Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsteri penyeleweng dana gereja Sumatra Utara dinamakan suspek kes ubah wang haram
Isteri penyeleweng dana gereja Sumatra Utara dinamakan suspek kes ubah wang haram
Isteri penyeleweng dana gereja Sumatra Utara dinamakan suspek kes ubah wang haram
KEPULAUAN RIAU: Isteri penyeleweng dana gereja Sumatra Utara dinamakan suspek dalam kes pengubahan wang haram.
Pasangan tersebut disyaki telah menggunakan sekitar Rp 7 bilion (S$509,000) daripada Rp 28 bilion yang diselewengkan daripada kesatuan kredit paroki Gereja Katolik di Aek Nabara, daerah Labuhanbatu.
Pihak paroki dilaporkan menuntut pemberi pinjaman bank milik pemerintah, Bank BNI, untuk memulangkan dana kesatuan kredit paroki sebanyak Rp 28 bilion yang telah digelapkan oleh seorang pekerja BNI ketika itu.
Polis telah menamakan Camelia Rosa, isteri bekas ketua cawangan Bank BNI di Aek Nabara, Andi Hakim Febriansyah, sebagai suspek pengubahan wang haram yang diperoleh daripada penipuan dana kesatuan kredit paroki Gereja Katolik bernilai Rp 28 bilion.
Sebelum ini, Andi Hakim telah dinamakan sebagai suspek dalam kecurian dana kesatuan kredit gereja di daerah Labuhanbatu.
Pengarah Siasatan Jenayah Khas, Polis Sumatra Utara, Encik Rahmat Budi Handoko berkata status itu ditetapkan pada 6 Mei.
Beliau berkata Camelia disyaki menggunakan wang yang ditipu itu untuk beberapa perniagaan, seperti membina kafe, zoo mini dan pusat sukan.
“Camelia Rosa ialah suspek pengubahan wang haram bersama suaminya Andi Hakim.
“Andi Hakim didakwa mencuri wang gereja dan terlibat dalam pengubahan wang haram,” jelasnya.
Polis Sumatera Utara telah merampas sembilan aset milik pasangan itu selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah daerah.
“Mahkamah daerah telah mengeluarkan waran merampas aset-aset yang tersebar di sembilan lokasi,” katanya.
Encik Rahmat berkata aset yang dirampas termasuk sebuah rumah sewa di Bagan Batu, sebuah syarikat PT Chiara Keanu Chareem Sejahtera (CKC) di Bakaran Batu dan satu unit CKC Corner di Bakaran Batu.
Menurut beliau, lima aset lain di Bakaran Batu turut dirampas sama.
Jurucakap ketua Polis Sumatra Utara, Encik Ferry Walintukan, berkata pihak polis masih belum mendakwa Camelia kerana dia dianggap bekerjasama semasa proses siasatan.
Menurutnya, Camelia dan suaminya telah menggunakan kira-kira Rp 7 bilion daripada dana yang dicuri itu.
Pasangan tersebut dilaporkan melarikan diri ke Australia pada 28 Februari sebelum polis sempat bertindak ke atas Andi Hakim.
Namun, mereka ditahan oleh pegawai imigresen sebaik sahaja mereka tiba daripada Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu pada 30 Mac.
Bank BNI telah memulangkan sepenuhnya wang yang digelapkan kepada kesatuan kredit paroki pada 22 April.- Agensi berita
