SINGAPURA mencapai daya tahan dengan membangun lebih ketersambungan dengan dunia luar daripada hanya tertumpu pada keperluan dalam negeri sahaja.
Dengan memastikan sempadan dan saluran ekonominya terbuka malahan dalam tempoh krisis, Singapura terus menjadi rakan kerjasama yang boleh dipercayai dalam rantaian bekalan global.
Menjelaskan demikian dalam satu wawancara bersama CNBC di Davos, Switzerland, Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berkata:
"Kerana itu, Singapura telah meneruskan perjuangannya dengan mempertingkat ketersambungan dagangan dan mendalami lagi perpaduan serantau - daripada Perjanjian Dagangan Bebas Kesatuan Eropah (EU)-Singapura (berkuatkuasa pada penghujung 2019), yang membantu menangani impak pandemik kepada bidang dagangan bebas terbesar dunia, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (berkuatkuasa pada 1 Januari 2022).
"Kami juga sedang membangun kemahiran bagi proses pendigitalan yang menjanjikan menerusi rangkaian Perjanjian Ekonomi Digital (DEA) untuk membantu perniagaan khususnya syarikat kecil dan sederhana (SME) kita, agar dapat menjalankan perdagangan silang sempadan yang selamat dan terjamin.
"Kami juga sedang memburu Perjanjian Ekonomi Hijau (GEA) untuk membawa kemampanan ke dalam aliran utama perdagangan silang sempadan."
Encik Iswaran yang mencatat butiran wawancara tersebut di Facebook semalam, berada di Davos bagi Forum Ekonomi Sedunia.
Di dalam wawancara berkenaan, Encik Iswaran menyentuh tentang pembukaan semula sempadan dan cabaran memastikan kebingkasan rantaian bekalan global dalam situasi gangguan sekeliling yang berlarutan.
Menurutnya, Singapura telah membuka sempadan sejak April, situasi yang dibolehkan kerana kadar vaksinasi dan suntikan penggalak penduduknya yang tinggi.
"Dalam masa dua bulan sahaja, trafik penumpang telah bertambah lebih seganda kepada hampir 50 peratus tahap pra-Covid pada Mei. Kami menjangkakan pertumbuhan lanjut dalam bulan-bulan mendatang," katanya.
Beliau turut berkongsi usaha Singapura membangun jambatan ekonomi antara Amerika Latin dan Asia Pasifik. Melalui usaha memeterai Perjanjian Dagangan Bebas Perikatan Pasifik-Singapura pada Januari bersama Chile, Colombia, Mexico dan Peru, perbincangan lanjutan dalam ekonomi, teknologi dan inovasi digital, kemampanan dan ekonomi hijau, pemudahcaraan dan ketersambungan dagangan serta hubungan penduduk dan perniagaan dapat diusahakan.
Ecuador juga bakal menyertai usaha ini yang disejajarkan dengan rundingan bagi Perjanjian Dagangan Bebas dengan bloc Mercosur yang terdiri daripada Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg