Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu Taiwan: Kremlin ikrar solidariti pada China

Jul 31, 2022 | 5:30 AM
JADI PERHATIAN: Orang ramai berhimpun untuk menyaksikan para pengawal kehormatan menurunkan bendera Taiwan sewaktu matahari terbenam di Medan Kebebasan di Taipei, Khamis lalu. - Foto REUTERS
JADI PERHATIAN: Orang ramai berhimpun untuk menyaksikan para pengawal kehormatan menurunkan bendera Taiwan sewaktu matahari terbenam di Medan Kebebasan di Taipei, Khamis lalu. - Foto REUTERS -

MOSCOW: Kremlin menzahirkan semangat perpaduan atau 'solidariti' mengenai pendirian China terhadap Taiwan selepas Presiden China, Encik Xi Jinping, memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, supaya tidak 'bermain api' ke atas pulau yang diperintah sendiri itu.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, berkata: "Sudah tentu kami berada dalam solidariti. Kami menghormati kedaulatan dan integriti wilayah China dan percaya tiada negara di dunia sepatutnya mempunyai hak untuk mempersoal perkara ini atau mengambil sebarang langkah menghasut atau lain-lain.

"Kami yakin bahawa tingkah laku sedemikian di arena antarabangsa hanya boleh menyebabkan tambahan ketegangan," katanya kepada pemberita.

Encik Jinping pada Khamis lalu (28 Julai) memberi amaran kepada Biden supaya tidak 'bermain api' mengenai Taiwan semasa panggilan telefon bersama Rumah Putih, bertujuan menstabilkan hubungan kuasa besar itu.

Beijing mengekalkan persahabatan dengan Russia ketika negara Barat berusaha mengasingkan kerajaan Presiden Vladimir Putin daripada perintah kewangan dan diplomatik global berikutan serangan Moscow ke atas Ukraine.

Taiwan, dengan jumlah penduduknya lebih 23.57 juta orang dan ditadbir oleh Parti Progresif Demokratik (DPP), berada di bawah ancaman berterusan untuk dirampas China yang melihat pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan akan diambil secara paksa jika perlu.

Serangan Russia ke atas Ukraine meningkatkan kebimbangan Beijing mungkin turut meneruskan ancaman untuk menggabungkan jirannya yang jauh lebih kecil dan kurang senjata.

China melihat sebarang usaha oleh Speaker AS untuk melawat pulau yang terletak di persimpangan timur dan selatan Laut China itu sebagai satu provokasi, meningkatkan lagi tekanan ke atas keadaan sedia ada di mana Washington telah mengiktiraf kedaulatan China ke atas wilayah tersebut - namun kekal memberi sokongan kepada pemerintah demokratik Taiwan.

"Kami punya banyak perbezaan apabila menyentuh soal Taiwan, tetapi sejak lebih 40 tahun lalu, kita berupaya menangani perbezaan itu dan melakukannya dengan cara memelihara keamanan dan kemantapan serta membenarkan rakyat Taiwan untuk maju," kata Setiausaha Negara AS, Encik Anthony Blinken.

"Oleh itu, adalah penting sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama, untuk kita teruskan dengan cara yang bijaksana dan tidak mewujudkan persengketaan dan mengekalkan laluan perhubungan yang terbuka dalam isu ini", ujarnya lagi.

Suhu politik di Beijing kian meningkat dengan kemungkinan lawatan Cik Pelosi, selaku pemimpin kanan kedua Amerika itu.

Cik Pelosi, dilaporkan akan menaiki pesawat tentera udara AS semasa kunjungan ke Asia.

Dalam pertemuannya dengan pihak media, beliau menyatakan beliau merancang kunjungan itu kerana "penekanan kuat pentadbiran Biden ke atas rantau Asia Pasifik".

Namun begitu, beliau enggan mengesahkan atau menafikan akan melakukan kunjungan ke Taiwan.

"Saya tidak akan bercakap tentang kunjungan saya, keraan sebahagian daripada anda tahu, ia isu keselamatan," ujarnya yang ditukil agensi berita AFP. - Reuters, AFP

"Sudah tentu kami berada dalam solidariti. Kami menghormati kedaulatan dan integriti wilayah China dan percaya tiada negara di dunia sepatutnya mempunyai hak untuk mempersoal perkara ini atau mengambil sebarang langkah menghasut atau lain-lain. Kami yakin bahawa tingkah laku sedemikian di arena antarabangsa hanya boleh menyebabkan tambahan ketegangan.'' - Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg