Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jangkitan Covid-19 di India tidak tunjuk reda

Langkah berkurung diarah di 150 daerah yang kadar positif Covid-19 lebihi 15%
Apr 29, 2021 | 5:30 AM
PEMBAKARAN TERBUKA: Disebabkan kekurangan pusat pembakaran mayat, keluarga melakukan pembakaran mayat saudara mereka yang terkorban akibat Covid-19 di tempat terbuka menggunakan kayu api di New Delhi. - Foto EPA-EFE
PEMBAKARAN TERBUKA: Disebabkan kekurangan pusat pembakaran mayat, keluarga melakukan pembakaran mayat saudara mereka yang terkorban akibat Covid-19 di tempat terbuka menggunakan kayu api di New Delhi. - Foto EPA-EFE -

KEADAAN di India tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan. Kes jangkitan Covid-19 terus melonjak hingga hampir meranapkan sistem kesihatan negara itu.

Oleh demikian, satu langkah baru akan dilaksanakan - perintah berkurung di 150 daerah yang kadar positif Covid-19 melebihi 15 peratus, lapor akhbar Times Of India semalam.

Kebenaran hanya diberikan untuk seseorang dari sesebuah keluarga keluar membeli keperluan harian.

Keadaan sangat mendesak sehingga Amerika Syarikat dan Britain bertindak menghantar ventilator (alat pernafasan) dan bahan vaksin ke India berikutan negara itu menghadapi gelombang Covid-19 yang teruk.

Lonjakan jangkitan itu menyaksikan keluarga pesakit dalam hantaran di media sosial meminta bekalan oksigen dan lokasi hospital hingga menyebabkan New Delhi terpaksa melanjutkan sekatan pergerakan selama seminggu.

Seorang warga India, Encik Amit Dixit, dalam catatan di Facebook pada Ahad lalu, berkata:

"Kekurangan prasarana di hospital Balrampur (Uttar Pradesh) dan tiada kemudahan untuk makanan, air atau tempat duduk sehingga atendan hospital memaksa saya mendapatkannya dari luar."

Memburukkan lagi keadaan, doktor enggan memeriksa keadaan bapanya.

"Saya meminta doktor bertugas untuk sekurang-kurangnya melihat keadaan bapa saya yang pernafasannya telah menurun ke paras 70 peratus tetapi dia enggan berganjak... Kurangnya sikap perikemanusiaan buat saya kesal," ujarnya.

Hakikatnya, hospital sesak dan penuh di serata India - sehingga ketidakcukupan katil dan mayat 'beratur' sebelum dibawa pergi oleh ahli keluarga.

Paling menghibakan, rumah mayat dan pusat pembakaran mayat juga tidak mampu menampung jumlah mayat yang naik mendadak.

Tinjauan Berita Harian ke laman pangkalan data yang mengemukakan perangkaan terkini Covid-19 dari Universiti dan Perubatan John Hopkins semalam menunjukkan, Amerika Syarikat kekal sebagai negara paling terjejas di dunia dengan lebih 32 juta jangkitan dan 573,000 kematian diikuti India dengan 17.6 juta kes jangkitan.

Brazil merupakan negara kedua selepas Amerika dengan jumlah kematian tertinggi, lebih 395,000 kes dan diikuti Mexico dengan lebih 215,000 kematian, disusuli India dengan hampir 198,000 korban.

Namun, meskipun di tempat keempat, India menjadi penyumbang utama kepada peningkatan statistik Covid-19 di seluruh dunia.

Negara dengan 1.3 bilion penduduk itu menjadi pusat wabak terbaharu dan meragut lebih dari tiga juta orang ketika negara-negara kaya mengambil langkah menuju normalisasi dengan mempercepat program vaksinasi.

Seorang penduduk, Encik Irfan Salmani, berkata dia pergi dari hospital ke hospital di Delhi mencari alat bantuan pernafasan untuk kakaknya.

"Saya tidak pernah melihat keadaan seteruk ini dan mencari tanpa henti. Apa yang saya dapat hanyalah tolakan saja," katanya kepada agensi berita AFP kelmarin.

Negara-negara seperti Perancis, Jerman dan Canada juga memberikan sokongan apabila India kini mencatatkan 352,991 jangkitan baru dan 2,812 kematian hari ini.

Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, berkata pihaknya akan membantu selagi yang boleh.

Pucuk pimpinan India menghadapi kritikan teruk kerana membenarkan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila berjuta-juta menghadiri festival keagamaan dan rapat umum politik.

Di Geneva, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan rasa terkejut dengan peningkatan mendadak lagi ketara kes jangkitan dan kematian Covid-19 di India.

Lebih membimbangkan, jenis baru koronavirus yang menyumbang kepada lonjakan kes di India telah ditemui di belasan negara lain.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, varian B.1.617 dari virus Covid-19 yang pertama kali ditemui di India pada Selasa lalu telah dikesan di lebih 1,200 urutan bagi pangkalan data terbuka GISAID "dari sekurang-kurangnya 17 negara".

Ketua badan dunia itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang ditukil agensi AFP, berkata keadaan kini "lebih daripada menyayat hati" dan segala usaha diselaras bagi membantu negara itu.

"WHO akan lakukan segala yang kita berupaya bagi membekalkan peralatan kritikal dan bekalan perubatan.

"Setakat ini, ribuan mesin oksigen, peralatan hospital mudah alih dan bekalan makmal sudah dihantar.

"WHO juga memindahkan lebih 2,600 pakar pelbagai program di lapangan termasuk polio dan batuk kering, untuk membantu pihak berkuasa perubatan India menangani pandemik ini," katanya.

Krisis Covid-19 di India kini mencapai tahap kritikal dengan hospital tidak dapat menampung pesakit manakala pusat pembakaran mayat kini beroperasi tanpa henti.

Peningkatan mendadak kes sejak kebelakangan ini menyaksikan keluarga pesakit menggunakan media sosial merayu meminta bekalan oksigen dan katil kosong di hospital.

Kata Dr Tedros, kes global koronavirus itu meningkat ketara sejak sembilan minggu lalu dan jumlah kes minggu lalu saja sudah melebihi jumlah keseluruhan kes pada lima bulan pertama ketika pandemik bermula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg