Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jakarta seru gencatan senjata agar hospital Indonesia di Gaza berfungsi

Nov 20, 2023 | 2:33 PM
MOHON DOA: Ketua Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia, Dr Sarbini Abdul Murad (kiri depan)  menyertai acara doa bersama di Jakarta, Indonesia, pada Jumaat sebagai sokongan kepada penduduk Gaza dan menuntut gencatan senjata serta dihentikan pembunuhan beramai-ramai di wilayah Palestin itu.
MOHON DOA: Ketua Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia, Dr Sarbini Abdul Murad (kiri depan) menyertai acara doa bersama di Jakarta, Indonesia, pada Jumaat sebagai sokongan kepada penduduk Gaza dan menuntut gencatan senjata serta dihentikan pembunuhan beramai-ramai di wilayah Palestin itu. - MER-C Indonesia

MEDAN, Indonesia: Sekumpulan doktor dan kakitangan perubatan Indonesia telah mengadakan acara doa bersama di Jakarta dengan tujuan menyeru gencatan senjata dan ditamatkan “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza ketika Hospital Indonesia, yang dilanda perang, terpaksa menghentikan operasi.

Acara yang diadakan dalam talian itu melibatkan persatuan doktor, bidan, ahli farmasi dan doktor gigi Indonesia, dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) yang membantu membiayai pembinaan Hospital Indonesia di Gaza pada 2011.

“Sudah tiba masanya untuk menjerit kepada dunia, hentikan pembunuhan beramai-ramai”, kata Persatuan Perubatan Indonesia dan MER-C dalam satu kenyataan bersama.

“Serangan ke atas hospital dan pekerja penjagaan kesihatan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” kata mereka dalam kenyataan itu.

“Sebanyak 22 hospital dan 49 pusat kesihatan di Jalur Gaza terpaksa menghentikan operasi di Jalur Gaza kerana keangkuhan Israel,” kata kedua-dua kumpulan itu.

Mereka turut menyeru pemerintah Indonesia supaya “menggunakan diplomasi yang tegas di pentas antarabangsa untuk menekan Israel menghentikan pencerobohan di Gaza”.

Tiga sukarelawan Indonesia, Encik Fikri Rofiul Haq, Encik Reza Aldilla Kurniawan dan Encik Farid Zanjabil Al Ayubi, kini berpangkalan di Hospital Indonesia di Beit Lahia, Gaza.

Pengarah hospital tersebut, Encik Atef al-Kahlout, menyatakan bahawa kemudahan perubatan itu tidak lagi dapat “menawarkan sebarang perkhidmatan dan menawarkan sebarang katil kepada pesakit”.

Pengeboman Israel dilaporkan berlaku di sekitar Hospital Indonesia pada Jumaat.

Dr Zecky Eko Triwahyudi, doktor ortopedik dan traumatologi di Hospital Islam Jakarta Cempaka Putih, yang menghadiri acara itu berkata bahawa ia diadakan sebagai menunjukkan sokongan kepada penduduk Gaza.

“Kesemua hospital di Gaza menjadi sasaran tentera Israel sejak sebulan lalu. Alasan tanpa sebarang asas itu sebagai justifikasi untuk menyerang hospital dan pekerja kesihatan,” tegasnya.

Encik Triwahyudi berkata bahawa respons kemanusiaan sangat mendesak kerana dua hospital trauma terbesar dan paling terkenal di Jalur Gaza, Hospital Al-Shifa dan Hospital Indonesia, “telah lumpuh dalam beberapa hari kebelakangan ini”.

Hospital Indonesia adalah hospital trauma utama di utara Gaza manakala Hospital al-Shifa terletak di tengah Gaza.

Semasa pertemuan awal minggu ini, Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo atau Jokowi, mendesak Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, supaya untuk melakukan lebih banyak lagi untuk menamatkan “kekejaman” di Gaza dan membantu mewujudkan gencatan senjata. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg