Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERANG DI UKRAINE

Jangkauan perang bukan hanya korban jiwa di Ukraine, Russia

May 24, 2022 | 05:30 AM



TARIKH 24 Februari merupakan satu detik bersejarah hitam bagi Ukraine, negara Eropah lain dan juga dunia.



Ini selepas kuasa besar dan nuklear Russia menceroboh negara jirannya yang lebih kecil dan kurang upaya dari segi ketenteraan.



Pencerobohan itu mengejutkan banyak pihak, walaupun sebelumnya Amerika Syarikat dan Britain memberi amaran kepada Ukraine bahawa Russia boleh melakukan pelanggaran bila-bila masa sahaja.



Tindakan ketenteraan Russia itu menggegarkan penduduk Eropah yang pernah mengalami dua perang besar dalam tempoh lebih kurang 100 tahun - Perang Dunia Pertama dan Kedua - yang telah mengorbankan jutaan nyawa dan kemusnahan besar harta benda.



Kini, sudah tiga bulan Russia menceroboh Ukraine yang mempunyai 44 juta penduduk.



Bagi perancang tentera Russia, tindakan itu awalnya diramal memakan masa beberapa minggu sahaja - memandangkan tentera Ukraine dikatakan tidak kuat - seperti yang berlaku pada Februari 2014 apabila Russia menakluk semenanjung Crimea milik Ukraine tanpa sebarang tentangan.



Perancang Russia juga meramalkan mereka akan disambut baik penduduk Ukraine, sebilangannya boleh berbahasa Russia.



Betapa besar silapnya ramalan itu.



Kali ini, tentera Ukraine, yang dibantu pasukan pertahanan wilayah dan penduduk tempatan - serta turut dibantu bekalan senjata dari negara Barat - memberi tentangan hebat kepada tentera Russia yang mempunyai peralatan tentera jauh lebih hebat.



Ini bagai penentangan antara David dengan Goliath.



Setelah tiga bulan, Russia bukan sahaja tidak dapat menguasai sasaran utamanya iaitu ibu kota Kyiv, malah terkial-kial dalam medan pertempuran dan tidak mampu menguasai bandar besar kecuali Kherson dan Mariupol.



Dalam tempoh itu, banyak peralatan tenteranya musnah dan ribuan askarnya terbunuh dan cedera.



Tentera Russia kini beralih tumpuan bertempur di kawasan timur Ukraine dengan dakwaan "mahu membebaskan penduduk yang tertindas" di kawasan wilayah Donbas.



Selepas beberapa minggu pertempuran di kawasan itu, Russia belum dapat membuat kemajuan besar. Malah tenteranya dilapor terpaksa berundur dari kawasan bandar kedua terbesar Kharkiv selepas menghadapi serangan balas Ukraine.



Namun, kesan paling menyedihkan adalah angka kematian yang terus meningkat terutamanya dalam kalangan penduduk awam Ukraine - dianggar mencapai puluhan ribu orang.



Ini termasuk mereka yang ditemui terbunuh di kawasan utara Kyiv, sebelumnya dikuasai tentera Russia seperti di Bucha dan Irpin.



Tindakan kejam itu tidak harus dibiarkan begitu sahaja dan mesti disiasat dengan pihak yang melakukan kekejaman itu dibawa ke muka pengadilan.



Begitu jelas sekali kemusnahan besar di sebilangan bandar yang dibedil Russia dengan kemalangan jiwa sering tidak terkira lagi.



Selain itu, jutaan penduduk Ukraine termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak terpaksa melarikan diri ke beberapa negara jiran, dengan Poland menerima pelarian paling ramai sebanyak tiga juta orang.



Satu pelajaran jelas daripada konflik ini: tiada negara khususnya negara kecil, yang boleh beranggapan mereka akan sentiasa selamat.



Tahap pertahanan negara perlu sentiasa dipersiap khususnya dalam masa aman, selain sentiasa dipupuk usaha berbaik-baik dengan semua negara jauh dan dekat.



Tindakan pencerobohan Russia itu perlu dikecam kerana ia jelas melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang pencerobohan kedaulatan sesebuah negara. Namun, masih ada negara yang enggan berbuat demikian.



Sama penting, usaha damai perlu dipergiat agar dapat dihentikan segera peperangan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.



Ini sebelum peperangan itu menjadi lebih buruk dan dahsyat, termasuk menjadi lebih meluas, berpanjangan dan membabitkan senjata pemusnah besar-besaran yang akan membawa angka korban lebih tinggi.



Kini, perang di Ukraine telah pun menjejas ekonomi dunia, tingkatkan inflasi dan menjejas bekalan dan harga bahan tenaga, produk pertanian serta makanan dunia.



Perang hanya membawa kemusnahan dan keburukan besar, dan mampu mengheret dunia ke ambang kemunduran.




"Satu pelajaran jelas daripada konflik ini: tiada negara khususnya negara kecil, yang boleh beranggapan mereka akan sentiasa selamat.
Tahap pertahanan negara perlu sentiasa dipersiap khususnya dalam masa aman, selain sentiasa dipupuk usaha berbaik-baik dengan semua negara jauh dan dekat.
Tindakan pencerobohan Russia itu perlu dikecam kerana ia jelas melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang pencerobohan kedaulatan sesebuah negara. Namun, masih ada negara yang enggan berbuat demikian.
- Penulis.




SEKILAS



Penduduk Ukraine: 44 juta



Jumlah kematian orang awam:



Anggaran 10,000-25,000 orang (sehingga 10 Mei lalu)



Jumlah pelarian:



Lebih 6.2 juta penduduk Ukraine telah meninggalkan negara itu dan menjadi pelarian di negara lain.



Lebih 7.7 juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian di dalam negara.



Lebih 90 peratus pelarian merangkumi wanita dan kanak-kanak.



Kesan pada bekalan makanan:



Ukraine adalah antara pengeluar dan pengeksport pertanian utama dunia dan digelar sebagai 'bakul makanan Eropah'.



Semasa sesi penjualan gandum antarabangsa 2020/21 (Julai-Jun), ia disenaraikan sebagai pengeksport gandum keenam terbesar dunia.



Selain itu, Ukraine juga adalah pengeluar biji bunga matahari terbesar dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >