Israel rancang bina kem besar di Rafah, cetus kebimbangan pemindahan paksa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel rancang bina kem besar di Rafah, cetus kebimbangan pemindahan paksa

Jan 28, 2026 | 1:09 PM

Israel rancang bina kem besar di Rafah, cetus kebimbangan pemindahan paksa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Imej satelit edaran yang disediakan oleh Vantor menunjukkan pandangan lebih dekat terhadap dua kem al-Zahraa yang baru dibina, menempatkan penduduk yang dipindahkan akibat konflik dan dilaporkan dibangunkan di bawah penyeliaan serta pelaksanaan jawatankuasa Mesir, di selatan Bandar Gaza, pada 21 Januari 2026.
Imej satelit edaran yang disediakan oleh Vantor menunjukkan pandangan lebih dekat terhadap dua kem al-Zahraa yang baru dibina, menempatkan penduduk yang dipindahkan akibat konflik dan dilaporkan dibangunkan di bawah penyeliaan serta pelaksanaan jawatankuasa Mesir, di selatan Bandar Gaza, pada 21 Januari 2026. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel telah membersihkan kawasan di selatan Gaza bagi membina sebuah kem besar untuk rakyat Palestin, yang berpotensi dilengkapi teknologi pemantauan termasuk pengecaman wajah di pintu masuk, menurut seorang jeneral Israel bersara yang kini menjadi penasihat kepada pihak tentera.

Brigedier Jeneral simpanan bersara Amir Avivi berkata kem tersebut akan dibina di kawasan Rafah yang telah dibersihkan daripada terowong Hamas, dengan pergerakan keluar masuk penduduk dipantau oleh anggota Israel.

“Kawasan itu kini kosong hampir sepenuhnya daripada penduduk Gaza,” kata Encik Avivi dalam satu wawancara dengan Reuters. “Anda perlu membina infrastruktur di Rafah yang boleh menempatkan mereka, dan kemudian mereka boleh memilih sama ada mahu keluar atau tidak.”

Encik Avivi merupakan pengasas Forum Pertahanan dan Keselamatan Israel sebuah kumpulan berpengaruh yang mewakili ribuan anggota simpanan tentera Israel. Beliau tidak bercakap bagi pihak tentera Israel, yang enggan mengulas mengenai rancangan pembinaan kem tersebut. Pejabat Perdana Menteri Israel juga tidak memberikan sebarang komen rasmi setakat ini.

Menurut Encik Avivi, kem berkenaan akan menempatkan rakyat Palestin yang ingin meninggalkan Gaza dan menyeberang ke Mesir, serta mereka yang memilih untuk terus berada di wilayah itu. Beliau berkata kem tersebut berkemungkinan besar berbentuk “kem besar dan tersusun”, mampu menempatkan ratusan ribu orang, serta melaksanakan pemeriksaan identiti yang ketat, termasuk teknologi pengecaman wajah.

Kenyataan itu dibuat ketika Israel bersiap sedia untuk “pembukaan semula terhad” lintasan Rafah dengan Mesir, satu syarat penting di bawah pelan yang ditaja Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menamatkan perang Gaza.

Sumber yang dipetik Reuters pada Januari ini berkata Israel mahu memastikan lebih ramai rakyat Palestin keluar dari Gaza berbanding mereka yang dibenarkan masuk semula. Walaupun pegawai Israel sebelum ini bercakap mengenai usaha menggalakkan penghijrahan keluar rakyat Gaza, mereka menafikan sebarang niat untuk memindahkan penduduk secara paksa, satu isu yang amat sensitif bagi rakyat Palestin.

Bagaimanapun, idea pembinaan kem tersebut telah menerima kecaman keras daripada Hamas. Ketua Pejabat Media pemerintah Gaza yang dikendalikan Hamas, Encik Ismail Al-Thawabta, berkata cadangan itu hanyalah “perlindungan kepada pemindahan paksa”.

“Ini adalah cubaan untuk menutup dasar pengusiran penduduk secara paksa,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebimbangan itu timbul dalam konteks realiti Gaza yang telah hancur akibat hampir dua tahun serangan Israel. Hampir keseluruhan 2 juta penduduk Gaza telah dipaksa berpindah, kebanyakannya ke kawasan pantai sempit yang ditinggalkan tentera Israel di bawah gencatan senjata, namun masih berada di bawah kawalan Hamas.

Israel sebelum ini mengakui bahawa rakyat Palestin di Gaza telah lama berdepan sekatan pergerakan, pemantauan komunikasi dan aktiviti dalam talian oleh agensi perisikan Israel.

Di bawah fasa kedua pelan Trump untuk Gaza, pembinaan semula wilayah itu dijangka bermula di Rafah, dengan syarat Hamas melucutkan senjata sebagai pertukaran kepada pengunduran lanjut tentera Israel.
Namun, Encik Avivi memberi amaran bahawa Israel sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan baharu sekiranya Hamas enggan menyerahkan senjata.

“Pelan sudah tersedia. Tentera bersedia menunggu arahan daripada pemerintah dan kabinet untuk memperbaharui operasi ketenteraan di Gaza,” katanya. “Kem ini juga boleh digunakan untuk menempatkan penduduk Palestin yang melarikan diri daripada serangan baru.”

Tentera Israel menyatakan bahawa mereka terus menjalankan operasi di Gaza walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, bagi menggagalkan serangan yang didakwa dirancang oleh kumpulan bersenjata serta memusnahkan rangkaian terowong Hamas.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 480 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak gencatan senjata bermula, manakala tentera Israel menyatakan empat anggotanya maut dalam serangan oleh militan.

Menteri Kabinet Israel dan bekas ketua perkhidmatan perisikan domestik, Enci Avi Dichter, memberi amaran bahawa pertikaian berhubung pelucutan senjata Hamas berpotensi membawa Israel kembali ke medan perang.

“Kita perlu bersedia untuk perang di Gaza,” kata Enci Dichter kepada Reuters. “Isu pelucutan senjata ini akhirnya perlu diselesaikan oleh tentera Israel, dengan cara yang keras.”

Hamas secara terbuka menolak untuk melucutkan senjata. Dua pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters bahawa setakat ini, tiada cadangan terperinci atau konkrit mengenai pelucutan senjata dikemukakan kepada mereka oleh Washington atau pihak perantara.

Menurut dokumen yang dikongsi Rumah Putih minggu lalu, pentadbiran Trump mahu senjata berat Hamas dilucutkan serta-merta, manakala senjata peribadi didaftarkan dan dilupuskan secara berperingkat apabila pasukan polis di bawah pentadbiran teknokrat sementara Gaza mampu menjamin keselamatan awam.

Encik Trump sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa Hamas akan berdepan “akibat yang dahsyat” sekiranya enggan menyerahkan senjata. Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata pelucutan senjata mungkin disertai dengan bentuk pengampunan tertentu kepada anggota Hamas.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa fasa seterusnya gencatan senjata tidak akan melibatkan pembinaan semula Gaza.
“Fasa seterusnya ialah pelucutan senjata Gaza dan melumpuhkan Hamas,” kata Encik Netanyahu dalam satu sidang media pada 27 Januari. “Ia akan dilakukan secara mudah atau secara keras. Tetapi ia akan berlaku.”

Beliau turut menegaskan bahawa tiada pembinaan semula Gaza akan dibenarkan sebelum kedua-dua misi itu diselesaikan, serta berikrar untuk menghalang penubuhan sebuah negara Palestin di Gaza. Encik Netanyahu berkata Israel akan terus mengekalkan kawalan keselamatan dari Sungai Jordan hingga ke Laut Mediterranean, termasuk di Gaza dan Tebing Barat, meskipun pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin semakin meluas. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg