JAKARTA: Istana Presiden menafikan dakwaan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, atau anaknya, Cik Kahiyang Ayu, dan suaminya, Encik Bobby Nasution, memegang sembarang permit melombong.
Menteri Setiausaha Negara, Encik Pratikno, menafikan isu itu sebagai menjawab dakwaan yang dibuat semasa perbicaraan rasuah bekas gabenor Maluku Utara, Abdul Gani Kasuba, lapor Tempo.Co
“Saya tidak mengetahui mengenai sembarang permit perlombongan dipegang oleh Kahiyang Ayu atau Bobby Nasution. Itu adalah perkara undang-undang,” kata Encik Pratikno sebelum satu mesyuarat terhad di Istana Presiden pada 5 Ogos.
Encik Bobby merupakan Mayor Medan.
Dakwaan itu timbul apabila seorang saksi, Encik Suryanto Andili, memberi keterangan bahawa Abdul Gani menggunakan nama kod “Blok Medan” untuk memudahkan proses permit melombong bagi sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Encik Bobby.
Encik Suryanto, bekas ketua Pejabat Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Maluku Utara, mendakwa menghadiri mesyuarat berkaitan perkara itu di Medan.
Menurutnya, pertemuan itu turut dihadiri Encik Muhaimin Syarif, Encik Nazla Kasuba, Cik Olivia Bachmid, dan menantu Abdul Gani Kasuba.
Encik Muhaimin, bekas pegawai Parti Gerindra dan kini suspek kes rasuah berkaitan permit perniagaan perlombongan di Halmahera, dipercayai menyimpan maklumat penting mengenai “Blok Medan”.
“Pak Ucu (Muhaimin) boleh menjelaskan istilah itu,” kata Encik Suryanto.
Encik Muhaimin juga pemegang saham dalam syarikat perlombongan bersama Cik Nurul Izzah Kasuba, anak perempuan Abdul Gani.
Syarikat itu mempunyai permit melombong bagi tanah seluas 1,229 hektar, berdasarkan Titah Bupati Halmahera Tengah pada 2008.
Abdul Gani mengakui “Blok Medan” merujuk kepada perniagaan perlombongan milik Cik Kahiyang Ayu.
Kes rasuah terhadapnya berpunca daripada satu operasi memerangkap pada 2023 di mana Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) menahan 18 individu dan merampas Rp725 juta rupiah ($60,000).
Tujuh individu, termasuk bekas gabenor itu, kemudiannya dinamakan sebagai suspek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg