JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Iskandar menerima persembahan laporan terkini daripada Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang kes kedaulatan Pedra Branca, yang disebut sebagai Batu Puteh oleh Malaysia, dan Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Sultan Johor menerima laporan itu daripada tiga menteri Kabinet yang menghadap baginda di Istana Bukit Serene kelmarin.
Laporan itu dipersembahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Ia berlangsung hampir dua jam.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Pertemuan itu diakhiri dengan majlis santapan tengah hari bersama Sultan Johor, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 13 Disember lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dilaporkan diminta mengadakan rundingan dengan pemerintah Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pedra Branca.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata mesyuarat Kabinet pada Disember lalu telah mengarahkan Tan Sri Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Pedra Branca yang sebelum ini diserahkan kepada Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Datuk Anwar berkata ia supaya rundingan lebih bermakna dan segera dapat dijalankan dengan Singapura.
Pedra Branca ialah sebuah batu tunggal, terletak kira-kira 7.7 batu nautika (14 kilometer) di selatan Tanjung Penyusup, Johor, dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.
Pada 2008, ICJ memutuskan Pedra Branca milik Singapura, menyusuli pertikaian yang dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg