Topik diikuti
Pergi ke BHkuJack Ma bersara daripada Alibaba
Jack Ma bersara daripada Alibaba
HONG KONG (NYTIMES) - Pengerusi dan pengasas bersama Alibaba, Jack Ma, berkata beliau merancang mengundur diri daripada syarikat gergasi e-dagang China bernilai AS$420 bilion pada Isnin (10 Sept) dan mahu menumpukan perhatian pada kedermawanan dalam pendidikan.
Encik Ma, seorang bekas guru bahasa Inggeris, memulakan Alibaba pada 1999 dan membinanya menjadi antara syarikat e-dagang dan pembayaran secara digital paling besar di dunia, mengubah cara orang China membeli dan membuat bayaran. Beliau dikatakan mempunyai aset dengan nilai bersih lebih AS$ 40 bilion ($53.6 bilion), menjadikannya lelaki terkaya China.
Encik Ma bersara sedang persekitaran perniagaan China memburuk, dengan Beijing dan perusahaan milik negara semakin memainkan lebih banyak intervensi dengan syarikat. Di bawah Presiden Xi Jinping, industri Internet China telah berkembang dan menjadi lebih penting.
Ekonomi China juga menghadapi pertumbuhan perlahan dan hutang meningkat. Ia juga sedang berada dalam perang dagang yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat.
Dalam satu temu bual, Encik Ma berkata persaraannya bukan akhir sebuah era tetapi "permulaan era". Beliau mahu meluangkan lebih banyak masa dan membelanjakan kekayaannya pada pendidikan. "Saya suka pendidikan," katanya.
Beliau akan kekal dalam lembaga pengarah Alibaba dan terus mentor pengurusan syarikat. Beliau akan berusia 54 tahun pada Isnin, yang juga merupakan hari cuti di China yang dikenali sebagai Hari Guru.
Persaraan itu menjadikan Encik Ma sebagai antara pengasas pertama di kalangan generasi usahawan Internet China terkemuka yang berundur daripada syarikat mereka. Firma seperti Alibaba, Tencent, Baidu dan JD.com berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hampir menyamai syarikat Internet Amerika seperti Amazon dan Google dari segi saiz, skop dan cita-cita mereka.
Encik Ma, asalnya seorang jurujual dan pemimpin berkarisma, mengasaskan Alibaba bersama 17 orang lain - sebahagiannya pelajarnya - di apartmennya di Hangzhou di timur wilayah Zhejiang pada 1999.
Kini, empayar Alibaba merangkumi e-dagang, perbankan dalam talian, pengkomputeran awan, media digital dan hiburan - dan juga perkhidmatan mesej korporat yang serupa dengan Slack. Syarikat itu memiliki atau memegang saham di beberapa aset media China yang paling penting, termasuk laman media sosial Twitter seperti Weibo dan akhbar berbahasa Inggeris The South China Morning Post di Hong Kong.
Encik Ma berkata beliau tidak sekaya Bill Gates tetapi boleh bersara lebih awal daripada Gates. Gates berundur sebagai pengerusi Microsoft pada 2014, pada usia 58 tahun.