KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Rafizi Ramli, untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Beh Eng Lai, berkata polis menerima laporan polis dibuat ke atas pegawai khas menteri berkenaan pada Selasa malam.
"Semasa pegawai khas terbabit berada di Residensi Harmoni 2 Segambut, pada 12 tengah hari 22 Ogos lalu, beliau terbaca satu kenyataan dimuat naik melalui Blog rafiziramli.com berkenaan dakwaan terhadap Abdul Latiff yang dipercayai bertujuan merosakkan nama baik menteri.
"Pengadu menafikan dakwaan bahawa menteri mempunyai seorang isteri kedua yang mendapat kontrak pertahanan bernilai puluhan juta ringgit bagi kapal LCS semasa beliau menjadi Timbalan Menteri," kata Penolong Pesuruhjaya Beh dalam satu kenyataan.
Beliau berkata hasil semakan polis mendapati kenyataan berkenaan disiarkan di laman Internet, Facebook dan Twitter selain dua video yang berkaitan disiarkan melalui akaun TikTok serta Instagram.
"Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).
"Rafizi akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya.
Sebelum ini, Datuk Dr Abdul Latiff telah membuat laporan polis terhadap Encik Rafizi yang mengaitkannya dengan skandal LCS.
Dalam hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Mersing itu menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan tohmahan dicipta untuk merosakkan nama baiknya bagi tujuan politik.
"Satu laporan polis telah dibuat berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat saudara Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang mengandungi pembohongan dengan tujuan merosakkan nama baik saya.
"Saya percaya fitnah dan tohmahan tersebut diciptakan untuk merosakkan nama baik saya untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap saya dan menyemarakkan keresahan rakyat.
"Penyiaran dan komunikasi secara elektronik tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu," katanya yang turut memuat naik gambar laporan polis dibuat pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Dalam hantaran sama, Datuk Dr Abdul Latiff berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mendakwa Encik Rafizi serta pihak-pihak yang bersubahat melakukan kesalahan terbabit. - BHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg