
CALON pembangkang, Encik Yoon Suk-yeol, baru-baru ini telah dipilih sebagai presiden baru Korea Selatan dalam persaingan amat sengit dalam pilihan raya presiden negara itu.
Calon Parti Kuasa Rakyat itu menewaskan Encik Lee Jae-myung dari parti pemerintah Parti Demokratik Korea dengan hanya kira-kira 247,000 undi - margin paling tipis sejak perlembagaan negara itu dipinda untuk mengadakan pilihan raya presiden secara langsung pada 1987.
Encik Yoon, yang mengambil kesempatan akan gelombang sentimen antipemerintah dan keinginan rakyat bagi perubahan pemerintah, memenangi 48.5 peratus undi - hanya 0.7 mata peratusan di hadapan Encik Lee - daripada 34 juta pengundi.
Penganalisis berkata margin amat tipis itu bermakna negara itu agak berpecah dan Encik Yoon menghadapi jalan sukar untuk menyatukan dua kem berbeza.
Selain perpecahan pengundi, kempen juga berlangsung secara agak negatif. Dua calon itu saling menyerang dengan kata-kata kasar. Rasa benci agak ketara dan memuncak sehingga orang ramai berpecah belah.
SIAPA PRESIDEN BARU?
Encik Yoon, 61 tahun, bakal menjadi mantan pendakwa raya pertama yang dipilih sebagai presiden di Korea Selatan.
Beliau tidak mempunyai pengalaman politik sebelumnya dan hanya menceburi politik setahun lalu.
Beliau mula menjadi terkenal pada 2016 semasa mengetuai penyiasatan terhadap bekas presiden Cik Park Geun-hye, yang terlibat dalam skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa besar-besaran.
Dalam kempennya, Encik Yoon menggesa keperluan perubahan pemerintah.
Beliau juga mendukung dasar kesamaan dan keadilan, dan mengambil kesempatan kemarahan orang ramai terhadap amalan tidak adil pentadbiran presiden sekarang, Encik Moon Jae-in, contohnya melantik tokoh yang dilanda skandal sebagai menteri kehakiman.
SATUKAN RAKYAT
Salah satu cabaran pertama Encik Yoon adalah memulihkan perpecahan serta menyatukan penduduk Korea Selatan.
Beliau menghadapi cabaran besar untuk cuba memenangi sokongan jutaan rakyat Korea Selatan yang tidak mengundinya.
Seperti yang ditunjukkan keputusan pilihan raya itu, terdapat jurang antara generasi, antara kelas sosial dan antara pengundi lelaki dengan perempuan.
Presiden pemerintah sekarang, Encik Moon Jae-in, secara berterusan memecah-belahkan pendapat umum dengan ideologi usang yang bertentangan dengan prinsip demokrasi liberal dan pasaran bebas.
Ini perlu ditangani segera Encik Yoon apabila beliau secara rasmi menjadi presiden Korea Selatan selama satu penggal lima tahun mulai 10 Mei ini.
CHINA
Dalam dasar luar, Encik Yoon telah berjanji akan bersikap lebih tegar berkaitan hubungan dengan China dan Korea Utara, dan mahukan hubungan lebih rapat dengan Amerika Syarikat.
Beliau telah mencadangkan Korea Selatan harus bekerjasama lebih rapat dengan pakatan keselamatan Quad yang merangkumi Amerika, Australia, India dan Jepun - satu kumpulan tidak rasmi yang diwujudkan untuk menangani pengaruh Beijing yang semakin meningkat di rantau ini.
Namun, beliau tidak mengatakan Seoul harus menyertai pakatan itu.
Cuma Encik Yoon masih perlu 'menjaga hati' China yang merupakan satu kuasa besar, negara jiran dekat dan rakan dagangan utama Korea Selatan.
KOREA UTARA
Encik Yoon berkata beliau berhasrat membangunkan teknologi untuk melakukan serangan awal ke atas Korea Utara jika Pyongyang ingin menyerang Seoul.
Selain itu, beliau juga menyokong sekatan ke atas rejim Encik Kim Jong-un yang akan membawanya lebih selaras dengan dasar utama sekutu rapatnya Amerika.
Malah, beliau pernah menggelar Encik Kim sebagai "budak kurang ajar" dan menyuruhnya berkelakuan baik.
Encik Yoon dilihat enggan tunduk kepada Encik Kim dengan menyatakan dasar berbaik-baik Korea Selatan selama bertahun-tahun tidak membawa hasil.
Ini lebih-lebih lagi dengan Pyongyang, sejak tahun ini, melakukan rekod sembilan ujian senjata, termasuk peluru berpandu balistik hipersonik dan jarak sederhana yang dilarang.
PELUANG ADIL, RUMAH BARU
Encik Yoon berjanji mewujudkan pekerjaan yang baik dan peluang adil kepada rakyat negara itu dalam ucapan pertamanya selepas memenangi pilihan raya presiden.
Beliau juga menjanjikan sokongan meluas bagi inovasi teknologi, supaya Korea Selatan boleh muncul sebagai peneraju dalam sains dan teknologi.
"Kita akan menyambut era perpaduan dan kemakmuran," katanya.
Semasa kempen, beliau juga berjanji untuk memantapkan harga hartanah dengan membekalkan 2.5 juta rumah baru sebelum 2026, termasuk 1.5 juta di ibu kota Seoul dan kawasan sekitarnya.
Beliau turut mahu menangani kadar kelahiran negara itu yang menjunam. Jumlah kadar kesuburan negara itu mencecah rekod terendah 0.84 tahun lalu. Angka ini yang terendah di dunia, dan dijangka turun lagi kepada 0.7 pada 2024. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg