Pengunjung ke kawasan bandar akan mendapati beberapa jalan ditutup selama seminggu mulai 18 September.
Ini sebagai persediaan bagi perlumbaan malam Formula Satu (F1) 2024, yang kembali diadakan pada 20 September.
Jalan yang terjejas akan ditutup dari 12.01 pagi pada 18 September dan dibuka semula sepenuhnya pada 5.30 pagi pada 24 September, umum Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 26 Ogos.
Untuk memudahkan lalu lintas waktu sesak pagi dan petang, koridor jalan tertentu akan dibuka semula pada waktu tertentu pada empat daripada tujuh hari penutupan.
Pemandu kenderaan juga akan dibenarkan untuk mengakses kawasan Marina Centre melalui laluan tertentu pada waktu tertentu pada kesemua tujuh hari.
Orang ramai dan pemegang tiket F1 digalak menaiki pengangkutan awam ke kawasan Marina Centre dan Padang sepanjang seminggu penutupan jalan raya.
Perkhidmatan kereta api, kecuali perkhidmatan LRT Bukit Panjang dan perkhidmatan Lapangan Terbang Changi, akan dilanjutkan pada hari perlumbaan dari 20 hingga 22 September.
Perkhidmatan kereta api akan disediakan di stesen MRT City Hall sehingga 12.30 pagi pada 20 dan 21 September, dan 12.45 pagi pada 22 September.
Waktu operasi sekurang-kurangnya 37 perkhidmatan bas yang menghubungkan ke stesen-stesen MRT juga akan dilanjutkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg