Topik diikuti
Pergi ke BHkuJakarta diharap dapat hurai kemelut Mynmar
Jakarta diharap dapat hurai kemelut Mynmar
HARAPAN tinggi terhadap Jakarta - yang telah mengemudi Asean dengan baik ketika kali terakhir mempengerusikan kumpulan itu - untuk menghimpunkan rakan dalam kumpulan serantau itu bagi menghasilkan suatu huraian terhadap kemelut Myanmar.
Terdapat harapan yang tinggi tentang bagaimana Indonesia akan menyarankan pelaksanaan Keputusan dan Reviu Sidang Puncak Asean 2022, terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) 2021, mengenai Myanmar.
Pada 4 Februari, Indonesia memulakan peranannya selaku pengerusi Asean sebagai tuan rumah Rahat Menteri Luar Asean.
Rahat itu memberi peluang kepada pengerusi membincangkan dan menetapkan agenda Asean bagi 2023, termasuk strategi untuk melaksanakan arahan Sidang Puncak Asean.
Kenyataan pengerusi yang dikeluarkan daripada pertemuan itu, bagaimanapun, kurang memberangsangkan.
Jika diambil secara bersama, usaha-usaha Asean sekarang terhadap Myanmar, sebenarnya kurang memberangsangkan: boleh diibaratkan sebagai beberapa tukang masak menggunakan rencah berlainan, tetapi masih juga menjadi kuah Burma yang hambar.
Sememangnya, semua pelaku utama, lama dan baru, hadir pada rahat itu: semua menteri luar Asean, kecuali Myanmar (Indonesia mengekalkan kriteria perwakilan bukan politik untuk Majlis Pentadbiran Negara (SAC): boleh dijangkakan, SAC enggan menghantar wakil, meninggalkan kerusi Myanmar kosong.
Bakal anggota baru, Timor-Leste, menghadiri rahat itu selaku pemerhati.
Sebagai sebahagian daripada seruan 5PC untuk "bertemu dengan semua pihak yang berkenaan," Indonesia kini mencadangkan pendekatan yang lebih bernuansa dengan melibatkan SAC dan pemegang kepentingan Myanmar yang lain.
Pada Januari lalu, Menteri Luar Indonesia mengumumkan rancangan bagi penubuhan sebuah Pejabat Perwakilah Khas bagi Myanmar, diketuai oleh Menteri Luar, Encik Retno Marsudi.
Sebaik-baiknya, pejabat ini akan membantu untuk mengukuhkan proses penglibatan melangkaui pusingan tahunan pengerusi - idea yang dicadangkan oleh utusan khas Jepun, untuk perdamaian nasional Myanmar, Encik Yohei Sasakawa - supaya Asean menubuhkan pejabat di Myanmar untuk memajukan perbincangan peringkat kerja.
Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, juga telah memaklumkan keinginan beliau menghantar seorang jeneral tertinggi ke Naypidaw, untuk berkongsi pengalaman Indonesia dalam hal peralihan demokratik.
Menteri Penyelaras Maritim dan Ehwal Ekonomi, Encik Luhut Panjaitan, disebut-sebut sebagai orang yang dicalonkan.
Dugaan juga tersebar, sama ada bekas menteri luar, Encik Hassan Wirajuda, atau Cik Retno Marsudi (mengikut kebiasaan Asean yang lalu) mungkin muncul sebagai Duta Khas Pengerusi Asean 2023.
Pernyataan daripada rahat itu tidak mendedahkan butiran mengenai mana-mana perkara di atas.
Sebaliknya, penekanan utama pertemuan itu adalah tentang peri pentingnya satu pendekatan bersepadu terhadap Myanmar - menggariskan pandangan yang berbeza dalam kalangan negara anggota Asean, tentang apa yang dimaksudkan dengan pendekatan membina terhadap kemelut Myanmar itu.
Suasana menjadi lebih keruh, apabila Thailand gagal mengambil kesempatan semasa rahat itu, menjelaskan kepada rakan-rakan Asean tentang apa yang berlaku dalam "perbincangan serantau" yang dianjurkan oleh Bangkok pada Disember 2022.
Idea Thailand menganjurkan mesyuarat itu adalah untuk mempercepat proses dialog, tetapi kelihatannya kekurangan kandungan dan konteks.
Saranan Thailand juga tidak dibincangkan atau dirundingkan dahulu dengan Pengerusi Asean.
Semasa lawatan rasmi ke Thailand Jumaat lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyarankan agar Thailand melakukan lebih banyak lagi dan Asean buat masa ini, ketepikan dulu Myanmar, tetapi tidak bermaksud menyingkirkannya.
Tetapi Menteri Luar Malaysia, menjelaskan kemudian, bahawa ulasan Perdana Menteri itu bermaksud agar Asean tidak terlepas perhatian dalam membangun kerjasama serantau yang lebih kukuh.
Selepas dua tahun, pendekatan Asean - 5PC - masih lagi belum jelas.
Indonesia perlu menyediakan rancangan pelaksanaan bagi 5PC, termasuk menetapkan garis masanya.
Tetapi, pendekatan bersepadu ini mudah disuarakan, namun tidak semudah itu untuk dicapai hasilnya.
Indonesia banyak mengharapkan semangat muhibah tetapi semangat itu mungkin terhakis melainkan negara anggota Asean dan rakannya segera bersatu bagi menghasilkan sesuatu.
Sharon Sean Zamil Kanan dan Penyelaras di Pusat Kajian Asean, ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Moe Thuzar Zamil dan Pemangku Penyelaras bagi Program Kajian Myanmar, ISEAS - Institut Yusof Ishak.