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah mendesak Hamas supaya meletakkan senjata dan menyerah diri.
Mengenai pengeboman di Khan Younis pada 11 Disember, Israel menyatakan ia dilakukan selepas Hamas memberi amaran tiada tebusan Israel akan dibebaskan kecuali tuntutannya untuk pembebasan tahanannya di Israel dipenuhi.
Israel berkata masih terdapat 137 tebusan di Gaza, manakala aktivis mendakwa sekitar 7,000 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel.
Tentera Israel meneruskan serangannya selepas Amerika Syarikat menyekat desakan antarabangsa untuk gencatan senjata.
Qatar pula berkata pengeboman berterusan Israel telah menyukarkan gencatan senjata baru yang masih Qatar usahakan di Gaza. – Reuters, agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg