SHAH ALAM: Isu membabitkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36 tahun, atau lebih dikenali sebagai Sajat, membabitkan undang-undang di Malaysia dan ia tidak perlu dipolemikkan di peringkat antarabangsa.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, memberitahu Berita Harian Malaysia (BHM), Muhammad Sajjad dinasihatkan kembali ke negara ini bagi menghadapi kes membabitkan dirinya di sini.
"Muhammad Sajjad dinasihat pulang saja ke Malaysia dan hadapi kesnya di mahkamah di sini, malah tiada siapa yang mengugutnya terutama kakitangan Jais.
"Kita mempunyai ramai peguam yang baik di negara ini yang boleh mewakilinya di mahkamah dan belum tentu Jais boleh menang dalam kes ini.
"Dia belum tentu disabitkan bersalah di mahkamah selagi kes belum dibicarakan," katanya selepas menghadiri program pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Khas bagi individu yang belum menerima vaksin melalui usaha sama Jais dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Masjid Negeri, pada Rabu (22 September)
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan usahawan kosmetik itu oleh pihak berkuasa di Thailand baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Muhammad Sajjad ditangkap pada 8 September lalu oleh pihak berkuasa Thailand atas kesalahan memiliki pasport tidak sah.
Shahzihan berkata, Muhammad Sajjad tidak sepatutnya menjadikan kes itu sebagai bahan propaganda untuk menghalalkan tindakannya.
Susulan itu, katanya, beliau perlu hadir perbicaraan kesnya bagi menentukan sama ada dia bersalah atau tidak. - Berita Harian Malaysia


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg