BAITULMAKDIS: Rejim zionis berkata, mereka melancarkan artileri ke Lebanon kelmarin, sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari negara itu yang gagal menyerang Israel.
Tentera Israel berkata, enam cubaan serangan yang gagal melintasi Israel dikenal pasti dari Lebanon.
''Pasukan artileri menembak ke arah sumber pelancaran terbabit,'' katanya dalam kenyataan.
Sumber tentera Lebanon memberitahu AFP, tiga roket jenis Grad itu dibedil dari Shebaa Farms di selatan Lebanon yang terletak berhampiran sempadan Israel.
Tunjuk perasaan terhadap serangan udara Israel yang menyasarkan pejuang bersenjata Palestin di Semenanjung Gaza berlaku di selatan Lebanon, lokasi kubu seteru Israel, Hizbullah.
Lebih 200 orang terkorban, termasuk lebih 60 kanak-kanak dalam berbalas serangan antara pejuang Hamas dan rejim zionis di Semenanjung Gaza.
Israel melancarkan serangan udara semalam, sebagai tindak balas terhadap bedilan roket Hamas ke Baitulmakdis susulan keganasan polis di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Penunjuk perasaan Lebanon dan anggota Hizbullah, terbunuh dalam serangan Israel minggu lalu, ketika demonstrasi di sempadan negara itu.
Media pemerintah Lebanon berkata, ia berikutan sekumpulan penunjuk perasaan golongan muda cuba melintasi sempadan di utara Metula.
Sumber ketenteraan Lebanon berkata, tiga roket dibedil dari selatan negara itu, berhampiran kem pelarian Palestin Rashidiyeh ke arah Israel, Khamis lalu, manakala rejim zionis menjelaskan roket berkenaan mendarat di laut.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta Israel membuka lokasi kedua untuk membenarkan kemasukan pekerja kemanusiaan ke Gaza.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), berkata bantuan kemanusiaan adalah keperluan mustahak di Semenanjung Gaza selepas serangan udara lebih seminggu mengorbankan lebih 200 rakyat Palestin selain mencederakan ramai lagi.
Jurucakap agensi kemanusiaan PBB OCHA, Cik Kena Laerke, berkata pihaknya lega Israel membuka laluan Kerem Shalom untuk membolehkan bekalan kemanusiaan penting dihantar ke Gaza.
Tambah beliau, berdasarkan keadaan semasa, adalah kritikal bagi laluan berasingan di Erez dibuka untuk keluar masuk kakitangan kemanusiaan.
Akan datang, katanya, akses masuk dan keluar misi kemanusiaan ke Gaza untuk kakitangan serta barangan mesti diteruskan dan langkah sesuai diambil untuk kesinambungan pergerakan dalam Gaza.
Pada 10 Mei lalu, Israel melancarkan kempen serangan udara ke atas Semenanjung Gaza.
Rentetan serangan itu, sekitar 47,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. Lebih 130 bangunan kediaman dan komersial musnah.
Pejuang Palestin telah melancarkan sekitar 3,350 roket ke arah Israel, menyaksikan sepuluh orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak, dakwa pihak berkuasa Israel.
Jet pejuang Israel pula melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap 'metro' iaitu istilah pejuang Hamas bagi terowong bawah tanah di kawasan sempadan. - BHM, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg