Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu Mitra panaskan Dewan Rakyat M'sia

Isu Mitra panaskan Dewan Rakyat M'sia
KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan Kementerian Perpaduan Negara sedikit 'panas' selepas beberapa wakil pembangkang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan berhubung isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Kekecohan berlaku sebaik Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique memaklumkan semua tujuh persoalan dibangkitkan ahli Parlimen mengenai isu Mitra tidak dapat dijawab kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan perkara itu tidak dijawab susulan dikhuatiri mengganggu siasatan sedang dijalankan.
"Buat masa ini, SPRM sudah memulakan siasatan membabitkan geran Mitra dan program diluluskan pada 2019 hingga 2020 ketika di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan program Mitra dari April 2020 hingga April 2021 ketika di bawah Kementerian Perpaduan Negara," katanya menggulung perbahasan kementeriannya bagi Rang Undang Perbekalan 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.
Mencelah penggulungan itu, RSN Rayer (PH-Jeutong) bangun menggunakan peraturan mesyuarat meminta menteri berterus terang memberikan jawapan dan tidak tunduk serta mengikut arahan SPRM.
"Saya percaya menteri boleh berterus terang dan memberikan jawapan kepada dewan ini yang tanggungjawab kepada rakyat. Perkara ini penting selepas SPRM sudah membuat siasatan dan tangkapan, kita hanya bertanyakan sama ada pemimpin politik MIC terbabit secara langsung atau tidak.
"Saya melontarkan nama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Datuk M Asojan (Setiausaha Agung MIC)," katanya.
Encik Rayer meminta Datuk Halimah sebagai menteri tidak perlu takut dan berselindung menggunakan nama SPRM untuk tidak menjawab soalan.
Turut bangun mencelah, Encik M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) dan Encik Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).
Datuk Halimah berkata, beliau tidak takut dengan SPRM dan menegaskan agensi penguat kuasa itu tidak boleh memberi arahan kepadanya, sebaliknya hanya menasihatkan kerana kes berkenaan sedang disiasat.
"Saya tidak takut, tunggu SPRM selesaikan siasatan," katanya.
Menjawab pertanyaan Cik P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) mengenai laporan kewangan Mitra, Datuk Halimah berkata, ia hanya boleh diberikan selepas siasatan selesai.
"Selepas siasatan saya akan bagi senarai itu. Dokumen ini tidak sulit, tetapi sekarang tidak boleh diberikan," katanya. - BHM